Di England, Liga Perdana Inggeris sudah pun memulakan saingan musim baru pada minggu lalu. Manakala di Sepanyol, La Liga akan melakukan sepak mula pada Jumaat akan datang. Manakala pusingan kelayakan UEFA Champions League (UCL) sedang rancak berlangsung.
Namun bagi pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos dan pengurus Liverpool Jurgen Klopp kisah musim lalu terus diungkit sehingga ke hari ini.
Dalam satu temuramah baru-baru ini, kapten Los Blancos itu menyindir Klopp dengan berkata:
“Sebahagian dari kita telah beraksi di tahap tertinggi sejak bertahun lamanya. Saya tidak pasti sama ada Klopp boleh mengekalkan rentak itu,” ujar Ramos.
Ketika jelajah pra musim yang lalu, Klopp memberi komen yang kritikal terhadap Ramos, dengan mendakwa pemain tersebut sebagai ganas sehingga menyebabkan bintang utama Liverpool, Mohamed Salah.
Namun Ramos bertanggapan insiden membabitkan beliau dengan pemain antarabangsa Mesir itu sebagai tidak disengajakan dan berlaku tanpa sebarang niat dari beliau.
“Klopp sebenarnya mahu menjelaskan mengapa beliau tewas dalam perlawanan akhir itu. Tetapi sebenarnya ia bukan pertama kali beliau kalah,” tambah Ramos.
Klopp menang perlawanan akhir pertama sebagai pengurus pada 2012, ketika membimbing Borussia Dortmund menjuarai Piala Jerman.
Namun selepas itu, pengendali yang terkenal dengan corak permainan ‘gegenpressing’ itu tewas dalam enam perlawanan akhir yang lain, termasuk perlawanan akhir UCL pada Mei lalu. Di Eropah, Klopp dan Liverpool turut ditewaskan oleh Sevilla di perlawanan akhir Europa League pada 2016.
Salah mengalami kecederaan di bahu ketika kedua-dua pemain, berusaha untuk memenangi perebutan bola di perlawanan akhir tersebut. Kedua-dua pemain terjatuh, namun Salah terpaksa dikeluarkan selepas insiden tersebut.
Salah kemudiannya memerlukan pembedahan untuk memulihkan kecederaan tersebut. Rata-rata penyokong Liverpool kemudiannya menyalahkan Ramos sebagai penyebab kecederaan kepada pemain terbaik mereka dalam perlawanan itu.
Insiden membabitkan Salah bukanlah satu-satunya tindakan Ramos yang dipersoalka oleh Klopp.
Ramos turut terbabit dalam insiden menyiku penjaga gol, Loris Karius di kepala sehingga menyebabkan penjaga gol tersebut mengalami gegaran otak.
Karius kemudiannya melakukan dua kesilapan mudah yang terus melenyapkan harapan Liverpool merangkul kejuaraan pada musim lalu.
Bercakap sebelum perlawanan UEFA Super Cup menentang Atletico Madrid pada awal pagi nanti, Ramos tetap menganggap Klopp masih seorang pengurus yang bagus.
“Apabila diarahkan untuk mengundi pengurus terbaik, saya akan undi Klopp. Jadi sekarang beliau boleh rileks,” ujar Ramos.