Qatar 2022: Bacaan Al-Quran, Penindasan Dan Tanggungjawab Kemanusiaan

Piala Dunia Qatar

Qatar selaku tuan rumah Piala Dunia 2022 telah berjaya memukau orang ramai dengan upacara pembukaan kejohanan di Stadium Al Bayt yang dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang.

Ia bermula dengan susunan plot yang menampilkan dialog di antara dua narator iaitu aktor terkemuka dunia, Morgan Freeman dan selebriti kelainan upaya Ghanim al Muftah.

“Saya mendengar sesuatu yang indah. Bukan sekadar muzik, tetapi juga panggilan untuk keraian,” ujar Freeman.

“Bola sepak menyatukan semua negara dan kasih sayangnya demi sebuah permainan yang indah. Apakah yang menyatukan negara-negara ini turut menyatukan komuniti.

“Sekarang, dunia seakan-akan terlihat sudah semakin berpecah belah. Bagaimana negara, bahasa dan budaya yang pelbagai ini boleh disatukan, jika ada satu cara yang diterima oleh semua?”

Bagi mengangkat tema kesatuan, kemanusiaan dan ketamadunan, Ghanim al Muftah telah memetik ayat 13 surah Al Hujurat:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ 

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ghanim al Muftah: “Kita dibesarkan untuk percaya yang kita semua bertaburan di atas muka ini dengan pelbagai negara dan kaum supaya kita boleh belajar daripada satu sama lain serta mencari keindahan dalam perbezaan.”

Freeman: “Barulah saya nampak, sekarang apa yang menyatukan kita di sini pada saat ini adalah lebih agung daripada apa yang memisahkan kita. Jadi apa yang boleh jadikan ia kekal lebih daripada hari ini sahaja?”

Ghanim al Muftah: “Dengan tolak ansur dan hormat-menghormati, kita boleh hidup di bawah sebuah rumah besar. Apabila kami menjemput anda ke sini, kami sememangnya mengalu-alukan kedatangan anda ke rumah kami.”

Freeman: “Jadi, kita berkumpul di sini sebagai satu bangsa, dan bumi ini adalah khemah di mana kita semua tinggal bersama di dalamnya.”

Ghanim al Muftah: “Ya, dan bersama-sama kita sampaikan mesej ini ke seluruh dunia untuk menyertai kita semua.”

Situasi sedikit sebanyak menimbulkan kekaguman kepada orang ramai kerana buat kali pertama dalam sejarah ayat suci al Quran yang menjadi panduan hidup umat Islam dipetik dalam upacara pembukaan kejohanan bola sepak paling berprestij di atas muka bumi ini.

Kontroversi isu kemanusiaan

Meskipun begitu, beberapa pihak beranggapan langkah tersebut hanyalah ‘wayang’ Qatar untuk menutup isu yang lebih besar iaitu penindasan terhadap golongan buruh yang membina fasiliti dan infrastruktur di negara teluk tersebut.

Isu hak asasi manusia telah pun berlanjutan sejak beberapa tahun lalu apabila mereka sah mendapat hak penganjuran.

Beberapa kempen telah digerakkan termasuklah boikot yang dianjurkan oleh beberapa badan hak asasi manusia dan beberapa negara demi mendesak Qatar menjaga kebajikan pekerja-pekerja yang terlibat.

Media British, The Guardian melaporkan lebih 6,500 golongan pekerja asing telah meninggal dunia disebabkan kemalangan di tempat kerja atau penyakit berkaitan dengan pekerjaan mereka bermula dari 2011 hingga 2019.

Turut diketengahkan adalah tindakan mengeksploitasi pekerja asing dengan pembayaran gaji rendah setelah diikat oleh ‘ejen-ejen’ tertentu yang membawa mereka dari negara-negara miskin di seluruh dunia.

Menjawab pendedahan laporan berkenaan, kerajaan Qatar mengatakan kematian tersebut hanyalah ‘peratusan kecil’ berbanding 1.4 juta jumlah keseluruhan pekerja asing di negara kecil itu sepanjang termpoh berkenaan.

Pihak kerajaan negara teluk itu juga menegaskan bahawa mereka telah mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kebajikan pekerja-pekerja asing sepanjang dua dekad lalu.

Syarikat-syarikat yang didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan juga telah dikenakan hukuman yang ‘setimpal’ dan ia membuktikan tuduhan yang dilemparkan langsung tidak berasas.

Laporan oleh Amnesty International pula menyebut terdapat pekerja binaan yang berdepan dengan tunggakan gaji sehingga tujuh bulan dan ada juga yang tidak menerima gaji penuh.

Hak pekerja dalam Islam

Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah dalam membela hak insani. Islam menyeru umatnya untuk bekerja mencari rezeki yang halal dalam meneruskan kehidupan seharian.

Merujuk kepada penulisan Bayyan Linnas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:

Gaji yang telah dijanjikan. Ia hendaklah dibayar mengikut terma perjanjian. Bahasa yang digunakan dalam hadis adalah sebelum peluh kering seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

Maksudnya“Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”

Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988)
dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)

Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)

Walaupun begitu penggajian boleh juga berdasarkan kesepakatan antara pekerja dan majikan sama ada dibayar mengikut harian, mingguan atau bulanan. Ada juga dibayar dalam bentuk sekali gus dan ada juga yang mengikut jam. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan tersebut. Sesungguhnya Islam sangat menitik beratkan kebajikan seorang pekerja serta memberi peringatan keras terhadap majikan yang menzalimi pekerjanya. Dalam satu hadith qudsi, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman:

ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ… وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ

Maksudnya“Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.

Riwayat al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442)

Kesimpulan

Qatar tidak seharusnya bersikap ‘selektif’ dalam memetik satu ayat al-Quran semata-mata untuk dipersembahkan kepada dunia, kemudian meminggirkan dalil-dalil lain yang menyeru kepada sikap bertanggungjawab dan amanah.

Imam al-Subki dalam satu fatwanya menyebut:

ﻭﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺍﺳْﺘَﺄْﺟَﺮَ ﺃَﺟِﻴﺮًﺍ ﻣُﺴْﺘَﻮْﻑٍ ﻋَﻤَﻠَﻪُ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﻌْﻄِﻪِ ﺃَﺟْﺮَﻩُ ﺑِﻤَﻨْﺰِﻟَﺔِ ﻣَﻦْ ﺍﺳْﺘَﻌْﺒَﺪَ ﺍﻟْﺤُﺮَّ ﻭَﻋَﻄَّﻠَﻪُ ﻋَﻦْ ﻛَﺜِﻴﺮٍ ﻣِﻦْ ﻧَﻮَﺍﻓِﻞِ ﺍﻟْﻌِﺒَﺎﺩَﺓِ ﻓَﻴُﺸَﺎﺑِﻪُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺑَﺎﻉَ ﺣُﺮًّﺍ ﻓَﺄَﻛَﻞَ ﺛَﻤَﻨَﻪُ ﻓَﻠِﺬَﻟِﻚَ ﻋَﻈُﻢَ ﺫَﻧْﺒُﻪُ

Maksudnya“Seseorang yang mengupah orang lain bekerja, kemudian orang tersebut telah menunaikan tugasnya dengan baik, namun dia tidak memberikan upahnya, adalah sama seperti orang yang menghambakan manusia merdeka. Dia menghalang orang lain untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunnah. Maka ini sama sahaja dengan orang yang menjual manusia merdeka kemudian memakan hasilnya. Ini adalah dosa yang sangat besar.” (Lihat Fatawa al-Subki, 2/377)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN