Rajagobal Kagum Dengan Semangat Juang Yang Tinggi Pemain PKNS FC

Sikap tidak mengenal erti putus asa membuahkan hasil yang lumayan bagi pasukan PKNS FC apabila mereka berjaya menyingkirkan pasukan Perak daripada saingan Piala FA menerusi agregat 3-4.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong Perak di Stadium Perak, Ipoh bukanlah tugas mudah bagi skuad kendalian Datuk K.Rajagobal itu yang hanya membawa bekalan satu gol ke tempat lawan.

Rajagopal berkata, keputusan seri 2-2 yang dicatatkan di Ipoh sudah cukup melayakkan pasukan dari Lembah Klang berkenaan mengisi slot ke pe­ringkat separuh akhir.

Beliau memuji aksi anak buahnya yang tidak gentar berhadapan dengan asakan daripada rangkaian penyerang pasukan Tuan Rumah.

“Walaupun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Perak, pemain tidak gugup dan beraksi sepertimana yang dia­rahkan.

“Paling penting kami ke sini untuk meraih keputusan terbaik dan layak ke separuh akhir,” katanya.

Kelebihan dua gol yang dimiliki pasukannya di awal separuh masa kedua menyebabkan Perak tertekan untuk mencari kemenangan selesa.

“Daripada kelebihan dua gol itu, saya arahkan pemain untuk bertenang dan jangan terlalu kerap untuk melakukan serangan ke kawasan gol lawan kerana ia mampu mengundang bahaya,” katanya.

Perak yang kalah 1-2 dalam suku akhir pertama hanya mampu seri 2-2 dengan PKNS pada suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh.

Pengendali pasukan Perak, Mehmet Durakovic enggan menyalahkan anak buahnya di atas kegagalan mara ke peringkat separuh akhir sebaliknya beliau menganggap Perak tidak bernasib baik kali ini.

“Kita mendominasi perlawanan, mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol terutama melalui sepakan percuma dan sepakan penjuru.

“Jika deretan peluang itu berjaya disudahkan sudah tentu suasana perlawanan akan berubah.

“Memang sukar untuk menerima keputusan ini tetapi kesungguhan yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini terutama pada separuh masa kedua, sedikit sebanyak menggembirakan saya,” katanya.

Leave a Reply