Chelsea akhirnya memenangi saingan untuk mendapatkan pemain berusia 20 tahun yang juga bintang muda Borussia Dortmund, Christian Pulisic.
Chelsea membeli Christian Pulisic menerusi persetujuan bernilai €64 juta (RM302.9 juta) bagi memperkuatkan barisan serangan kelab itu musim depan.
Pulisic sebelum ini telah mencetuskan spekulasi mengenai perpindahannya ke England selepas beliau memberi bayangkan untuk beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Chelsea, Liverpool dan Manchester United telah meletakkan sasaran untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Amerika Syarikat tersebut selepas beliau enggan memperbaharui kontraknya di Dortmund.
Bagaimanapun, Pulisic akhirnya memutuskan untuk menyertai pasukan kendalian Maurizio Sarri musim hadapan dan Liverpool adalah kelab paling terkesan dengan keputusan Pulisic tersebut.
Ada yang beranggapan pembelian Pulisic ini adalah untuk ‘back-up’ kepada pemain seperti Hazard dan Willian yang masih belum memberikan komitmen baru kepada kelab mereka setakat ini.
Namun begitu, Eden Hazard kelihatan gembira di Chelsea. Eden Hazard yang menunjukkan taringnya sebagai false no.9 dalam beberapa aksi sejak akhir-akhir ini.
Kelab legenda
Chelsea FC telah memuat naik petikan ucapan bintang berusia 20 tahun itu sebaik sahaja diumumkan secara rasmi pembelian pemain tersebut.
Dipetik menerusi ucapan tersebut, Pulisic berkata:
“Pada musim panas, saya berpindah ke Chelsea dan ia adalah satu pertandingan baru, Liga Perdana Inggeris.”
“Amat istimewa saya dapat menyertai kelab legenda ini dan saya berharap dapat bekerja keras untuk menyumbang kepada pasukan yang dipenuhi dengan banyak pemain bertaraf dunia.”
Sudah pasti berita pembelian Pulisic telah mengembirakan peminat The Blues di seluruh dunia.
Bagaimanapun, peminat terpaksa bersabar untuk melihat aksi Pulisic di Stamford Bridge kerana pemain itu terpaksa menghabiskan baki musim ini secara pinjaman di kelab Bundesliga berkenaan.