Bekas naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar telah disahkan meninggal dunia sebentar tadi.
Mengikut laman rasmi Perak TBG di Facebook, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir beliau pada jam 8.35 minit pagi tadi di Hospital KPJ di Ipoh, Perak.
Allahyarham dikatakan meninggal dunia akibat jangkitan di paru-paru.
Beliau merupakan seorang tokoh bola sepak yang disenangi oleh para peminat Perak terutamanya ketika beliau menjadi pengurus pasukan Perak ketika era 1990-an dahulu.
Beliau juga merupakan individu yang pernah mencadangkan agar Liga Malaysia menjadikan para pemain ASEAN sebagai pemain tempatan seperti mana yang diamalkan di Eropah menerusi Kesatuan Eropah (EU).
Allahyarham juga pernah mencadangkan agar persatuan bola sepak negeri di setiap negeri mengambil alih kuasa pengurusan stadium dari badan pengurusan stadium supaya pasukan dapat mengawal pengurusan stadium dan menjana pendapatan.
Sekali gus ia menghalang pasukan dari mengharap bantuan dari kerjaan negeri sahaja.
Jenazah Allayarham akan dibawa ke kediamannya di Ampang, Perak dan akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Jalan Bendahara.
Kami di Semuanya BOLA mengucapkan salam takziah kepada keluarga Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar diatas berita duka ini.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.