Presiden Real Madrid, Florentino Perez telah mengesahkan pemecatan Rafa Benitez sebagai pengurus pasukan dan mengumumkan perlantikan lagenda, Zinedine Zidane sebagai pengganti.
Pengumuman tersebut sepatutnya diumumkan lebih awal, tetapi terpaksa dilewatkan kerana bilik sidang media Real Madrid digunakan untuk parti hari lahir kanak-kanak.
Benitez hanya baru 7 bulan memegang jawatan pengurus Real Madrid selepas menggantikan Carlo Ancelotti pada Jun 2015.
Benitez meninggalkan Real Madrid di kedudukan ke-3 La Liga, 4 mata di belakang pendahulu Atletico Madrid, dan 2 mata dibelakang Barcelona.
Perlawanan terakhirnya adalah ketika menentang pasukan Valencia kendalian Gary Neville, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Madrid juga layak ke pusingan kalah mati UEFA Champions League dan bakal berdepan AS Roma. Perlawanan pertama akan berlangsung pada pertengahan Februari di Itali.
Bagaimanapun, Madrid disingkirkan daripada kejohanan Copa del Rey selepas membenarkan Denis Cheryshev bermain ketika menentang Cadiz. Sedangkan beliau sepatutnya menjalani hukuman penggantungan perlawanan.
Sebelum ini Zinedine Zidane, bekas penolong pengurus skuad utama Real Madrid ketika di bawah kendalian Carlo Ancelotti, mengurus pasukan ‘B’ Real Madrid dalam liga Segunda B, liga ke-3 Sepanyol.
Ketika ini Real Madrid ‘B’ sedang menghuni tangga ke-2 liga kumpulan B.
Musim lepas, pasukan B kendalian Zidane itu tersingkir dari liga Segunda, liga ke-2 Sepanyol.
Mampukah Zidane menangani tekanan?
Sesetengah peminat bola sepak melihat tindakan Zidane mengambil alih skuad senior Real Madrid sebagai ‘membunuh kariernya sendiri’.
Tekanan tinggi daripada ahli-ahli lembaga pengarah kelab dan penyokong telah menyaksikan ramai pengurus pasukan yang berpengalaman dan berwibawa ‘tewas’. Antaranya Manuel Pellegrini, Jose Mourinho dan Carlo Ancelotti.
Mereka melihat Real Madrid bukanlah kelab sesuai bagi pengurus baru untuk memulakan karier pengurusan. Apatah pula untuk membina dinasti pengurusan yang panjang seperti yang dinikmati Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger.
Tetapi ada juga yang lebih optimistik. Melihat Pep Guardiola juga memulakan karier pengurusannya dari skuad simpanan, Zidane berpotensi melakukan apa yang Guardiola lakukan kepada Barcelona.
Mengurus pasukan yang penuh dengan bintang dan tekanan yang tinggi, pengurus Real Madrid mestilah seseorang yang dihormati oleh pemain-pemain bintangnya.
Taktikal Rafa Benitez mungkin kelihatan bagus di atas kertas, tetapi kegagalannya mendapat rasa hormat daripada pemain bintangnya sendiri – terutamanya Cristiano Ronaldo – mungkin menyebabkan Benitez dipecat.
Tetapi mungkin dengan reputasi Zidane sebagai lagenda kelab akan memberi beliau rasa hormat daripada pemain-pemain bintangnya.
Baca juga: Rafa Benitez Dimaki Oleh Cristiano Ronaldo Selepas Latihan Ini