Bagaimana Palestine Menyediakan Pasukan Menentang Oman Pada Bulan Ramadan

Bulan Ramadan menandakan bulan puasa untuk semua umat Islam di dunia termasuk pemain bola sepak.

Sebelum ini beberapa kejohanan besar jatuh pada bulan Ramadan dalam kalendar Islam. Antaranya, Olimpik London, Piala Dunia Brazil dan juga kejohanan Piala Eropah 2016.

Beberapa pemain beragama Islam terpaksa untuk tidak berpuasa dan menggantikannya pada hari lain.

Mesut Ozil mengakui beliau terpaksa untuk tidak berpuasa kerana tuntutan ‘kerja’ beliau yang memerlukan beliau memerah banyak kudrat di dalam padang.

Baca juga: Puasa Atau Main? Ini Pendirian Pemain Muslim Perancis, Jerman, Turki & Albania

Namun begitu ramai juga pemain yang berpuasa pada dalam kejohanan tersebut. Sebelum ini, dalam perlawanan di antara Algeria dan Jerman ketika fasa 16 pasukan terakhir, Piala Dunia Brazil.

Hampir keseluruhan pemain-pemain Algeria berpuasa. Penjaga gol mereka, Rais M’bolhi bergegas untuk membuka puasa dengan kurma dan air kosong ketika wisel separuh masa dibunyikan.

Menurut BBC, mereka mendapat tahu yang pemain bergama Islam di Norway berpuasa sehingga 20 jam sehari.

Palestine vs Oman

Wartawan BBC telah pergi ke Palestine untuk mendapatkan informasi tentang corak persiapan pasukan Palestine dalam menghadapi Oman.

Pada tahun ini, bulan Ramadan adalah dari 26 May sehingga 24 Jun. Beberapa negara di Asia dan Afrika melewatkan sedikit sepak mula untuk perlawanan domestik dan antarabangsa.

Antaranya adalah perlawanan di antara Palestine dan Oman yang berlangsung di Jurusalem telah dianjak dari 9.45 malam ke pukul 10.45 malam.

Atas beberapa pertimbangan kerana ramai pemain belum bersedia, sepak mula dianjak sekali lagi ke pukul 11 malam.

Ini untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain lebih tenang menghadam makanan yang telah dimakan mereka ketika berbuka puasa.

Pada masa yang sama, pihak penganjur mengambil kira ramai penyokong bola sepak yang meluangkan masa berbuka puasa dengan keluarga dan kemudian menunaikan solat terawih.

Pegawai pasukan Palestine dan Oman juga telah mengubah beberapa rutin latihan dan juga diet yang melibatkan para pemain. Ini kerana pemain-pemain kini ada jadual makan yang berbeza.

Pegawai Fisioterapi Palestine, Bader Agel berkata:

“Kami menasihatkan pemain agar minum sekurang-kurangnya 3 liter air ketika berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan para pemain dari dehidrasi ketika bermain bola sepak.”

“Jika pada bulan biasa, para pemain dibekalkan dengan buffet yang kami sediakan. Tetapi pada bulan puasa, kami terpaksa mengambil inisiatif untuk memantau pemakanan para pemain seorang demi seorang.”

“Kami memberikan mereka satu set pinggan khas untuk mengelakkan mereka daripada terlebih makan.”

“Para pemain diberikan jumlah kabohidrat dengan memakan nasi pada paras yang sepatutnya. Seterusnya adalah pemberian protein dengan sayur-sayuran hijau atau salad yang secukupnya.”

Beliau juga memberitahu yang para pemain akan diarahkan untuk masuk ke gym satu jam sebelum iftar. Mereka akan diarahkan untuk makan serta merta sebaik sahaja masuk waktu iftar.

Ini untuk merangsang proses metabolisma di dalam badan mereka. Tambah beliau lagi:

“Paling penting kami tidak mahu mereka terlalu malas sepanjang hari berpuasa.”

“Kami mahu mereka untuk mengelak daripada tidur berlebihan. Dan itulah masalah paling biasa para pemain pada bulan puasa.”

Menjelang perlawanan menentang Oman, kem Palestine mengadakan latihan persedian pada 11 malam. Ianya selepas para pemain kembali semula ke hotel dan melalui proses mandi ais.

Selepas latihan mereka akan diberikan makanan sahur pada pukul 2.45 pagi.

Jurulatih B-23 tahun Maghribi, Pim Verbeek juga melalui cabaran yang sama dalam menguruskan pasukan beliau sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata:

“Sudah pastinya ia akan berbeza dengan hari-hari pada bulan yang lain. Ini kerana, dalam bulan Ramadan, pasukan anda hanya akan berlatih sekali sehari. Pada kebiasaannya mereka akan berlatih 2 kali sehari.”

