Trivela: Bagaimana Quaresma Gunakan Seni Gelap Ini Secara Ekpresif Dan Menutup Kecacatannya

Malam 26 Jun 2018, lebih 46,000 penonton di Moldovia Arena – Rusia – dan berjuta-juta lagi di hadapan kaca televisyen terpukau dengan seni indah trivela oleh Quaresma yang melemaskan penjaga gol Iran Alireza Beirandvand.

Quaresma adalah pakar kepada seni itu dan ianya bukan satu kebetulan. Ianya adalah satu praktikal yang sudah berkali-kali beliau lakukan.

Quaresma yang dahulunya digelar bakat prospek elit Eropah – sebenarnya tidak ada gol di Piala Dunia sebelum malam menentang Iran itu. Namun, tiada cara yang lebih baik untuk pakar trivela ini mencetak gol pertama Piala Dunia beliau – selain daripada dengan trivela.

Ia menjadikan Quaresma sebagai pencetak gol sulung Piala Dunia yang paling tua dalam sejarah – pada usia 34 tahun 272 hari.

Seni gelap untuk menutup kecacatan

Trivela adalah satu seni yang digunakan oleh Quaresma untuk menutup kecacatannya. Ramai pemain lain yang boleh melakukan trivela namun mereka menggunakannya tidak sekerap Quaresma. De Bruyne misalnya, pemain yang kerap melakukan sepakan itu. Namun beliau sebenarnya memiliki kekuatan kedua-dua belah kaki.

Untuk Quaresma pula beliau adalah penyerang sayap kanan yang memiliki penyudah kaki kiri yang sangat lemah. Itulah kecacatan beliau. Ianya dianggap kecacatan oleh pemain profesional yang bergelar penyerang.

Apabila anda menjadi penyerang sayap, anda perlu ada kemampuan menjaringkan gol – ianya berbeza dengan pemain sisi yang disebut side midfielder.

Dalam bola sepak pemain sayap (winger) adalah lebih lincah dan lebih tamak untuk menjaringkan gol. Berbeza dengan pemain sisi (side midfielder – seperti Beckham) yang lebih kepada pembekal hantaran lintang kepada penyerang utama.

Keadaan terbaik untuk menjaringkan gol oleh penyerang sayap adalah dengan gerakan pancung masuk ke dalam (cut inside) dan melakukan lencongan ke arah ‘far post’. Lencongan ini adalah untuk mengatasi jangkauan penjaga gol dan melengkung masuk ke dalam gawang.

Itulah yang dilakukan oleh Arjen Robben daripada posisi sayap kanan dengan kaki kiri beliau.

Namun begitu, untuk pemain sayap kanan yang berkaki kanan seperti Quaresma, apabila anda memancung masuk ke dalam, anda perlu menggunakan kaki kiri untuk melakukan lencongan itu. Jika anda menggunakan kaki kanan, anda perlu menekankan aspek ‘power’ (kekuatan) berbanding dengan mencari sudut terbaik (top angle).

Ada yang menyebut dalam melakukan percubaan penyerang ada 2 pertimbangan utama:

1. Ketepatan dengan menggunakan teknik (biasa disebut placing oleh pengulas)
2. Kekuatan sepakan

Dalam kes Quaresma, beliau bukan pemain kaki kanan yang mempunyai rembatan deras seperti mana penyerang saya seperti Cristiano Ronaldo – jika Cristiano diarahkan bermain sayap kanan.

Oleh itu beliau perlu menekankan aspek ketepatan berbanding dengan kekuatan tembakannya. Lalu Quaresma menajamkan teknik sepakan menggunakan kaki luar ataupun outside foot beliau untuk melakukan lencongan itu.

Setiap hari beliau berlatih dan cuba memastikan kecacatan beliau dengan kaki kiri dan ketidakupayaan menembak deras dengan kaki kanan itu ditutup. Maka trivela adalah jawapannya. Jadi secara sombongnya anda boleh berkata: “Buat apa perlukan kaki kiri jika anda ada trivela yang padu?”

Trivela ini membuatkan Quaresma menyimpan ‘2 kaki’ di dalam 1 kaki.

Mourinho: Dia masih tak nak belajar

Agak ironi ketika menjaringkan gol menentang Iran itu, Jose Mourinho adalah tetamu khas sebuah program tv untuk menganalisis perlawanan.

10 tahun lalu ketika di Inter Milan Jose Mourinho meminta pemain itu berubah dalam banyak perkara melibatkan aspek permainan beliau. Mourinho ketika itu berkata: “Quaresma harus terus belajar dan perbaiki diri, jika tidak, beliau tidak akan bermain.”

Mourinho merujuk kepada bukan sahaja hilang tempat di Inter Milan, malah dengan jurulatih dan pasukan lain pun beliau akan sukar.

Namun terpancar senyuman di wajahnya menyaksikan gol ke atas Iran pada hari itu. Memang beliau ada rasa ‘bias’ kerana itu negaranya. Namun dari sudut yang lain beliau menyatakan Quaresma sudah banyak belajar di dalam kariernya.

Mourinho harus akur bahawa Quaresma pemain yang sangat ego. Namun beliau tidak menafikan kehebatan bekas anak didiknya itu.

“Saya yakin beliau sudah banyak berubah dan lebih berdisiplin dalam taktikal. Namun, sekarang ini beliau masih suka menendang bola dengan kaki luarnya.”

Mourinho hanya tersenyum melihat ‘budak’ bernama Quaresma itu dahulu sampai ke ‘tua’ masih enggan belajar untuk memperbaiki kaki kirinya. Untungnya Quaresma kerana beliau ada trivela. Itulah senjata utama beliau.

Mourinho juga menerima hakikat seni yang dianggap ‘seni gelap’ (black art) ataupun black market dalam bola sepak itulah yang membuatkan Quaresma terus ‘survive’ di dalam kariernya. ‘Ugutan’ beliau dahulu ke atas Quaresma masih tak cukup untuk membuatkan pemain nakal itu berubah untuk menghidupkan kaki kirinya.

Luka Modric mendedahkan Rafa Benitez pernah melarang beliau untuk menggunakan trivela – ketika Rafa menjadi pengurus Real Madrid. Ini kerana, trivela akan membuatkan pemain enggan menggunakan kaki lemah mereka. Dalam bola sepak pemain harus mempraktikkan penggunaan kaki lemah mereka di dalam perlawanan sebenar.

Ramai juga pengurus akademi umur awalan tidak menggalakkan pemain mereka melakukan trivela. Kerana isu yang sama iaitu, mahu pemain menggunakan kaki lemah sebagai amali. Alasan yang lain adalah, jika salah dilakukan, ianya boleh menyebabkan kecederaan.

Ini kerana buku lali dikunci (ankle locked) dengan tegang serta kaki kekuda (standing) perlu dibenamkan dengan betul. Jika salah teknik, selain daripada kecederaan, hasil akhir (end product) juga buruk. Bola akan tersasar jauh.

Namun pada hari ini, dalam era bola sepak moden, jurulatih banyak berevolusi dalam pendekatan mereka. Sudah banyak akademi elit di Eropah yang menyediakan silibus pengajaran untuk membantu pemain melakukan trivela dengan teknik yang betul. Ini untuk mendapatkan hasil terbaik daripada pemain yang ‘mati’ kaki sebelah.

Quaresma telah membuatkan seni daripada kecacatan ini menjadi kegemaran ramai peminat bola sepak.  Dalam karier awalnya di Sporting Lisbon, Quaresma tidak berpeluang untuk mengekspresikan dirinya di dalam padang dengan cara permainan beliau.

Sporting Lisbon menganggap gandingan Quaresma-Cristiano sebagai super duo daripada akademi mereka. Namun selepas itu, Quaresma kerap disisihkan kerana isu disiplin dan kuat memberontak. Membuatkan super duo itu gagal membentuk gandingan seperti yang diharapkan oleh kelab tersebut.

Beliau mulai digelar Ronaldo versi jahat di Sporting. Quaresma mahukan lebih kebebasan di dalam permainan. Manakala Ronaldo pula lebih berdisiplin untuk melaksanankan kehendak jurulatih.

Ego yang merisikokan karier

Pada usia 19 tahun, beliau pernah menolak untuk bermain lagi dengan Barcelona. Ini selepas beliau ditegur kerana tidak mengikut arahan jurulatih. Ketika itu Quaresma menyatakan beliau enggan bermain kerana tiada kebebasan untuk bermain di atas padang dengan cara beliau sendiri. Pada usia 19 tahun? Quaresma meminta peranan bebas (free role)?

Beliau menyertai Besiktas pada 2012 dan membaling botol ke arah jurulatih pasukan – Carlos Carvahal. Beliau digantung oleh kelabnya selepas insiden itu. Quaresma kemudiannya pulang ke Portugal dan menyertai Porto dan kembali semula ke Besiktas.

Pada usia lewat barulah beliau menunjukkan dirinya lebih berdisiplin dengan taktikal. Sebab itu ramai pengulas melabel beliau sebagai late bloomer.

Bagi kami beliau lebih kepada bakat yang dipersiakan oleh egonya sendiri yang mahu menuntut kebebasan dalam permainan – pada usia muda  – usia di mana beliau sepatutnya fokus kepada pembangunan dan taat mendengar kata jurulatih.

