Rahsia Peningkatan Mendadak Man United Pasca Lockdown

Manchester United tidak dinafikan telah mengejutkan ramai peminat bola sepak Inggeris dengan peningkatan mendadak pada separuh musim kedua kempen 2019/20, khususnya selepas saingan dimulakan kembali pasca lockdown.

Dari segi prestasi permainan di atas padang, ketibaan pemain baharu seperti Bruno Fernandes dari Sporting Lisbon dikatakan menjadi punca peningkatan ini.

Namun selain daripada Fernandes, Manchester United sebenarnya masih menggunakan kumpulan pemain hampir sama, baik di bahagian pertahanan dan serangan.

Bola sepak adalah permainan secara berpasukan, dan mustahil hanya dengan seorang pemain boleh membawa impak sebesar sedemikian.

Prestasi Manchester United

Musim 2019/20 menyaksikan prestasi tidak menentu Manchester United di dalam saingan liga. Pada penghujung Disember dan awal Januari, masa depan pengurus pasukan Ole Gunnar Solksjaer sendiri turut menjadi tanda tanya.

Namun segalanya berubah menjelang Februari. Bermula dengan keputusan seri 0-0 menentang Wolverhampton Wanderers di Old Trafford pada 2 Februari, skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer kemudiannya merekodkan sembilan kemenangan, dan empat keputusan seri tanpa sebarang kekalahan.

Bruno Fernandes Manchester United
(Photo by Simon Stacpoole/Offside/Offside via Getty Images)

Prestasi cemerlang di dalam saingan liga turut diikuti oleh kemaraan sehingga ke separuh akhir Piala FA, dan Liga Europa.

Secara keseluruhan dalam tempoh itu, Manchester United tidak tewas dalam 85% perlawanan yang mereka harungi. Itu satu peningkatan luar biasa bagi sebuah pasukan yang hanya berjaya mengumpul 28 mata dari 19 perlawanan dan menduduki kedudukan ketujuh selepas Krismas.

Perubahan nutrisi dan diet pemain

Antara perubahan awal yang dilakukan oleh Ole Gunnar Solksjaer di pusat latihan Carrington selepas dilantik secara tetap menggantikan Jose Mourinho adalah menstruktur semula kantin yang berada di pusat latihan itu.

Pada era Louis van Gaal, David Moyes dan Mourinho, kantin di Carrington boleh memuatkan 160 kakitangan pada satu-satu masa dan setiap daripada mereka termasuk pemain berkongsi sumber makanan yang sama.

Setiap hari makanan akan tersedia sebelum tengah hari, tetapi pemain hanya akan muncul selepas 2pm setelah menamatkan sesi latihan. Dari segi keperluan, makanan yang tersedia begitu lama pasti akan mulai hilang nutrisinya.

Sejak dari itu, Solksjaer mengarahkan Ketua Chef,  Mike Donnelly untuk menyediakan stesen berasingan untuk pemain menikmati makanan secara segar untuk nutrisi optimum.

Kedengarannya agak remeh. Namun perkara yang dianggap kecil sebegini sebenarnya adalah permulaan kepada rejim nutrisi yang terpaksa dilalui oleh pemain ketika lockdown.

Pemantauan berterusan

Sepanjang tempoh lockdown dari Mac sehingga Julai, pihak kelab tetap tidak lari memantau pengambilan nutrisi dan diet pemain. Ia termasuklah pelaksanaan latihan memasak melalui telegram, penghantaran makanan ke kediaman pemain, dan juga pengabilan berat secara berkala dan virtual.

Ketua Sains Perubatan dan Sukan, Steve McNally mendedahkan pakar nutrisi Mark Ellison dan Tom Whitehead sememangnya sudah memulakan pelan nutrisi sejak sebelum bermula lockdown.

“Pemain memiliki program nutrisi masing-masing – ia sebahagian daripada program dan amalan sebelum ini – kami hanya meneruskan sahaja,” kata McNally.

