Pelbagai cara digunakan oleh beberapa pasukan di Eropah berkenaan pengumuman pemain baru mereka. Pendahulu Liga Eredivisie Belanda, PSV Eindhoven juga tidak melepaskan peluang untuk melakukan pengumuman pemain dengan cara tersendiri dalam menghebahkan mengenai rekrut terbaru, Maximiliano Romero.
PSV Eidhoven yang baru sahaja berjaya mendapatkan khidmat penyerang berusia 18 tahun dari Argentina, Maximiliano Romero telah mengumumkan pemain dari Vélez Sarsfield itu dengan menggunakan idea dari simulasi permainan Football Manager 2018.
Sebelum ini Borussia Dortmund dan Arsenal dikatakan berminat untuk mendapatkan Romero, namun penyerang tersebut memilih untuk mendapat bimbingan Phillip Cocu di Phillips Stadion.
Video berdurasi 58 saat itu menunjukkan pihak PSV telah melakukan bidaan untuk mendapatkan khidmat Romero seperti proses kebiasaan yang dapat dirasai oleh penggemar permainan simulasi ini.
We've got news for you…
🇦🇷#FM18 pic.twitter.com/vzZ2bXffka
— PSV (@PSV) December 21, 2017
Satu idea yang begitu menarik diilhamkan oleh PSV dalam mengumumkan pemain baru dan dapat dilihat pengikut kelab tersebut di laman Twitter rasmi kelab tersebut juga memuji idea ini.
Dalam pada itu pengurus PSV, Phillip Cocu yang bercakap kepada PSV TV mengatakan bahawa Maximiliano Romero merupakan pemain ‘nombor 9 yang sejati’.
”Dia baru sahaja berusia 18 tahun tetapi dia mempunyai ciri fizikal yang cukup kuat. Sebagai tambahan, dia mempunyai skil dan berupaya untuk melakukan rembatan yang sangat baik menggunakan kedua-dua belah kakinya.”
”Banyak untuk diperkatakan mengenai kehebatannya. Saya gembira kerana kami (PSV) dapat menarik minat bakat seperti ini ke Belanda. Kami akan mengambil kesempatan diatas peluang yang dimiliki.”
Maximiliano Romero yang menjaringkan 4 gol buat Vélez Sarsfield dalam 10 perlawanan liga musim ini turuja ketika mengulas mengenai perpindahan ini.
”Ianya sangat istimewa, ini adalah kelab dimana saya mahu beraksi dan menyambung karier bola sepak saya. Jadi saya sangat gembira.”
”Ejen dan ayah saya serta diri saya sendiri bersetuju bahawa karier saya perlu bersambung di tempat yang lebih baik. Oleh itu, saya memilih PSV. Di Argentina ketika bersama pasukan yang diwakili, saya melakukan beberapa jaringan. Saya datang kesini juga untuk menjaringkan gol.”