Pasukan bola sepak wanita Melaka United mempertahankan kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, aksi yang berlarutan sehingga masa tambahan tersebut menyaksikan Fatin Shahida Azmi muncul wira skuad sang kancil dengan gol kemenangan pada minit ke-115.
Pada babak pertama, kedua-dua pasukan memperoleh peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan bermula dengan sepakan percuma kapten Melaka, Steffi yang terkena palang diikuti oleh percubaan kapten Negeri Sembilan, Malini Nordin yang juga dinafikan oleh palang gol.
Babak kedua perlawanan berlangsung lebih rancak, namun kedua-dua pasukan terus buntu untuk mendapatkan gol kemenangan sehinggalah tamat 90 minit masa sebenar perlawanan yang mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Ketika perlawanan hanya berbaki lima minit, Fatin Syahida muncul wira Melaka United dengan gerakan cantik di dalam kotak penalti mengatasi kawalan pertahanan sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol Nur Ezza Ashikin.
Kedudukan 1-0 keka sehingga pengadil Nurul Hafizah Nuradin meniup wisel penamat bagi mengesahkan kejuaraan Melaka United buat kali kedua berturut-turut sejak pertandingan diperkenalkan pada 1976.
Kredit Foto: PFA Malaysia