Mino Raiola yang merupakan ejen kepada Paul Pogba dilaporkan akan akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai dari Manchester United untuk berbincang mengenai masa depan pemain itu.
Hubungan di antara Pogba dan pengurus pasukan, Jose Mourinho kembalib bergolak pada minggu ini selepas juara dunia bersama Perancis itu dilucutkan jawatan sebagai kapten kedua pasukan, dan kedua-duanya dirakam bertengkar mulut di padang latihan.
Pogba kembali menyertai Manchester United dari Juventus dengan nilai rekod dunia pada ketika itu iaitu £89 juta pada 2016.
Raiola dikatakan mahu United memberikan pendirian United, sama ada mereka sanggup melepaskan pemain itu pada jendela perpindahan Januari hadapan, atau pada musim panas lalu.
Pada masa yang sama Raiola turut dikatakan mahu melihat situasi melibatkan kedudukan Mourinho di Old Trafford sebelum mengambil langkah seterusnya.
Sebelum ini United enggan melayan sebarang bidaan dari Barcelona pada musim panas lalu. Laporan mengatakan kelab Catalan tersebut menawarkan £45 juta beserta Yerry Mina dan Andre Gomes sebagai tambahan.
Bekas kelab Pogba, Juventus pula membatalkan niat melakukan sebarang bentuk bidaan selepas United berkata ianya tidak akan mengubah pendirian mereka untuk mengekalkan pemain tersebut di Old Trafford.
Bagaimanapun keadaan telah berubah selepas beberapa kejadian sepanjang satu minggu lalu. Bermula dengan tindakan Pogba yang mengkritik corak permainan yang ditampilkan ketika aksi di Old Trafford.
Mourinho kemudiannya membidas Pogba kerana rakaman yang dilakukannya yang bergelak ketawa ketika Manchester United tewas kepada Derby County dalam pertandingan Piala Carabao.
Rakaman tersebut telah dimuatnaik oleh Pogba di laman Instagram miliknya. Video tersebut dikatakan menjadi punca kepada pertengkaran di padang latihan.
JUST IN! ?
Frosty footage just in from @ManUtd‘s training session between Paul Pogba and Jose Mourinho… ❄️
What has been said between the pair this morning? ? pic.twitter.com/nRiTEgDJlH
— Sky Sports News (@SkySportsNews) September 26, 2018
Pogba dipercayai menafikan dakwaan Mourinho, dan menjelaskan video tersebut dimuatnaik sebelum United tewas dalam perlawanan menentang Derby.
Pogba memiliki kontrak sehingga 2021 untuk kekal di Old Trafford. Beliau juga dikatakan gembira dengan kehidupan di England dan selesa di United bersama rakan sepasukan yang lain.
Satu-satunya masalah yang dihadapi oleh Pogba ialah hubungan beliau dengan Mourinho. Ini menyebabkan Raiola mahu mengetahui sekiranya United mahu terus setia dengan Mourinho pada masa depan.