Stefano Dolci adalah pundit bola sepak untuk Eurosport hadir ke sesi latihan pasukan Itali di San Siro sempena perlawanan menentang Sweden.
Gian Piero Ventura memberitahu wartawan dalam sidang media yang pasukan Itali sudah berlatih untuk mengubah corak permainan mereka untuk menghadapi perlawanan play-off ke-2 menentang Sweden pada awal pagi esok.
Bagi Itali, ia adalah perlawanan hidup dan mati!
Namun berdasarkan pemerhatian Dolci, Ventura akan terus bermain dengan formasi 3-5-2. Jorginho dan Florenzi dijangka akan menggantikan De Rossi dan Verratti di tengah.
Jorginho masih belum membuat sebarang penampilan untuk skuad Ventura setakat ini.
Verratti digantung untuk perlawanan ini, manakala De Rossi tidak berada dalam prestasi terbaik. Kekalahan 1-0 pada perlawanan pertama membuatkan ramai penyokong Itali risau Azzurri akan gagal ke Rusia 2018.
Ventura pula menyatakan yang Sweden bermain terlalu fizikal dan kemungkinan akan menggunakan pendekatan yang sama di San Siro.
Bonucci akan tetap terlibat dalam perlawanan ini dan akan memakai topeng perlindungan khas. Bonucci-Barzagli-Chiellini akan bermain di hadapan Buffon. Di bek sayap, Ventura dijangka akan menggunakan Candreva dan Darmian.
Manakala di barisan serangan utama, Gabbiadini akan digandingkan dengan Immobile. Ventura yakin bahagian tengah Itali akan dinamik dengan adanya Parolo dan Florenzi.
Ini adalah gambaran daripada Stefano Dolci untuk formasi 3-5-2 yang mungkin akan diturunkan oleh Ventura.
Sebelum ini ramai peminat Itali berpendapat pasukan ini akan lebih baik jika bermain 4-3-3 kerana adanya pemain seperti Insigne.
Kali terakhir Itali gagal layak ke Piala Dunia adalah pada 1958, kira kira hampir 6 dekad yang lalu. Itali merupakan antara negara paling berjaya dalam Piala Dunia dengan 4 kejuaraan di dunia 1934, 1938, 1982 dan 2006, di kabinet mereka.
Itali dilihat masih lagi pasukan pilihan dalam play-off kedua ini. Dan Sweden pula dalam mentaliti yang terbaik untuk mara ke Piala Dunia Rusia 2018.