Ramon Machado Tampil Selaku Mesin Gol Berbisa Buat Sabah

Penyerang import baharu Sabah iaitu Ramon Machado tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan ketajaman beliau di hadapan gol musim ini bersama The Rhinos dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Setakat ini, penyerang kelahiran Brazil itu sudah pun membuktikannya di atas padang sejak perlawanan sulung beliau ketika menentang Kuching City dalam saingan Liga Super 2023.

Machado ketika itu berjaya meledak dua gol pada aksi sulungnya bersama Sabah, selepas membuktikan dirinya begitu berbisa serta mencapai persefahaman cukup tinggi bersama rakan sepasukan lain.

Momentum tersebut terus dibawa Machado untuk aksi seterusnya ketika Sabah menewaskan Sri Pahang dengan keputusan penuh 4-0, dan pemain tersebut turut menyumbang satu gol.

Daripada lima perlawanan membabitkan Machado bersama Sabah, pemain ini telah pun meledak enam gol secara keseluruhan dan beliau hanya sepi daripada menghasilkan jaringan sewaktu berdepan Selangor sahaja.

Malah, Machado juga memberi salam pengenalan dengan begitu positif untuk aksi pembukaan Piala Malaysia 2023, selepas beliau berjaya menghasilkan dua gol untuk mengetepikan cabaran Kuching City.

Sesuatu yang menarik mengenai penyerang berusia 32 itu, ia merupakan pengalaman pertama buat Machado sepanjang kariernya untuk beraksi dalam saingan bola sepak di Asia Tenggara sepanjang bergelar pemain profesional.

Sebelum ini, Machado lebih banyak beraksi di Brazil serta Azerbaijan sebelum mengubah haluan untuk mencipta nama dalam saingan Liga M bersama Sabah.

Kehadiran Machado pastinya melegakan Datuk Ong Kim Swee yang sebelum ini mengalami kesukaran di posisi serangan untuk mendapatkan gol buat Sabah.

Tampil dengan fizikal yang tegap serta licik di hadapan gol, kehadiran pemain ini memberi masalah besar buat mana-mana pertahanan lawan dan sudah pun dibuktikan pada aksi terbaharu mereka ketika menentang Kuching City.

Dijangka Machado bakal meneruskan momentum positif beliau untuk aksi seterusnya dalam saingan Liga Super, selepas konsisten meledak gol dalam setiap perlawanan dihadapnya bersama pasukan.

Untuk rekod semasa, Machado turut tersenarai dalam status semasa penjaring terbanyak Piala Malaysia hasil dua ledakannya ketika bertemu Kuching City untuk berkongsi jumlah jaringan bersama penyerang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty Fernandes.

Di kedudukan teratas, Ivan Mamut tampil berbisa menerusi koleksi tiga jaringan dihasilkannya ketika Terengganu mengetepikan cabaran wakil kelab dari saingan Liga M3 iaitu Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN