- Pasukan: Kanada
- Benua: Amerika Utara
- Kali terakhir layak: 1986
- Pencapaian terbaik: 1986 (peringkat kumpulan)
Sebelum Qatar 2022, Kanada bukanlah satu muka baharu dalam kancah Piala Dunia, sebaliknya mereka adalah pasukan yang sudah lama tidak berjaya layak ke pusingan akhir kejohanan bola sepak terhebat itu.
Hanya sekali sahaja membuat kemunculan di edisi Diego Maradona menjaringkan Gol Terhebat Abad Ini menentang England, Kanada terpaksa menunggu 36 tahun untuk kembali semula.
Kali ini kembali, Kanada hadir dengan reputasi besar sebelum menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2026.
Terbaik di Amerika Utara
Setelah sekian lama dibayangi oleh pasukan-pasukan seperti Amerika Syarikat, Mexico dan Costa Rica, Kanada kali ini berjaya memecah dominasi tiga negara tersebut dengan menjadi jaguh di Amerika Utara.
Sering dianggap pasukan yang lebih baik bermain hoki ais berbanding bola sepak, Kanada berjaya mendominasi pusingan kelayakan zon Amerika Selatan dengan menjadi juara.
Namun begitu, perjalanan mereka dianggap panjang. Sebagai pasukan bukan pilihan untuk mewakili Amerika Utara, Kanada perlu melalui pusingan pertama dengan ditempatkan dalam kumpulan B bersama-sama Suriname, Bermuda, Aruba dan Kepulauan Cayman.
Mereka tiada masalah untuk memenangi kumpulan itu dengan mencatatkan rekod 100%. Memasuki pusingan kedua kelayakan, mereka diundi bertemu Haiti, Kanada mudah menewaskan lawan dengan kemenangan agregat 4-0.
Memasuki pusingan akhir, Kanada terus mencipta kejutan demi kejutan apabila berjaya mengenepikan Amerika Syarikat, Mexico dan Costa Rica untuk menjadi pasukan terbaik di Amerika Utara.
Mereka malah mencatatkan hanya dua kekalahan sahaja sambil memacu lapan kemenangan dan empat seri.
Pentas Alphonso Davies
Pentas Qatar 2022 ini bakal menjadi peluang terbaik untuk Alphonso Davies untuk terus mengukuhkan namanya sebagai pemain muda terbaik dunia.
Berusia 22, Davies sudah pun mula mencuri tumpuan bersama-sama Bayern Munich apabila menjadi pemain muda terhangat selain Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Pedri.
Kini berjaya membawa Kanada ke Piala Dunia yang kedua dalam sejarah mereka, pentas ini adalah yang terbaik untuk Davies melebarkan sayapnya sebagai pemain disaat namanya sedikit tenggelam berbanding bintang-bintang muda lain yang lebih menjadi tumpuan.
Selain Davies, Kanada turut dibantu oleh Cyle Larin, Junior Hoilett serta David Wotherspoon yang turut membantu kecemerlangan negara tersebut untuk mara ke Piala Dunia.
Tiada tekanan
Kanada hadir ke Qatar 2022 tanpa sebarang tekanan walaupun diundi di dalam kumpulan F bersama-sama naib juara edisi lalu, Croatia, Belgium dan Maghribi.
Berjaya layak ke pusingan akhir itu juga sudah menjadi satu kejayaan besar buat mereka. Jadi, apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah menikmati pentas tertinggi bola sepak tanpa meninggalkan sebarang nota negatif.
Kanada mungkin sedikit tertekan untuk menghidupkan label sebagai pasukan terbaik Amerika Utara, namun jika mereka gagal sekali pun tiada masalah kerana Davies dan rakan-rakan telah memberikan yang terbaik.
Semoga berjaya, Kanada.