Beliau akhirnya melakukan debut penuh dalam perlawanan major negaranya dalam Euro 2016 sebagai pemain veteran. Pada Euro 2012 beliau tidak bermain sebarang minit selepas pergaduhan dengan rakan sepasukan – Miguel Lopes – di pusat latihan.

Pada Piala Dunia 2014, beliau disisihkan pada senarai akhir. Ini selepas Paulo Bento memilih Nani pada saringan akhir itu. Bento menyatakan: “Saya tahu ramai tak sukakan keputusan yang saya ambil ini. Namun Nani adalah pemain yang berbeza karakter berbanding Quaresma.”

Namuna akhirnya Quaresma bermain juga di Piala Dunia pada 2018 bersama dengan Cristiano Ronaldo yang menjadi kapten beliau. Jika dahulu Ronaldo adalah junior setahun beliau.

Quaresma dan trivela

Kali pertama beliau menjaringkan gol di pentas liga utama dengan teknik ini adalah ketika bersama Porto pada musim 2004/05. Beliau menjaringkan gol pada minit ke-90 ketikan menentang Beira-Mar.

Sementara itu di pentas antarabangsa, mangsa pertama trivela beliau adalah Belgium pada 2007. Beliau menerima bola daripada Cristiano Ronaldo pada minit ke-86.

Beliau kemudian memancung bola itu dengan trivela dan melemaskan Stijn Stijnen. Itu adalah gol sulung beliau untuk Portugal selepas 5 tahun mewakili negaranya.

Pengurus Portugal ketika itu menafikan Quaresma sengaja cuba memalukan lawannya dengan teknik yang digelar ‘fancy’ itu. Sebaliknya Quaresma perlu melakukannya untuk melepaskan percubaan dengan kaki kanannya. Coelho menyatakan Quaresma bukannya pemain yang ego suka memperlekehkan lawannya di dalam padang.

Daripada kenyataan Coelho ini kita sudah boleh mentafsir bahawa, ada pemain seperti Ronaldinho melakukannya kerana ‘fancy trick’, namun untuk Quaresma ianya adalah satu keperluan untuknya. Saksikan gol itu di sini.

Daripada video di atas, anda melihat pertahanan memiliki masa sangat sedikit untuk bereaksi ke atas tindakannya kerana mereka tidak menjangka bola itu akan dipancung (chop) dengan sebegitu rupa.

Dan pada kelayakan Euro 2016, beliau menggunakan pancungan trivela itu untuk melakukan ‘assist’ cantik kepada Cristiano Ronaldo ketika menentang Estonia.

Buat masa ini, kami tidak menjumpai sebarang ‘footage’ video Quaresma melakukan lencongan dengan kaki kiri hasil daripada pintasan masuk daripada posisi sayap kanan.

Rumusan

Walaupun siapa sahaja pencipta ataupun pelopor kepada seni trivela ini di dalam bola sepak – ramai yang mengiktiraf Quaresma sebagai raja trivela.

Trivela telah menjadi penutup kecacatan dan kemalasan Quaresma untuk meningkatkan kemahiran kaki lemahnya di pusat latihan. Namun siapa akan ambil peduli jika kamu ada trivela seperti Quaresma.

Pada masa yang sama beliau menterjemahkan seni gelap ini sebagai ekpresi egonya yang yakin beliau adalah ‘one-footed player’ yang mampu bermain di peringkat tertinggi.

Beliau banyak memperbaiki aspek disiplin taktikal beliau pada usia lewat karier beliau. Namun untuk aspek teknikal melibatkan sepakan, beliau memang tidak berubah.

Dan akhirnya kita menganggap trivela sebagai satu kesempurnaan dalam permainan Quaresma. Di sebaliknya – ianya sebenarnya seni gelap yang membentuk kesempurnaan bagi menutup kecacatan beliau. Hasilnya sangat indah.

Beliau telah banyak membazirkan kariernya pada usia kemuncak kerana egonya yang terlalu mahu meminta kebebasan pada peringkat beliau patut fokus kepada pembangunan sebagai pemain pasukan dan lebih berdisiplin dalam taktikal.

Bayangkan jika beliau tiada trivela ini? Beliau hanyalah pemain sayap kanan yang tidak suka melakukan hantaran lintan daripada kawasan jauh di hujung sayap padang. Beliau tidak bagus secara posisi untuk peranan di sebelah kiri yang membolehkan beliau untuk memintas masuk dan melencongkan bola dengan kaki kanan.

Pada masa yang sama, beliau tidak ada kemampuan yang tinggi untuk melencongkan bola dengan kaki dalam (inside foot) apabila berada di posisi inverted winger.

Oleh itu, trivela ini antara teknik yang telah membuatkan beliau terus merentasi garis masa bersama dengan Cristiano Ronaldo – walaupun pada hari ini junior beliau itu sudah ada 5 Ballon d’Or.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN