Menurut laporan portal daripada seberang, BolaSport, tiket untuk aksi pembukaan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September depan sudah hampir 20 ribu terjual.
Malaysia bakal bertandang ke Jakarta untuk pertembungan Derbi Serumpun dan dengan saingan di peringkat yang lebih tinggi ini dilihat telah berjaya menarik minat para penyokong untuk turun ke stadium memberikan sokongan padu buat Sang Garuda.
Pengarah Media Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Gatot Widakdo memaklumkan perkara tersebut kepada BolaSport dan penjualan tiket dikhabarkan adalah melalui penjualan atas talian.
“Sehingga kini (30 Ogos), sudah ada 17 ribu hingga 20 ribu tiket yang terjual. Kami akan menjual sebanyak 65 ribu tiket,” jelas Gatot Widakdo kepada BolaSport mengenai jumlah penjualan tiket.
Kapasiti Stadium Gelora Bung Karno adalah hampir 77 ribu dan dengan sasaran untuk menjual 65 ribu tiket, PSSI dilihat tidak akan memaksimumkan penggunaan stadium penuh sejarah itu.
Dengan pengumuman rasmi itu, masih berbaki 45 ribu tiket yang dibuka untuk jualan dan dengan pertembungan antara kedua-dua pasukan akan berlangsung hampir seminggu lagi, penjualan tiket dijangkakan akan terus meningkat biarpun mengundang kritikan.
Ada dikalangan para penyokong Sang Garuda kurang berpuas hati dengan harga dan kaedah penjualan tiket untuk saingan kelayakan kali ini. Harga tiket bermula daripada Rp125 ribu hingga Rp1 juta.
Menurut Gatot Widakdo lagi, untuk menarik minat penyokong, pembeli tiket akan mendapat pelbagai barangan mengikut jenis tiket yang dibeli antanya mafla kecil dan belon tepuk selain stiker, magnet dan beg kecil. Terdapat lima jenis tiket yang dijual.
Beliau menjelaskan yang pihak PSSI terbuka dengan kritikan para penyokong dan menurutnya, semua yang dilaksanakan oleh mereka adalah demi kemajuan bola sepak Indonesia. Terbaru, PSSI mengumumkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk pembelian 5 ribu tiket bermula pada 31 Ogos hingga 1 September 2019.
“Yang penting, semuanya adalah demi kemajuan bola sepak Indonesia,” jelasnya dipetik daripada portal CNN Indonesia.
Selain itu, sebanyak 2 ribu tiket telah diperuntukkan untuk para penyokong Malaysia dan bakinya adalah untuk warga Indonesia. Kali terakhir Malaysia menang di laman lawan itu adalah pada tahun 2004, dalam saingan Piala AFF dengan keputusan 2-1.
Kredit Featured Image: Utusan Malaysia