“Sesi latihan pada sebelah malam kami perlu dirancang sebaiknya. Kami perlu menyimpan tenaga untuk hari perlawanan.”

Kapten pasukan Oman, Ali Al-Habsi setuju dengan sepak mula yang lewat pada bulan Ramadan. Ini kerana, ia memberikan banyak ruang kepada badan mereka lebih rehat dan mencerna selepas 17 jam.

Ini kerana pemain-pemain Oman diarahkan untuk bersahur pada 3.50 pagi. Waktu berbuka biasanya sekitar 7.45 malam.

“2 minggu di kem latihan membuatkan kami sudah terbiasa dengan keadaan ini. Kami berlatih pada jam yang sama dengan waktu di hari perlawanan.”

Ali Al-Habsi mengakui beliau terpaksa membuat keputusan untuk tidak berpuasa ketika perlawanan play-off EPL tempoh hari kerana perlawanan dilangsungkan pada siang hari.

Beliau berkata, itulah kali pertama beliau terpaksa untuk tidak berpuasa. Sebelum ini beliau sudah bermain di banyak kelab di Eropah termasuk Lyn Oslo, Bolton Wanderers, dan Wigan.

Beliau sentiasa berpuasa walaupun dalam perlawanan pada siang hari. Ali Al-Habsi memberitahu yang beliau tidak pernah dipaksa untuk tidak berpuasa oleh kelab. Pilihan di tangan beliau sendiri.

Mungkin kerana usianya yang sudah semakin lanjut membuatkan beliau memilih untuk tidak berpuasa pada perlawanan tersebut.

Rutin pemain-pemain Palestine agak berbeza dengan Oman. Ini kerana 4 daripada mereka lahir di luar Palestin dan bukan bergama Islam. Biasanya mereka beragama Kristian. Ada 5 orang kesemuanya yang tidak beragama Islam.

Untuk pemain-pemain yang tidak berpuasa ini, rutin mereka adalah seperti biasa. Mereka tidak berkongsi bilik hotel dengan pemain yang berpuasa kerana jadual makan, dan gym mereka adalah seperti biasa.

Mereka mengakui agak bosan kerana rutin mereka berbeza dengan rakan-rakan yang lain. Mereka berlima biasanya menghabiskan masa di gym untuk ‘membunuh masa.’

Ada juga yang mengikut rakan-rakan mereka berpuasa. Berjaga sehingga sahur dan tidur pada siang hari. Ketika sahur dan berbuka puasa adalah masa untuk para pemain serta pegawai pasukan bergurau dan bercerita dengan satu sama lain.

Menjelang hari perlawanan pada Selasa, rutin harian mereka sedikit diubah. Berikut adalah jadual pemain-pemain Palestine 12 Jun 2017 dan 13 Jun 2017.

Isnin – 12 Jun 2017

7.45pm: Iftar dengan makanan pada kuantiti tidak terlalu banyak. Kurma dan air kosong dijamah dahulu. Diikuti dengan sup sayur campur atapun freekeh.

Hidangan utama adalah ayam bakar, nasi dan fattoush (salad dengan roti) ataupun salad Caesar.

9:00pm: Pemain mengambil air secukupnya sebelum latihan

11:00pm: Latihan bermula

Tengah malam: Latihan berakhir dan para pemain diarahkan minum air secukupnya sementara menunggu sahur.

Selasa 13 Jun 2017

2:00am: Sahur selepas mandi. Sahur dalam bentuk buffet. Pemain akan memilih mana-mana hidangan dari jenis buah-buahan segar, yoghurt, corn flakes, telur rebus, minyak zaitun, za’atar, roti, dan jus.

10:00am: Sarapan pagi untuk pemain-pemain yang tidak berpuasa

3:00pm: Pemain yang tidak berpuasa makan tengah hari (lunch)

7:45pm: Iftar. Sebelum perlawanan lewat malam, pemain diberikan hidangan dalam pinggan kecil, ayam dan spaghetti. Buah-buahan sebagai pencuci mulut.

9:15pm: Keluar dari hotel

9:30pm: Pemain tiba di Stadium Faisal Al-Husseini

11:00pm: Sepak mula

Palestine menang 2-1 di dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia tersebut. Pemain terbaik perlawanan, Yashir Pinto yang juga pemain Perak, ditemuramah wartawan berkata:

“Kami menukar rutin latihan kerana ramai pemain berpuasa. Pasukan kejurulatihan kami melakukannya dengan sangat baik. Dalam perlawanan ini, kami masih mampu banyak berlari.”

“Ini pengalaman baru untuk saya. Secara jujurnya, ia tidaklah sukar sangat.”

Sumber

BBC – Ramadan: Late nights & ice baths – how Muslim footballers cope while fasting

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN