Pulau Pinang Tekad Mahu Ulangi Kejayaan Ungguli PERR Edisi 2002

Kelantan dan Pulau Pinang akan membuat perhitungan terakhir di pentas final Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2017 pada 11 November ini, di Stadium Sultan Muhammad IV. Ia umpama ulangan final PERR edisi 2008 yang telah dimenangi oleh Kelantan.

Kelantan berjaya mara ke final selepas menundukkan Kuala Lumpur dengan agregat 2-0 di peringkat separuh akhir, sementara Pulau Pinang pula berjaya mengatasi Selangor dengan agregat 1-0.

Pulau Pinang kini berpeluang untuk membalas dendam atas kekalahan 0-4 kepada Kelantan pada final edisi 2008. Aksi final tersebut juga merupakan penampilan terakhir Pulau Pinang di pentas final.

Tiada Tekanan Buat Pulau Pinang

Ketua jurulatih skuad PERR Pulau Pinang, Abd Rahim Hassan, ketika dihubungi oleh Semuanya BOLA menyatakan bahawa skuadnya akan turun ke Kota Bharu pada minggu hadapan tanpa sebarang tekanan.

“Kita akan bertandang ke Kota Bharu tanpa sebarang tekanan, cuma dengan matlamat untuk membawa pulang trofi PERR ke Pulau Pinang. Kami akan melakukan yang terbaik untuk aksi final nanti,” tegas Abd Rahim.

Abd Rahim Hassan bersama TYT Pulau Pinang,Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas. Foto: Abd Rahim Hassan.

Stadium Sultan Muhammad IV telah dipilih sebagai tuan rumah pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden persatuan, Mohd Firdaus Mohamed.

Stadium tersebut dipilih selepas mesyuarat mendapati ia mampu menarik lebih ramai penyokong, walaupun Pulau Pinang turut menawarkan diri dengan Stadium Batu Kawan. Kapasiti Stadium Sultan Muhammad IV adalah 30,000 penonton.

Menurut Abd Rahim yang pernah menjulang trofi PERR bersama Pulau Pinang pada edisi 2002, dia telah mengenal pasti beberapa kelemahan pasukan Kelantan. Berdasarkan rekod, Kelantan telah menjuarai PERR sebanyak 13 kali.

Abd Rahim Hassan Juga Mengendalikan Akademi Bolasepaknya Sendiri Di Tasek Gelugor. Foto: Abd Rahim Hassan.

Abd Rahim yang dilantik sebagai jurulatih pada pertengahan Jun lalu turut menyatakan dia ingin menebus kekalahan 0-2 kepada Kelantan dalam aksi kumpulan sebelum ini di mana Pulau Pinang ketika itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Perlawanan yang penuh kontroversi. Pemain-pemain saya hilang tumpuan dalam perlawanan tersebut,” jelas Abd Rahim apabila ditanya mengenai kesilapan anak buahnya dalam perlawanan menentang Kelantan sebelum ini.

Tiga perkara telah digariskan oleh jurulatih berusia 42 tahun itu mengenai pasukan Kelantan untuk edisi kali ini iaitu berpengalaman beraksi dalam saingan Liga FAM, gabungan pemain muda dan berpengalaman serta memiliki persefahaman yang baik.

Jangan Takut Dengan Sorakan Padu Penyokong Tuan Rumah

Sementara itu, kapten skuad PERR Pulau Pinang, Khairul Iskandar Ismail pula menyatakan kepada Semuanya BOLA bahawa dia dan rakan-rakan telah bersedia sepenuhnya untuk aksi final kali ini.

“Kejohanan PERR ini tidak menjanjikan laluan mudah, sebab terdapat banyak bekas pemain yang beraksi. Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50, namun kami sudah bersedia untuk aksi final nanti,” ujarnya yang kini berusia 30 tahun.

Kapten skuad PERR Pulau Pinang, Khairul Iskandar Ismail Laung Keyakinan. Foto: Facebook PBMPP.

Khairul Iskandar turut menyatakan bahawa aksi final ini juga adalah batu loncatan buat para pemain muda untuk mempamerkan kebolehan mereka untuk menarik perhatian pasukan-pasukan Liga Malaysia.

“Bermainlah berhabis-habisan untuk diri sendiri, keluarga, pasukan dan juga warga Pulau Pinang. Jangan takut dengan sorakan padu penyokong Kelantan, dan berjuanglah sehingga ke wisel penamat.

Cipta kejayaan untuk diri sendiri, mana tahu ada rezeki, ada pasukan-pasukan yang sedang memerhatikan kebolehan anda,” nasihatnya kepada rakan-rakan sepasukan untuk aksi final yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Menurut bekas pemain pertahanan Pulau Pinang dan Chanthaburi FC ini lagi, tekanan final tetap dirasa namun sebagai tuan rumah, tekanan juga pasti akan lebih dirasai oleh pasukan Kelantan.

Kesebelasan Utama PERR Pulau Pinang Ketika Menewaskan Selangor 1-0. Foto: Facebook PBMPP.

“Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan skuad ini mara ke final,” ujar Khairul Iskandar sebelum menutup bicara.

Azlan Mahu Bawa Pulang Trofi PERR Ke Pulau Pinang

“Harapan saya adalah untuk membawa trofi PERR ini pulang ke Pulau Mutiara selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2002,” tutur Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang, Mohamed Azlan Hyder Ali.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang, Mohamed Azlan Hyder Ali berharap dapat membawa pulang trofi PERR ini ke Pulau Mutiara. Foto: Azlan Hayder Ali

Baginya, peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan untuk menjuarai aksi final ini, namun turut menegaskan bahawa Pulau Pinang sebenarnya ingin menebus kekalahan di peringkat kumpulan dan juga final 9 tahun lalu.

Azlan turut menjelaskan yang dia mahukan para pemainnya beraksi tanpa sebarang tekanan walaupun akan beraksi di gelanggang lawan. Pulau Pinang telah menjuarai PERR dalam 8 edisi iaitu pada tahun 1951, 1956, 1966, 1968, 1969, 1986, 1998 dan 2002.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN