Rakyat Selangor Tanggung Risiko Terbesar Dalam Projek KSSA

Setelah beberapa kali tertangguh, kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam akhirnya bermula pada 1 Julai lepas. Stadium Shah Alam roboh, Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) pula akan naik. Kompleks yang menjangkau keluasan 76 hektar ini dilaporkan akan siap sepenuhnya pada 2029.

JKR pada mulanya menganggarkan kos membaiki semula Stadium Shah Alam memakan kos RM154 juta. Kertas tender yang telah dikeluarkan pada peringkat awal secara khususnya menyebut ‘pembaikan’, bukannya ‘pembangunan semula’. Kos membaiki bumbung, misalnya, hanya memakan kos RM10 juta menurut salah satu dokumen asal tender projek pembaikan tersebut.

Kemudian media diumumkan mengenai penukaran projek—daripada pembaikan stadium kepada penaikan taraf Stadium Shah Alam, lengkap dengan projek tebatan banjir dan integrasi stesen Aliran Transit Ringan (LRT)—yang menelan kos RM787 juta.

Tidak lama kemudian, media dikejutkan pula dengan pendedahan kertas projek KSSA. Dalam kertas tersebut, pembinaan KSSA melibatkan tiga fasa yang memakan belanja RM3.28 bilion.

Daripada RM154 juta, kepada RM787 juta, kepada akhirnya RM3.28 bilion!

Bagaimana kosnya boleh naik? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Ts. Saipolyazan Mat Yusop di NST: “Selain bumbung stadium, sistem mekanikal dan elektrikalnya sudah tak boleh diperbaiki lagi.”

Katanya lagi, banjir besar yang melanda Seksyen 13 pada akhir 2021 menenggelamkan bilik elektronik Stadium Shah Alam dan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dibaik pulih kerana kebanyakan peralatan itu berusia hampir 30 tahun. “Kos menyelenggara akan jadi lebih tinggi daripada perbelanjaan membeli yang baru.”

Dalam erti kata lain, menurut kerajaan negeri, kos membeli bilik elektronik dan sistem mekanikal baharu serta menyelenggara keseluruhan stadium…

lebih tinggi daripada kos membangunkan kompleks stadium baharu dan menyelenggaranya.

Kenyataan Saipolyazan bertentangan dengan laporan JKR yang mengesahkan:

  1. Struktur Stadium Shah Alam sedia ada boleh bertahan 100 tahun lagi dan;
  2. Boleh dibaiki dengan kos RM787 juta sahaja.

Soalan inilah yang ditimbulkan oleh ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu, semasa Sidang Dewan Negeri Selangor pada Ogos 2022. Katanya, kerajaan negeri boleh melaksanakan pelbagai alternatif berbanding meroboh semula atau menunjukkan bahagian-bahagian yang tidak lagi boleh diganti seperti bumbung polikarbonat dan lain-lain.

“Sebab saya sudah buat lawatan, saya nampak struktur itu kukuh. Kalau bumbung polikarbonat itu tak baik, mereka boleh gantikan dengan material lain, tak perlu kekal kepada polikarbonat yang dikatakan cepat rosak dan sebagainya,” tambah Ronnie lagi.

Dalam wawancaranya bersama NST pada 2 Julai lepas, Saipolyazan sendiri mengaku kos membina KSSA sebenarnya lebih mahal daripada membaik pulih fasiliti sedia ada. Ini merupakan petikan kata beliau yang diambil secara ad verbatim:

“While the initial investment (to build a new complex) is more expensive, we would be reducing the cost in the long term.”

Siapa tanggung kos KSSA?

Persoalan seterusnya—siapa yang akan membayar kos RM3.28 bilion untuk membangunkan KSSA ini?

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, projek tersebut didakwa dibiayai sepenuhnya oleh MRCB melalui kerjasama awam-swasta. Pelantikan MRCB dibuat selepas melalui proses pemilihan daripada 15 syarikat yang mengambil bahagian termasuk antarabangsa dan syarikat tersenarai awam.

Ini membawa kepada soalan seterusnya—apakah balasan kepada MRCB memandangkan mereka dikatakan akan membiayai kos RM3.28 bilion ini?

Menurut Amirudin—balasannya adalah 10 plot tanah di Klang dan Hulu Selangor.

Masalahnya jawapan yang diberi oleh Amirudin itu diberi di media. Di Dewan Negeri Selangor, belum dibentangkan lagi. Bagi sebuah projek yang berada dalam Rancangan Selangor Pertama, bukankah sepatutnya Menteri Besar membentangkan kaedah pembiayaan projek KSSA di Dewan Negeri terlebih dahulu sebelum kerja perobohan Stadium Shah Alam dibuat?

Inilah yang dipersoalkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Azmin Ali dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri pada 4 Julai lepas:

“Menteri Besar di dalam Dewan ini menyatakan pada 13 Mac 2023, Setiausaha Kerajaan Negeri telah pun mengadakan Sesi Libat Urus dengan pelbagai pihak yang terlibat dengan cadangan pertukaran tanah. Tetapi hari ini sudah 4 Julai 2024. Menteri Besar kena datang di dalam Dewan dan menyatakan inilah tanah-tanah yang telah dikenal pasti dan dipersetujui untuk kaedah pertukaran tanah bagi membiayai Projek KSSA.

Azmin turut mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri yang masih belum memberitahu rakyat Selangor—siapakah yang membiayai kerja-kerja perobohan yang bernilai RM45 juta.

Dalam sidang dewan yang sama, Azmin mendedahkan sejumlah 1,277 hektar tanah milik Yayasan Selangor telah dicadangkan untuk diberikan kepada MRCB.

