Pulau Pinang Mahu Ke Liga Super 2021

Pasukan Liga Premier, Pulau Pinang memasang impian untuk mara ke saingan Liga Super pada musim 2021 kelak, lapor Sinar Harian.

Ketua jurulatihnya, Manzoor Azwira mengatakan gabungan pemain muda dan juga senior mampu memberikan persembahan cemerlang yang diharapkan beliau.

“Kami sasarkan untuk memperoleh tempat ke Liga Super 2021 sekali gus merealisasikan sasaran pihak pengurusan dan penyokong.”

GAMBAR: FA Penang

Sasaran ke Liga Super itu hadir dengan satu lagi sasaran iaitu mahu ke saingan Piala Malaysia. Namun begitu, Manzoor memilih untuk tidak membebankan skuadnya dengan tekanan terlebih dahulu.

“Buat masa ini, terlalu awal untuk kita berkata mengenai peluang pasukan untuk ke Piala Malaysia. Namun begitu, saya tak mahu beri tekanan kepada anak-anak buah saya.”

Dalam masa yang sama, Manzoor mengatakan skuadnya kini hampir lengkap dengan 20 pemain sudah berada dalam genggaman Harimau Kumbang.

Dua pemain import telah menyertai mereka dengan baki slot akan dilengkapkan pada bulan Januari 2020.

Pulau Pinang sepatutnya menjadi satu daripada 12 pasukan Liga Super pada musim 2020 selepas berjaya mendapatkan kenaikan pangkat.

Namun begitu, kesalahan teknikal yang dilakukan mereka melibatkan bekas pemain, Reinaldo Lobo menafikan peluang mereka untuk beraksi dalam saingan tertinggi bola sepak Malaysia itu.

Leave a Reply