Malaysia mungkin boleh berbangga dengan kemenangan 1-0 ke atas Thailand dalam aksi separuh akhir pertama saingan Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tempoh hari.
Tetapi kita juga perlu menelan hakikat bahawa sebahagian masyarakat negara ini yang hadir memberi sokongan di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya masih terperangkap dengan mentaliti kelas ketiga.
Pertama tentang sikap membuang atau meninggalkan sampah merata-rata yang sepertinya sudah menjadi kebiasaan. Malah ia seakan-akan ‘perkara normal’ dan akhirnya sebati di dalam jiwa sesetengah pihak.
Walaupun ada yang berbangga kononnya Malaysia ini majoriti rakyatnya beragama Islam, tetapi seruan agama tentang “kebersihan itu sebahagian daripada iman” sama sekali tidak diendahkan.
Ikrar! 🖐 Maka kami! Penyokong-penyokong #HarimauMalaya 🐯
Bahawa Kami Berikrar Dengan Sesungguhnya! Tidak akan membuang sampah merata-rata! Tidak akan menghisap rokok di dalam stadium! 👍 pic.twitter.com/FjsjTODnhY— Twt_BukitJalil 🏟 (@twt_bukitjalil) September 9, 2019
Tidak kira di dalam atau di luar stadium, sepertinya kesedaran sivik ini tidak tertanam di dalam jiwa masyarakat yang sepatutnya dididik sejak kecil. Kesannya hiduplah kita dalam komuniti serba pengotor.
Apa yang menghairankan, kebanyakan kita merasa kagum dengan video-video yang memaparkan sikap dan budaya penyokong Jepun yang mengutip sampah dan membersihkan kawasan stadium di setiap perlawanan yang dihadiri.
Malangnya apabila bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah berusaha untuk membawa naratif baharu tersebut, segelintir pihak terutamanya pentaksub politik memperolokkan tindakan tersebut kononnya sebagai langkah populis semata-mata.
Tindakan Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman wajar dipuji apabila tak kekok mengutip sampah selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di antara Selangor menentang Pahang dan kemenangan Pahang 2-0, di Stadium Bukit Jalil, sebentar tadi.
FOTO: Izari Rosli pic.twitter.com/0L8XHlCfUt— SinarHarian (@SinarOnline) July 7, 2018
Bukan di stadium sahaja, malah masalah buang sampah merata-rata ini berlaku di mana-mana sahaja sama ada di kawasan perumahan, perkelahan, tepi lebuhraya, restoran, pengangkutan awam dan tandas masjid sekalipun tanpa ada tempat yang terkecuali.
Kedua adalah mengenai ketiadaan disiplin mengikut nombor tempat duduk di dalam stadium sehingga menafikan hak orang lain.
Ia berlaku setiap kali perlawanan, tiada yang terkecuali. Sama ada perlawanan domestik atau antarabangsa, budaya mementingkan ‘tembolok’ sendiri ini ternyata menyusahkan penyokong yang datang bersama keluarga.
Apabila ada yang datang untuk duduk di kerusi yang telah dibayar harganya, mereka pula yang dihalau dengan alasan ‘siapa cepat dia dapat’.
Hormati Tempat Duduk Penyokong Lain
Sila ikut nombor tempat duduk di tiket anda untuk perlawanan #AsianQualifiers 🇲🇾 lwn 🇮🇩 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.
* Hanya kanak-kanak yang memiliki tiket diperuntukkan tempat duduk (ikut nombor dalam tiket)#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/1CQX9svuuZ
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 18, 2019
Pihak berkuasa keselamatan, pengurusan stadium dan penganjur perlawanan juga sepertinya tidak pernah bertegas dengan perkara ini dan akhirnya ia membarah tanpa sebarang kawalan.
Apabila diadukan kepada ‘marshall’ bertugas, jawapan yang diterima “tak boleh buat apa”, jadi apa tujuannya pembelian tiket yang sudah dibuat secara bersistem dan bernombor?
Akhirnya ada yang terpaksa menonton di tangga stadium dan berterbaran di tempat-tempat yang tidak sepatutnya sedangkan tujuan ke stadium adalah untuk bergembira menikmati perlawanan bersama keluarga.
Penutup
Terdapat juga masalah lain tentang sikap penyokong Malaysia di stadium seperti insiden keganasan, pergaduhan, lemparan objek ke dalam padang dan banyak lagi. Isu-isu ini adalah cerminan masyarakat negara ini.
Teruskan sokongan, penuhkan stadium tetapi:
jangan baling botol.
jangan buang sampah.
Jangan curi bendera orang.
Jangan bertumbuk. https://t.co/qpVtwdZUuK pic.twitter.com/nrOEKWEdcu— Juan Bapakaw (@juanbudiman) July 16, 2022
Para penyokong sering menuntut pemain di atas padang agar beraksi dengan mentaliti juara, tetapi hakikatnya mentaliti penyokongnya masih berminda kelas ketiga.
Bagaimana kita boleh mengimpikan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dengan rakyatnya yang pengotor dan tidak berdisiplin ketika menonton perlawanan bola sepak?