Bekas pengendali Barcelona, Quique Setien mendedahkan kenyataan pahit apabila kelab itu sebenarnya masih berhutang dengannya sehingga kini.
Setien yang kini bersama Villareal selepas Unai Emery berpindah ke Aston Villa mengatakan yang Barcelona masih tidak melunaskan secara keseluruhan hutang mereka terhadap beliau walaupun sudah pun tidak bersama.
“Barcelona masih berhutang dengan saya,” kata Setien secara ringkas menerusi MARCA.
Setien mengakui yang bekerja untuk Barcelona adalah mimpi indah untuk dirinya. Namun begitu, jika segalanya tidak menjadi, elok saja undurkan diri.
“Barcelona adalah satu pasukan yang saya sentiasa mahu bekerja bersama.
“Tetapi, jika apa yang kita lakukan tidak begitu menjadi. Kita tidak sepatutnya bersikap hipokrit dan undurkan saja diri,” jelas Setien.
Tempoh Setien bersama-sama Barcelona tidak lama dengan beliau hanya bertahan selama 25 perlawanan sahaja ketika mengendalikan kelab itu pada 2020.
Selepas masanya dengan Barcelona sudah berakhir, Setien tidak mengendalikan mana-mana kelab hinggalah Villareal datang memanggi untuk menggantikan Emery.
Barcelona sehingga kini masih lagi mengalami pelbagai masalah kewangan walaupun persembahan mereka di padang kelihatan baik.
Namun terma “baik” itu tertakluk kepada prestasi dalam saingan domestik sahaja kerana Barcelona baru saja disingkirkan ke Europa League apabila terkandas di UEFA Champions League.
Ini merupakan satu detik yang memalukan kelab itu kerana sejak Lionel Messi meninggalkan mereka, sering saja Barcelona menikmati permainan bola sepak ketika Khamis malam Jumaat.