Pengendali kelab Indonesia, Madura United, Rahmad Darmawan mendedahkan akan cuba menyunting beberapa pemain Terengganu FC pada musim hadapan selepas tertarik dengan permainan mereka.
Kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi persahabatan pra-musim di Kuala Terengganu pada 24 dan 26 Januari yang lalu dan bekas pengendali T-Team itu jelas amat tertarik dengan prestasi lima pemain.
Kelima-lima pemain tersebut pernah menjadi anak buahnya ketika beliau mengendalikan di T-Team pada musim 2016 dan 2017 iaitu Arif Fadzilah Abu Bakar, Mohamad Kamal Azizi, Muhammad Mohd Fauzi, Azalinullah Alias serta penjaga gol utama, Muhammad Ilham Amirullah Razali.
Rahmad Darmawan menghormati kontrak pemain-pemain tersebut bersama Terengganu dan dipetik berkata akan kembali memantau prestasi mereka, mungkin untuk saingan musim hadapan.
“Buat masa ini saya rasa biarlah pemain berkenaan beraksi bersama pasukan TFC, saya percaya pemain itu mampu mencipta nama bersama pasukan diwakilinya berdasarkan bakat yang mereka ada.
“Tapi itu mungkin perancangan akan datang, kita akan lihat macam mana, sama ada bakal mengambil pemain berkenaan atau sebaliknya,” jelas pengendali berusia 53 tahun itu kepada Berita Harian.
Menurut Rahmad Darmawan lagi, ketika ini Madura United sudah memiliki empat pemain import, dan sekiranya peraturan di Indonesia membenarkan import dari ASEAN, beliau akan menggunakannya.
“Ini kerana musim ini kita sudah ada empat pemain import untuk memperkuatkan pasukan bagi memastikan sasaran berada sekurang-kurangnya tiga kelompok teratas liga menjadi kenyataan.
“Tapi jika ada peraturan membolehkan kita mengambil pemain dari negara ASEAN, saya rasa kita tidak ada salah untuk mengambil pemain berkenaan,” tambahnya lagi mengenai isu tersebut.
Kenyataan daripada pengendali berpengalaman ini seakan-akan mengiyakan kenyataan daripada Timbalan Persatuan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.
Sebelum ini, Hishamuddin mengesahkan yang beberapa pemain Terengganu telah menarik perhatian kelab-kelab di Thailand selepas Jelajah Pra-Musim di Thailand pada 30 Januari hingga 03 Februari lalu.
Salah seorang yang telah disebut adalah pemain muda berusia 23 tahun, Azalinullah Alias yang turut menarik perhatian Rahmad Darmawan sebelum Jelajah Pra-Musim di Bangkok itu bermula.
KREDIT FOTO: TERENGGANU FC