Malaysia bawah 23 (B-23) bakal memulakan kem latihan serta beberapa aksi persahabatan bermula Mac hadapan dalam misi mereka untuk mengharungi saingan Piala Asia B-23 di Qatar tidak beberapa bulan sahaja lagi.
Terdahulu, timbul persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak negara yang mempertikaikan persiapan skuad B-23 negara sedikit suram jika dibandingkan oleh pasukan senior.
Apatah lagi, saingan Piala Asia B-23 kali ini dianggap sangat penting kerana ia membuka peluang untuk beberapa negara terpilih menyertai kejohanan Olimpik di Paris dan itu juga menjadi harapan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.
Untuk rekod, tiga pasukan terbaik di kejohanan Piala Asia itu berpeluang untuk mendapat slot ke Paris bagi menghadapi pula saingan pentas Olimpik.
Manakala pasukan di tempat keempat bakal menghadapi satu aksi ‘play off’ bersama wakil dari benua Afrika iaitu Guinea untuk turut merebut slot terakhir ke saingan tersebut.
Walaupun begitu, beberapa laporan lalu menyatakan FAM sudah pun memulakan kerja mereka untuk membuat persiapan kepada skuad kendalian Juan Torres Garrido bagi mengharungi kejohanan tersebut tidak lama lagi.
Laporan terbaharu menyatakan pasukan B-23 kebangsaan bakal mengharungi beberapa siri perlawanan untuk memberi momentum terbaik kepada mereka sebelum mengharungi saingan terbesar Asia itu.
Menurut FAM, Malaysia B-23 bakal mengharungi sekurangnya enam aksi persahabatan dan ia bakal bermula pada bulan hadapan dengan membabitkan beberapa negara terpilih.
Ujar Hamidin, Malaysia B-23 hampir pasti akan berdepan India bagi peringkat awal aksi persahabatan sebelum dua lagi lawan bakal menyusul kelak.
Katanya lagi, tiga aksi persahabatan itu bakal berlangsung di Lembah Klang dan ianya merupakan medan awal persiapan untuk Juan Torres mendapatkan momentum terbaik para pemain kendalian beliau.
Tidak terhenti setakat itu, Malaysia B-23 juga dilaporkan berkemungkinan bakal menghadapi cabaran Jepun serta Qatar dalam usaha untuk terus memantapkan pasukan tersebut.
“Saya akan umumkan pada Mac akan bermain (perlawanan persahabatan) di sini. Beraksi bertemu India dan ada dua aksi lagi.
“Selepas itu akan ke Qatar… kita akan main lagi dua atau tiga perlawanan mungkin lawan Jepun… Qatar kemungkinan pasti akan bertemu, Jepun pula nanti akan bincang,” katanya menerusi laporan Harian Metro.