Menjelang jendela perpindahan pemain kedua yang bakal dibuka bermula 15 Mei 2017 nanti, beberapa pasukan sudah mula menguji pemain-pemain import baru untuk memperkuatkan pasukan.
Ada pasukan yang sudah mula menyusun beberapa perlawanan persahabatan pada bulan puasa (yang bermula pada 25 Mei 2017 nanti) untuk dijadikan medan menguji tahap kemampuan calon pemain import baru.
Ada juga pasukan yang sudah mula menguji calon pemain import baru mereka. Antaranya ialah pasukan 100Plus Liga Premier 2017, Sabah.
SABAH
Petang tadi ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating mengambil peluang untuk menguji 7 calon pemain import baru di Padang Sintetik, Stadium Likas.
7 pemain tersebut adalah:
1. Abel Dekar Gebor (Liberia) – bekas defensive midfielder yang kali terakhir bermain untuk pasukan Liga 1 Indonesia, Bhayangkara FC
2. Luiz Eduardo Purcino (Brazil) – bekas penyerang kelahiran Brazil. Kali terakhir bermain di Liga Divisyen Ke-4 Thailand
3. Leandro de Lima (Brazil)
4. Kouen Houk Jin (Korea Selatan) – pemain tengah yang kali terakhir bermain untuk Suwon FC
5. Heo Jae-Nyeong (Korea Selatan) – pemain tengah yang kali terakhir bermain untuk Gwangju FC
6. Otabek Valijonov (Uzbekistan) – pemain sayap yang kali terakhir bermain untuk pasukan Liga Uzbekistan, Navbahor Namangan
7. Koh Traore (Burkina Faso) – penyerang yang pernah menyinar bersama Sabah semasa Liga Perdana 2013 dengan 24 gol
Kami menjangkakan 2 daripada 7 calon ini akan menggantikan Sofiane Choubani dan Jonathan Behe selepas kedua-duanya digugurkan dari kesebelasan utama Sabah sebaik Jelius Ating mengambil alih Sabah.
2 lagi pemain import Sabah, Masaya Jitzuno (Jepun) dan Igor Cerina (Croatia) dijangka akan dikekalkan Ating.
Bagaimanapun Berita Harian melaporkan Jitzuno boleh digugurkan jika Ating menemui pemain import baru yang lebih baik.
PULAU PINANG
Di kem Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan dilaporkan sudah menetapkan jodoh Andy Russell (Hong Kong) dan Diogo Ferreira (Australia) tidak akan berpanjangan.
Diogo Ferreira dilaporkan telah ditamatkan kontrak selepas bergelut dengan prestasi. Manakala Andy Russell pula bergelut dengan kecederaan lutut.
2 lagi pemain import Pulau Pinang, Nigel Dabingyaba dan Reinaldo Lobo dijangka bakal dikekalkan.
Ketika ini Zainal Abidin Hassan dilaporkan telah memiliki 4 calon pemain import. Fokus utamanya adalah mencari penyerang sejati untuk Pulau Pinang dan meletakkan Dabingyaba di posisi asalnya iaitu pemain sayap.
MELAKA UNITED
Goal.com melaporkan Melaka United sedang melihat untuk mencari pengganti Godwin Antwi (Ghana), Sergio Aguero (Argentina) dan bekas penjaring gol terbanyak Liga Perdana 2016, Ilija Spasojevic (Serbia).
Jeon Woo-Young (Korea Selatan) adalah satu-satunya pemain import yang akan dikekalkan.
Dalam video temuramah Goal.com, ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams mengaku akan membuat beberapa perubahan pemain untuk memastikan Melaka United kekal dalam Liga Super pada musim depan.
“Keputusan kami taklah berapa memuaskan ketika ini. Tetapi dengan skuad yang saya warisi, ini sajalah yang mampu kita capai. Harapnya kita boleh mendapatkan pemain baru (pada jendela perpindahan) nanti.”