Qatar 2022: Masanya Sudah Tiba Untuk Messi & Argentina Julang Piala Dunia

Qatar 2022
  • Pasukan: Argentina
  • Benua: Amerika Selatan
  • Kali terakhir layak: 2018
  • Pencapaian terbaik: Juara (1978 dan 1986)

Salah satu pasukan pilihan di Qatar 2022, Argentina hadir dengan harapan setinggi gunung untuk memburu hadiah paling lumayan dalam dunia bola sepak.

Kali terakhir dimenangi pada 1986 dimana era legenda terdahulu iaitu Diego Maradona mencuri tumpuan, kini telah tiba masa untuk generasi baharu diketuai Lionel Messi menamatkan penantian yang cukup panjang itu.

Hadir ke Piala Dunia dengan cubaan kali kelima, ini adalah masa terbaik untuk Messi dan Argentina menamatkan segala penantian dengan menambah satu lagi episod indah dalam perjalanan mereka menuju Qatar 2022 yang direncana sejak Copa America 2021.

Rekod sempurna

Perjalanan skuad kendali Lionel Scaloni di pusingan kelayakan berlangsung dengan cukup lancar apabila mereka tiada masalah menempah tempat ke Qatar 2022.

Menepati ramalan sebagai gergasi bola sepak Amerika Selatan, Argentina menempah slot ke Piala Dunia dengan mencatatkan sifar kekalahan.

Walaupun tidak tewas, tetapi jumlah seri yang dikumpulkan boleh dikatakan banyak dan ini memisahkan Argentina di tempat kedua dengan Brazil yang menjadi pendahulu.

Argentina mencatatkan 11 kemenangan dan enam seri sambil menjaringkan 27 gol serta cuma bolos lapan sahaja.

Jumlah gol itu jika dibandingkan dengan Brazil adalah besar kerana skuad Samba itu lebih menyerlah dengan menjaringkan 40 gol.

Namun itu tidak menjadi buat Argentina, ini membuktikan yang mereka kini sudah mempunyai pertahanan yang lebih baik serta kualiti serangan yang tak sepatutnya diragukan.

Skuad yang lebih sempurna

Bergerak dari satu Piala Dunia ke satu Piala Dunia, Argentina sering hadir dengan status pasukan utama namun apa yang sering mengecewakan mereka adalah kualiti pemain di dalam skuad.

Benar dari segi kualiti individu, semuanya adalah pemain yang baik namun apabila digabungkan untuk menjadi sebuah pasukan pastinya akan ada kelompongan.

Sebagai contoh pada saingan Rusia 2018, Argentina hadir dengan penjaga gol utama mereka iaitu Willy Caballero bukanlah pilihan utama di peringkat kelab.

Situasi ini merugikan Argentina kerana mereka menurunkan pemain yang tidak berada di prestasi terbaiknya akibat kekurangan minit permainan bersama-sama kelab.

Kini, Argentina mempunyai Emiliano Martinez yang merupakan penjaga gol utama Aston Villa. Sejak menyertai skuad kebangsaan, Martinez menonjolkan kualitinya sebagai penjaga gol hinggakan masalah di posisi tersebut sudah hilang.

Keseluruhannya, Argentina dan Messi mempunyai skuad yang lebih sempurna bukan sahaja di posisi penjaga gol sahaja bahkan di bahagian pertahanan dan juga tengah.

Lisandro Martinez pastinya akan menjadi sandaran Argentina di bahagian pertahanan sementara Rodrigo De Paul dan Lautaro Martinez yang sememangnya sudah cemerlang pasti mahu meneruskan rentak positif mereka bersama-sama skuad kebangsaan.

Masanya telah tiba

Skuad Argentina kali ini boleh dikatakan lebih sesuai dan sekufu dengan corak permainan yang cuba dilakukan oleh Scaloni dan Messi dan ini terbukti apabila mereka berjaya menjulang Copa America.

Dengan komposisi skuad yang tidak banyak berubah daripada waktu mereka memperoleh Copa America, ini menonjolkan kestabilan yang ada pada Argentina saat melangkah ke Piala Dunia.

Jadi, tidak salah untuk penulis mengatakan sudah tiba masanya untuk Messi dan Argentina berjuang habis-habisan untuk membawa pulang Piala Dunia kali ini.

Diletakkan dalam kumpulan C bersama-sama Arab Saudi, Mexico dan Poland, ianya mungkin mencabar jika Argentina leka tetapi penulis tetap berasakan mereka akan mudah layak ke pusingan seterusnya.

Kemasyhuran menanti Messi dan Argentina dan jika Piala Dunia berjaya dirangkul, debat mengenai siapakah pemain terhebat sepanjang zaman boleh ditutup.

Semoga berjaya, Argentina.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN