Raheem Sterling dikatakan akan menanggung segala kos untuk pengebumian pemain remaja Crystal Palace, Damary Dawkins yang meninggal dunia pada usia 13 tahun pada Mac lalu.
Sebelum itu, pemain sayap Manchester City itu pernah terlibat dengan kempen untuk mencari penderma sel stem yang sesuai untuk Damary yang merupakan penghidap penyakit lymphoblastic leukimia.
“Damary adalah anak muda yang telah menyentuh perasaan ramai orang termasuk saya,” ujar Sterling.
Pemain antarabangsa England berusia 24 tahun itu dijadualkan akan hadir ke majlis pengebumian Damary pada Jumaat akan datang.
Sterling menyifatkan Damary sebagai ‘contoh kepada semua orang’ yang sentiasa “positif sehingga ke akhirnya”.
Keluarga remaja itu turut melancarkan tabung GoFundMe untuk meraih £15,000 semata-mata untuk pengebumian terbaik untuk Damary.
Pada Mac lalu, Sterling meraikan jaringan kedua untuk England dalam kemenangan 5-0 ke atas Republik Czech dengan menyelak jersi untuk menunjukkan pakaian sebelah dalam yang memaparkan dirinya bersama Damary.
Ayah kepada Damary, Tony menyifatkan apa yang dilakukan oleh Sterling itu sebagai sesuatu yang amat menyentuh perasaan.
“Saya tahu Sterling dan Damary sentiasa berhubung selepas pemain itu melawat Damary di hospital. Mereka bermain pool bersama-sama dan turut pernah bertukar jersi.
“Saya masih ingat ketika Crystal Palace tewas kepada Manchester City – Damary mengambil swafoto dirinya dan menghantar kepada Raheem. Mereka saling malakukan usikan kepada satu sama lain mengenai perlawanan tersebut.
Menurut BBC, Damary berjaya memperolehi sel stem yang sepadan dengan beliau beberapa hari sebelum Krismas. Namun kesihatan Damary semakin merosot kembali pada Februari.