Ramai penganalisis dan pengamal analisis taktikal di Itali mengkritik pendekatan 4-2-4 yang digunakan Gian Piero Ventura ketika pasukan mereka tewas 3-0 di Bernabeu.
Mereka menganggap 4-2-4 Ventura sebagai tactical error / ralat taktikal.
Penulis Italian Football Daily Matt Santangelo berpendapat formasi tersebut adalah formasi cari nahas. Ini kerana pasukan yang mereka akan tentang adalah pasukan yang berasaskan penguasaan bola di tengah padang.
Ventura ada 3 bulan untuk menyiapkan pasukan untuk perlawanan ini. Ia bukan tempoh yang lama untuk pengurusan skuad kebangsaan.
Kenapa beliau memilih untuk bereksperimen dalam perlawanan ini? Ventura adalah jurulatih yang lebih pakar dalam menguruskan sistem bek bertiga. Itulah sebab beliau dirasakan pengganti ideal untuk Antonio Conte.
Sepanyol dengan terang terang menyatakan sebelum perlawanan yang mereka akan menggunakan sistem 9 jadian. Ini bermaksud dengan sistem 4-3-3 (false 9) Sepanyol cuba mendominasi zon 14 dengan pemain 9 jadian sentiasa turun ke bawah.
Dengan struktur 4-2-4, Itali gagal untuk membekalkan paltform yang lebih kuantitatif di tengah. Isco terlalu bebas bergerak kerana mereka sentiasa terpecah unit di tengah.
Pemain pertahanan kerap panik dan melakukan terjahan kotor. Pengulas perlawanan menyatakan:
“Ini bukan tipikal pertahanan Itali yang kita selalu saksikan!”
Bek berempat Itali statik dan kurang perlindungan di tengah. Barzagli dan Bonucci seperti tidak pernah bermain bersama di kawasan bek tengah. Kerap berlaku kekeliruan, siapa yang harus pergi melakukan tindakan.
Seterunsya, Ventura membiarkan pengaruh Isco sepanjang perlawanan. Beliau tidak ada pertukara taktikal atau teknikal untuk mengurangkan impak yang sangat jelas itu.
Ventura tidak berbuat apa-apa untuk mengekang pengaruh Isco. Iniesta juga bebas di tengah padang. Mujurlah Iniesta bukan yang 3 atau 4 tahun yang lalu.
Di bahagian sayap, pemain mereka juga berhadapan dengan kekeliruan. Darmian dan Spinazolla seakan-akan tidak tahu bagaimana cara beraksi sebagai bek sisi dalam sistem 4-2-4.
Hanya Candreva yang beberapa kali cuba melakukan servis kepada serangan. Kritikan agak tidak adil untuk diterima Immobile dan Belotti yang ternyata ‘isolated’ kerana tidak ada servis langsung kepada mereka.
4-2-4 Itali, hilang keseimbangan, tiada kreativiti dan pemain tidak ada idea untuk memecahkan barisan pertahanan Sepanyol.
Itali pernah turun dengan pasukan yang lebih ‘average’ daripada tempoh hari tetapi mereka tetap berjaya memberikan saingan.
Pasukan Euro 2016 dan juga Euro 2012 yang lalu, dilihat lebih ‘average’ daripada pasukan yang dimiliki Ventura.
Pada Euro 2016, Conte bergantung kepad Pelle, Giacherini yang gagal menjadi pemain utama di Sunderland. Eder yang dikritik sepanjang musim kerana sentuhan pertama beliau dianggap bahan lawak.
Pada 2012, Itali bergantung kepada bad boy Balotelli dan Cassano di hadapan. Namun mereka mara ke final. 2 pasukan tersebut melakukannya kerana taktikal dan formasi yang dipilih oleh Conte dan Prandelli.
Pada Euro 2016 yang lalu, Conte menggunakan sistem 3-5-2 yang menekankan aspek bertahan dan serangan balas. Mereka menang 2-0 ke atas pasukan Sepanyol.
Memang menang kalah itu adat perlawanan. Namun bukan ‘adat’ bola sepak Itali kalah dengan cara sedemikian rupa. Pemain seolah-olah baru berkumpul petang, dan sebelah malam terus bermain.
Itali terkenal dengan keupayaan mereka menghasilkan jurulatih super. Ventura buat masa ini masih belum mampu meyakinkan penyokong Itali tentang filosofi bola sepak beliau.
Spaletti berkata:
“4-2-4 bukan masalahnya. Saya pun akan menggunakan 4-2-4 untuk menang berhadapan dengan pasukan seperti Sepanyol.”
Namun Spaletti tidak bercerita panjang tentang hal itu. Mungkin beliau merasakan formasi itu tidak dilaksanakan sebaik-baiknya.
Pemain tidak diberikan kefahaman tugas mereka di dalam padang. Apa peranan mereka ketika tanpa bola ataupun ketika ada bola di kaki.
Namun pada pandangan saya, masa yang tidak sesuai untuk Ventura melakukan ‘tweaks’ pada formasi taktikal beliau. Pada masa yang sama, Ventura seoalah-olah masih belajar tentang formasi tersebut.
3 bulan memang tempoh yang lama tetapi, transisi taktikal dalam skuad kebangsaan itu harus dirancang sangat rapi. Bukannya mereka bersama-sama pemain setiap minggu.
3 bulan itu sesuai untuk mencari modul latihan dan juga melaksanakan asas kepada perubahan formasi.
Apa kata penyokong Itali tentang 4-2-4?