“Namun demikian kami harus melakukan sedikit perubahan kepada perincian. Ini kerana pemain tidak akan bekerja keras dari segi latihan atau perlawanan yang mereka lalui. Maka pengambilan tenaga adalah berkurang daripada apa yang mereka biasa ambil.

“Apabila anda bosan dan duduk di rumah, ia amat mudah untuk makan – kita semua melakukannya – tetapi peraturan asas ialah jika anda sendiri tidak membeli makanan itu, maka anda tidak akan mempunyai pilihan. Lakukan pilihan dengan betul ketika membeli belah dan anda tidak akan tersilap di dalam pemakanan pada masa yang sukar begini.

“Pakar nutrisi juga akan melakukan timbangan berat badan setiap minggu, dengan parameter tertentu telah ditetapkan. Malang sekali kami tidak boleh menyemak paras lemak di dalam badan sehingga mereka benar-benar kembali.”

Pemain belajar masak sendiri

McNally adalah salah seorang kakitangan Man United yang kekal di Pusat Latihan Aon di Carrington untuk tujuan pemantauan nutrisi pemain sepanjang tempoh lockdown.

Beliau juga mendedahkan kebanyakkan pemain memiliki chef mereka sendiri, tetapi kali ini setiap pemain tidak terkecuali untuk mengikuti program pemakanan yang telah diaturkan kelab dan dikehendaki oleh Solksjaer.

“Pakar nutrisi kami memastikan setiap pemain mengikuti kelas memasak di Instagram. Maka tidak hairanlah beberapa daripada pemain kini memiliki skill baru, dan ada juga yang mengalami kecederaan ketika memasak,” kata McNally merujuk kepada insiden melibatkan Jesse Lingard.

“Mereka yang tiada kemudahan memasak di rumah, atau memang tidak pandai langsung dan motivasi untuk masak, kami sudah sediakan pengedar yang akan menghantar makanan tersedia berdasarkan nutrisi dipinta ke kediaman setiap pemain. Jadi harapan kami ialah mereka sentiasa mendapatkan makanan yang berkualiti.

“Apa yang kami [kelab] mahukan ialah pemain sentiasa mendapat makanan yang berkualiti seperti telah diprogramkan.”

Selain daripada itu, setiap pemain Manchester United turut diberikan akses kepada kursus atas talian oleh Universiti Terbuka mengenai keperluan Sains kepada Nutrisi dan Makanan Sihat.

Ia untuk pemain memahami topik khusus mengenai sistem pencernaan, pengambilan nutrisi dan memahami label makanan dalam tempoh lapan minggu.

Keperluan nutrisi kepada pemain bola sepak

Ada dua sebab utama mengapa pemain bola sepak profesional harus menekankan pengambilan nutrisi yang betul.

Pertama, nutrisi dianggang penting untuk perkembangan pemain demi menghasilkan prestasi terbaik di atas padang.

Pemakanan yang sihat dan penjagaan diet merupakan keperluan wajib yang membantu pemain bola sepak membina otot, memperbaiki daya pemikiran dan juga untuk perkembangan fizikal.

Sangat penting untuk para pemain muda sentiasa mengambil makanan nutrisi untuk memastikan badan mereka mempunyai tenaga dan protein yang diperlukan

Setiap makanan dan minuman yang mereka ambil adalah sangat penting kerana ia mampu memberi impak kepada prestasi fizikal mereka ketika sedang menjalani latihan ataupun sedang bermain dalam perlawanan penting.

Kedua, nutrisi yang betul membantu pemain untuk mengelakkan diri dari kecederaan.

Di dalam kes Manchester United ini, pasukan nutrisi mereka berjaya menyediakan jadual pemakanan yang sesuai dengan keperluan pemain sepanjang tempoh lockdown untuk memastikan setiap pemain sentiasa bersedia untuk kembali ke padang pada ketika diperlukan, dan mengelakkan diri dari mengalami kecederaan ketika beraksi selepas berehat lama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN