Beberapa hari lalu, telah tersebar senarai nama pemain yang telah bersetuju untuk menyertai Pulau Pinang, pasukan yang telah diturunkan pangkat ke Liga Premier musim hadapan.
Salah satu nama yang menarik perhatian umum adalah bekas pemain Selangor, Raimi Mohd Nor. Turut tersenarai adalah Fitri Shazwan, Jazarin Jamaluddin dan Norhafiz Zamani Misbah.
Ia menarik perhatian kerana Raimi dilihat telah memilih untuk ‘turun pangkat’ daripada beraksi di Liga Super untuk bersama-sama pasukan yang akan bersaing di Liga Premier.
Walaubagaimanapun, baginya, dia telah membuat pilihan tepat walaupun banyak pihak mungkin mempertikaikan keputusannya untuk beraksi bersama skuad Harimau Kumbang.
“Ada yang pandang sinis dengan keputusan saya, tapi saya tidak berasa malu menyarung jersi Pulau Pinang walaupun sekadar bermain dalam Liga Premier,” ujar Raimi kepada Berita Harian.
Pertahanan berusia 31 tahun itu juga turut memaklumkan yang dia telah menolak tawaran beberapa pasukan daripada Liga Super untuk memilih Pulau Pinang.
Ini adalah disebabkan janjinya untuk membantu ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan yang telah merisiknya selepas dia dilepaskan oleh pasukan Selangor.
“Saya tertarik dengan perancangan Zainal untuk memulihkan prestasi Pulau Pinang dan menyatakan kesediaan untuk membantunya jika beliau benar-benar memerlukan tenaga saya.
“Jadi, meskipun selepas itu menerima tawaran daripada beberapa pasukan termasuk yang berstatus Liga Super, saya menolaknya kerana memegang janji kepada Zainal,” jelasnya lagi.
“Sasaran saya sudah pasti mahu membantu Pulau Pinang kembali ke Liga Super. Kalau boleh dengan menjuarai Liga Premier musim depan,” tekad Raimi.
Selain itu, Raimi turut yakin, pengalaman enam musimnya di Selangor akan memberikan kelebihan buatnya untuk melonjak kembali Pulau Pinang ke Liga Super 2019.
Untuk rekod, Raimi pernah beraksi di bawah kendalian Zainal di Selangor pada musim 2016. Dan mungkin atas faktor itu jugalah, Raimi telah dirisik oleh Zainal selepas dilepaskan oleh Selangor.
Walaubagaimanapun, menurut laporan Sinar Harian, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dilihat belum lagi memuktamadkan perjanjian bersama pemain-pemain itu lagi termasuklah Raimi.
Ini kerana, menurut sumber dalaman FAP itu, pihaknya juga sedang berusaha untuk mendapat tajaan melalui penaja berpontensi buat pasukan dengan kerjasama kerajaan negeri.