“Apa pulangan kepada Yayasan Selangor? Apakah Kerajaan Negeri ada memberi jaminan kerajaan terhadap tanah-tanah [ini] yang akan disandarkan pada pihak bank untuk membiayai satu projek yang bernilai RM3.28 bilion,” tegasnya lagi.

Azmin khuatir penyerahan 7 lot tanah di Pulau Carey ini akan menjejaskan sasaran dan matlamat Rancangan Selangor Pertama kerana sudah menjadi milik pemaju, bukan lagi Yayasan Selangor atau kerajaan negeri.

@azminaliofficial

Saya juga menyinggung kemajuan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang disenaraikan sebagai game changer dalam RS-1. Faktor kejayaan utama projek pembangunan KSSA adalah performance of the developer in delivering the stadiums and sport facilities. Malangnya, kerja-kerja perobohan hanya bermula pada 2 Julai 2024 yang dibuat secara konvensional dan mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja perobohan. Saya menuntut supaya proses pembangunan KSSA dibuat secara telus dan berintegriti termasuk kaedah pembiayaan KSSA yang berjumlah RM3.28 bilion. Saya mendesak supaya Kerajaan Negeri membentangkan dalam Dewan senarai tanah-tanah Kerajaan dan agensi Kerajaan yang akan terlibat dalam pertukaran tanah untuk membiayai projek ini. Berdasarkan tahap kemajuan hari ini, projek KSSA gagal disiapkan mengikut sasaran dan matlamat Rancangan Selangor Pertama. #AzminAli

♬ original sound – Azmin Ali – Azmin Ali

Satu lagi soalan yang boleh diajukan kepada kerajaan negeri adalah—jika kerajaan negeri boleh melakukan pertukaran tanah untuk membiayai KSSA, mengapa tidak boleh melakukan perkara sama untuk betul-betul memperbaiki mutu kehidupan rakyat Selangor.

Sebagai contoh, wang sebesar RM3.28 bilion ini boleh membina tiga hospital di Selangor. Atau membekalkan dana RM200,000 untuk memasang penghawa dingin ke semua 648 sekolah rendah di Selangor—yang hanya memakan kos RM129.6 juta (5% daripada RM3.28 bilion). Manfaatnya boleh dinikmati sebahagian besar rakyat Selangor. Tapi jika ia digunakan untuk membina KSSA, maka hanya sebahagian kecil sahaja rakyat yang akan menerima manfaatnya.

Tanpa kaedah pertukaran tanah, kerajaan negeri ketika ini tidak mempunyai kekuatan kewangan pun untuk membiayai projek mega ini. Bagaimana nak bayar kos RM3.28 bilion jika rizab negeri semasa pun baru mencecah RM3.71 bilion setakat 9 November 2023?

Siapa pemilik stadium baharu?

Soalan seterusnya yang perlu dijawab kerajaan negeri adalah—siapa yang akan menjadi pemilik stadium ini? Adakah kerajaan negeri pemiliknya? Adakah perkongsian awam swasta antara pemaju dengan kerajaan negeri pemiliknya? Adakah Persatuan Bolasepak Selangor (Selangor FA) pemiliknya? Atau adakah Selangor FC?

Secara logiknya, Selangor FC mungkin akan menyewa stadium baharu ini untuk dijadikan rumah baharu mereka pada musim 2029/30 nanti. Jika begitu, soalan seterusnya perlu dijawab: siapa yang akan membayar kos penyelenggaraan stadium?

Jika Selangor FC yang membayarnya, bersediakah Selangor FC untuk menanggung tambahan perbelanjaan sekitar minimum RM7 juta setahun ke dalam akaun kelab mereka?

Jika bukan Selangor FC yang membayar kos penyelenggaraannya, adakah kos ini akan ditampung—sekali lagi—oleh rakyat Selangor?

Saipolyazan memberitahu KSSA akan mampu mampan dari segi kewangan dengan sendirinya menerusi kebolehannya menganjurkan konsert (menerusi kemudahan multi-use retractable pitch), sewaan lot komersial, teater seni, penganjuran Bazarena dan pelbagai aktiviti lagi.

“Kita dah jalankan kajian menyeluruh. Perancangan [kerajaan negeri] adalah untuk memastikan stadium mampan [dari segi kewangan],” beliau dipetik berkata.

Jika betul kata Saipolyazan (bahawa kos baik pulih lebih tinggi daripada RM3.28 bilion dalam jangka masa panjang), kerajaan negeri perlu mendedahkan: Pada tahun ke berapa KSSA dijangka akan mampu break-even?

Rakyat Selangor berhak tahu. Ketiadaan penjelasan mengenai soalan-soalan ini menyebabkan mereka sendiri gementar.

Ini kerana sejarah menunjukkan berkali-kali bahawa—kita pandai membina, tapi tak pandai menyelenggara. Tiada siapa boleh menafikan kemampuan kita membina fasiliti berkelas dunia; tetapi seringkali fasiliti tersebut akan rosak akibat culasnya kita dalam bab penyelenggaraan.

Satu-satunya sebab Stadium Shah Alam terpaksa dirobohkan adalah kerana kegagalan pemegang taruhnya dalam bab penyelenggaraan. Ketika Stadium Shah Alam siap dibina pada tahun 1994, ia juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi baru dan kemudahan—dengan janji; ia akan mampan dari segi kewangan untuk berdekad-dekad lamanya.

30 tahun kemudian, ia diroboh—bersama-sama memori jutaan rakyat Malaysia—untuk diganti dengan janji-janji baharu daripada kerajaan negeri.

Sekiranya janji ini ‘dicapati’, maka rakyat Selangorlah yang paling rugi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN