Rakan Kongsi Sambut Baik Langkah Penangguhan Diambil MFL

Rakan Kongsi

Rakan Kongsi Liga Malaysian Football League (MFL) menganggap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk menangguhkan kesemua kejohanan bermula Isnin ini adalah tepat pada masanya demi keselamatan semua pihak susulan penularan wabak COVID-19.

Mengambil kira wabak yang mengancam nyawa itu semakin merebak keseluruh dunia, adalah wajar untuk setiap badan induk sukan mengambil keputusan menangguhkan segala aktiviti luar demi menjaga kesihatan semua baik pemain, jurulatih dan penyokong.

Jelas Setiausaha Kehormat Johor Darul Ta’zim (JDT), Kapten Mohd Anizam Jamian, wabak COVID-19 perlu dipandang serius dan beliau percaya semua pasukan menyokong penuh keputusan bersama FAM-MFL itu termasuklah mengharungi baki perlawanan minggu ini tanpa penonton.

JDT yang akan menentang Felda United pada malam ini telah mengambil keputusan awal menghentikan penjualan tiket dalam talian sejak Selasa lalu dan akan memulangkan kembali wang kepada penyokong yang sempat mendapatkan tiket lebih awal.

“Melihat kepada isu ini, memang boleh katakan sangat merbahaya dan kami di pihak JDT akan ikut apa yang diputuskan oleh FAM dan MFL kerana kita rasa ini memang untuk keselamatan semua pihak.

“Kami akan menentang Felda United esok (malam ini) tanpa penonton dan kami akan lakukan pemulangan semula bayaran tiket kepada penyokong yang sudah membeli tiket di dalam talian dan penjualan tiket di kaunter juga tidak akan dibuka.

“Sudah pasti, JDT di stadium baharu (Stadium Sultan Ibrahim) sentiasa teruja dengan sorakan peminat-peminat dan kali ini beraksi tanpa mereka, keadaan agak suram buat kali pertama dan yang penting, langkah pencegahan tetap akan diambil dengan sewajarnya di stadium nanti”, katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif Kedah FA, Shahrul Samsudin mengharapkan perlawanan terakhir pada minggu ini menentang Selangor dapat berakhir dengan kemenangan selepas pasukan itu mengalami dua kekalahan dan satu seri setakat ini.

Sudah pasti, perlawanan tumpuan di Stadium Darul Aman itu bakal hilang serinya tanpa kehadiran penyokong namun beliau mengharapkan keputusan baik buat pengubat duka semua penyokong Lang Merah.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri

“Dalam bola sepak kita tahu memang melibatkan orang ramai dan dua faktor penting ini perlu diambil serius iaitu faktor kesihatan dan keselamatan semua orang.

“Bermain tanpa penonton untuk perlawanan yang dianggap tradisi apabila menentang Selangor memang agak ralat sedikitlah kerana biasanya mesti ramai yang akan datang, tetapi kita perlu beri keutamaan kepada mereka untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku”, katanya

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri pula mengambil pendekatan yang positif atas penangguhan saingan Liga Malaysia ini untuk pasukan mengambil peluang menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan latihan dan memperbaiki kelemahan.

Sudah pasti, keputusan untuk menangguhkan semua kejohanan ini akan memberi masalah kepada FAM dan MFL bagi melakukan perancangan seterusnya kerana tidak ada tarikh yang pasti untuk kembali memulakan saingan, tetapi PAFA akan sentiasa menyokong apa jua keputusan bagi mengutamakan kesihatan semua pihak.

“PAFA daripada awal memang menantikan keputusan seperti ini diambil oleh FAM dan MFL dan mereka membuat keputusan betul kerana meletakkkan kepentingan rakyat dan negara.

“Memang kita tahu, pihak mereka akan berdepan masalah kerana kita sendiri tidak tahu bila saingan akan bersambung disebabkan ia tertakluk kepada perkembangan penularan wabak itu dan kami di Perak akan ambil kesempatan ini untuk meneruskan latihan untuk memperkemaskan pasukan dengan lebih baik,” jelasnya.

Sebanyak lima perlawanan CIMB Liga Super 2020 akan berlangsung pada malam ini dan Ahad manakala enam perlawanan bagi saingan Liga Premier sebelum kesemua perlawanan ditangguhkan bermula Isnin.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai penangguhan Liga Malaysia 2020:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN