Pemain sayap Man City, Raheem Sterling berkata yang semua golnya tidak bermakna jika mereka tidak menjulang sebarang kejuaraan pada penghujung musim ini.
Beliau berjaya meledak hatrik dalam kemenangan besar 5-0 ke atas Brighton malam tadi dan Man City telah meraih kemenangan 5-0 dalam dua perlawanan berturut-turut. Sejak ‘restart’, ini adalah kemenangan lima gol tanpa balas ketiga buat mereka.
Jaga-jaga Jamie Vardy
Bercakap mengenai kejayaannya melakar hatrik, Raheem Sterling jelas sangat gembira dan menyatakan yang beliau masih bersaing untuk anugerah Kasut Emas Premier League musim ini. Hanya lima gol dibezakannya daripada Jamie Vardy setakat ini.
Penyerang Leicester City, Jamie Vardy berada di puncak dengan 22 gol, diikuti oleh Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal) dengan 20 gol, Danny Ings dan Mohamed Salah (19 gol) dan dirinya yang telah berjaya meledak 17 gol dalam saingan liga.
“Sebelum perlawanan saya ada bercakap yang saya telah menjaringkan 14 gol dan saya perlukan hatrik untuk malam ini. Saya sangat bersyukur berjaya melakukannya,” ujar Sterling yang telah dua kali membuat hatrik untuk saingan musim ini.
Begitupun, baginya, rekod jaringannya tidak bermakna sekiranya, “Pengakhirannya, kami perlu memenangi Piala FA atau cuba meraih kejuaraan Champions League juga.”
Lawan dah goyang
Selain itu, Raheem Sterling turut bercakap mengenai masalah The Citizens musim ini yang mungkin telah merencatkan usaha mereka dalam mempertahankan kejuaraan iaitu ketumpulan jentera serangan yang ketara berbanding musim sebelumnya.
“Masalah kita pada musim ini adalah, kita mencipta banyak peluang, sebagaimana musim sebelum ini, kita menyudahkan setiap peluang itu dan menamatkan perlawanan [dengan kemenangan],” ujar pemain yang kini berusia 25 tahun itu.
“Kita mengetahui yang kita adalah pasukan yang menyerang. Kita banyak dikecewakan dengan keputusan beberapa perlawanan musim ini yang kita rasa kita mampu untuk memenanginya. Musim ini, kita kurang bernasib baik,” tambahnya lagi.
Ketika ditanya apakah pesanan yang telah dilaungkan buat lawan mereka dalam baki perlawanan musim ini dan kejohanan lain, Sterling telah berkata, “Perlawanan demi perlawanan, ia adalah berbeza. Tetapi lawan akan takut dengan gaya kita bermain tadi.”
Raheem Sterling seorang pesaing
Sementara itu, pengendali Man City, Pep Guardiola memuji anak didiknya itu apabila tampil menyerlah ketika menundukkan Brighton. Baginya, Raheem Sterling semakin matang dalam permainannya dengan apa yang ditonjolkan pada musim ini.
Ketika Pep Guardiola mengambil alih pasukan, pemain skuad kebangsaan England itu dilihat sangat sukar untuk meledak banyak gol tetapi kini, banyak perubahan dalam permainannya dapat dilihat dan rekod jaringannya itu adalah yang paling menonjol.
“Bagi saya, kredit kepadanya untuk kemenangan ini. Perkembangannya sebagai pemain adalah disebabkan sesi latihannya, dia mahu meningkatkan kemampuannya. Kami sangat gembira dengan persembahannya pada malam ini,” ungkapnya.
“Saya tidak perlu beritahu Raheem apa yang saya mahukan darinya, dia tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia seorang pesaing, berkeyakinan tinggi, agresif dan sangat suka menjaringkan gol. Saya sukakan pemain sayap yang mampu buat gol,” tambahnya.
Penutup
Beliau telah melaungkan keyakinan untuk mencabar anugerah Kasut Emas yang kini seakan-akan sedang menuju kepada Jamie Vardy. Selain itu, Raheem Sterling juga yakin yang lawan mula takut untuk berdepan dengan Man City pada ketika ini.
Adakah beliau akan berjaya dalam misinya memburu Kasut Emas dan memberikan kejuaraan Piala FA atau Champions League kepada Man City?
KREDIT FEATURED IMAGE: PA