Legenda bola sepak Kedah, Muhamad Radhi Mat Din yang baharu sahaja dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi penggal 2018-2022 mahu semua pihak berganding bahu dalam melonjakkan kehebatan pasukan tersebut.
Radhi, 55 tahun, telah menang tanpa bertanding bagi mengisi jawatan tersebut susulan satu Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada pagi tadi.
Beraksi bersama Kedah bermula musim 1986 hingga 2000, kehadiran Radhi dalam menggalas tanggungjawab tersebut nyata menjadi satu perkembangan baik buat KFA dan perkembangan terkini itu diterima dengan cukup baik para penyokong skuad Hijau Kuning.
Meskipun menganggap ia merupakan cabaran baharu buat dirinya, Radhi menyeru semua pihak dapat memberikan kerjasama padu dalam meletakkan KFA di landasan yang baik selepas ini.
”Yang pertama kali saya nak ucapkan terima kasih kepada Presiden, Eksekutif dan juga kelab gabungan yang memilih saya sebagai Naib Presiden,” ujar Radhi kepada laman sosial FA Kedah.
”Saya rasa ini satu tanggungjawab yang besar tetapi kita sama-sama pikul kerana ini merupakan pertama kali sejak saya meninggalkan pasukan kira-kira tujuh tahun lalu, kemudian apabila saya dilantik dalam pengurusan pasukan, satu benda yang agak baru buat saya.”
”Tetapi Insyaallah saya yakin dengan barisan eksekutif yang kita ada, dengan komitmen yang diberikan oleh Presiden baharu kita.”
”InsyaAllah saya ingat kita sama-sama berganding bahu untuk memastikan bahawa KFA terus cemerlang dan sudah pastinya kita akan meletakkan KFA di tempat sasaran yang terbaik,” tambah Radhi Mat Din lagi.
Dalam perkembangan sama, ahli gabungan telah sebulat suara melantik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Presiden KFA yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Seperti yang diketahui, KFA sebelum ini mencuri tumpuan banyak pihak selepas dibelenggu masalah tunggakan gaji dan sudah pastinya penyokong setia Kedah mahu perkara tersebut menjadi tumpuan khusus kepimpinan baharu ini.
Kredit foto: FA Kedah
Baca artikel lain dari kami mengenai KFA: