Baru berusia 22 tahun dan merupakan kapten pasukan yang bersaing di Liga 1 Indonesia, Persebaya Surabaya, Rachmat Irianto turut mencuri tumpuan apabila telah mengatasi arkitek era moden Indonesia, Evan Dimas.
Di saat semua hampir pasti yang Evan Dimas akan mengetuai jentera tengah di Piala AFF Suzuki 2020 ketika tersenarai, secara tiba-tiba, Rachmat Irianto yang menjadi pilihan pengendali asal Korea Selatan, Shin Tae-yong.
Dari segi perbandingan, Evan Dimas lebih kepada arkitek pasukan sedangkan Rachmat Irianto adalah pemain tengah bertahan. Gandingan kukuhnya bersama rakan sepasukan di Persebaya Surabaya, Ricky Kambuaya menjadi kunci kestabilan Garuda kali ini. Mereka tidak fokus kepada kekuatan hantaran jauh Evan Dimas.
Detik Kemunculan Pertama Evan Dimas, ‘Anak Ajaib’ Sang Garuda
Ini terbukti dengan statistik hantaran jauh terbanyak dalam saingan kali ini, hanya pemain pertahanan tengah, Alfeandra Dewangga berada dalam ‘top 10’ hantaran jauh terbanyak. Ya, beliau seorang pertahanan tengah!
Seperti biasa, pemain tengah bertahan akan kurang didendang, namun ternyata kehadiran mereka amat penting dalam keseimbangan pasukan – yang mana Malaysia mengambil mudah dan merupakan titik terlemah kali ini.
Shin Tae-yong mementingkan keseimbangan di tengah dengan meletak dua pemain tengah yang kombatif, Rachmat Irianto dan Ricky Kambuaya untuk melindungi benteng mereka saat pasukan dalam fasa bertahan.
Walaupun Evan Dimas boleh sahaja diletakkan, namun sebagaimana yang kita tahu, beliau kurang kombatif dan jika disamakan gaya permainannya dengan pemain Malaysia, mungkin mirip kepada arkitek, Baddrol Bakhtiar.
Lagipun, Rachmat Irianto adalah pemain utiliti dalam skuad Garuda. Posisi asalnya adalah bek tengah dan berperanan sebagai seorang ‘stopper’. Jadi, beliau sudah biasa ‘berlawan’ dengan pemain lawan dalam perebutan bola dan mudah memahami bagaimana untuk membantu benteng pertahanan di saat bertahan.
Disebabkan itu, beliau memiliki peratus successful tackles yang tinggi iaitu 90 peratus. Berbanding Evan Dimas dan Ricky Kambuaya, kedua-duanya hanya melakar 60 peratus successful tackles setakat ini dalam saingan Piala AFF. Beliau juga telah berjaya membuat sembilan hadangan, enam clearances dan lima pintasan.
🎥 HIGHLIGHTS | 🇮🇩 Indonesia 4-2 Cambodia 🇰🇭
6⃣ goals ✅
Plenty of action ✅
Some good moves 👀A match that gave us everything we needed ⭐️#AFFSuzukiCup2020 | #RivalriesNeverDie | #IDNvCAM pic.twitter.com/AhzKmLYVnJ
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 9, 2021
Dengan ketinggian 173cm, beliau juga boleh diharapkan ketika pasukan memperolehi situasi bola mati. Sudah tentu beliau diharapkan untuk memenangi perebutan bola di udara, namun Indonesia telah memiliki Elkan Baggott yang baru tiba di Singapura dan memiliki ketinggian 194cm bagi perebutan bola di udara selepas ini.
Rachmat Irianto juga membuktikan beliau mampu meledak gol dan telah melakar dua gol ketika membenam Kemboja 4-2 dalam aksi pertama Kumpulan B tempohari. Namun, itu bukan tugas utamanya dalam pasukan.
Berdepan Singapura dalam aksi kedua separuh akhir Piala AFF malam ini, bukan hanya aksi kapten, Asnawi Mangkualam yang perlu diberikan perhatian dari segi mencipta gerakan serangan ke benteng lawan, peranan Rachmat Irianto dalam menghalang The Lions merobek gawang juga wajar diberikan perhatian dan diteliti.