Quantcast

BERITA

PSSI Terlepas Hukuman Berat, Hanya Denda RM168,000 Kerana Insiden Di GBK

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) diarahkan membayar denda sebanyak Rp643 juta, atau bersamaan dengan RM168,000 berikutan insiden kekecohan penyokong di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) pada 5 September lalu.

Perlawanan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia tempoh hari dicemari oleh insiden kekecohan penyokong ketika dan selepas perlawanan ditamatkan.

Insiden tersebut telah mendorong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat aduan rasmi kepada FIFA.

Hasil mesyuarat Jawatankuasa Disiplin FIFA, PSSI didapati bersalah kerana melanggar Artikel 16, Kod Disiplin FIFA berkaitan  ketertiban dan keamanan ketika perlawanan yang berada di bawah kelolaan FIFA berlangsung.

Kira-kira 400 penyokong pasukan Harimau Malaya terpaksa dibawa keluar melalui terowong dan menunggu di dalam ruang stadium sehingga rusuhan penyokong dileraikan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Malah penyokong pasukan negara turut menjadi mangsa dibaling objek keras oleh penyokong ketika perlawanan sedang berlangsung.

Skuad Harimau Malaya sendiri turut terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk kembali ke hotel penginapan selepas perlawanan.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha sebelum ini pernah berkata bahawa Indonesia harus pasrah dan menerima seadanya hukuman yang akan dijatuhkan oleh FIFA atas kejadian rusuhan penyokong yang berlaku baru-baru ini.

Perlawanan menentang Malaysia tempoh hari adalah penampilan pertama Indonesia di pusingan kelayakkan Piala Dunia/Piala Asia, setelah negara itu digantung penyertaan oleh FIFA sejak Jun 2014 – setelah didapati bersalah kerana campur tangan kerajaan.

Indonesia menduduki kedudukan tercorot tanpa sebarang mata di Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas tewas 3-2 dalam perlawanan tersebut, sebelum turut tunduk 3-0 ke atas Thailand di gelanggang yang sama selang beberapa hari kemudian.