Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberikan jaminan bahawa, stadium Bukit Jalil masih lagi menjadi stadium yang mengutamakan acara bola sepak berbanding dengan acara lain.
Terdapat rungutan banyak pihak yang mempersoalkan kenapa perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini tidak dilangsungkan di Bukit Jalil.
Sedangkan kapasiti stadium tersebut jauh lebih besar daripada stadium Shah Alam. CEO PSM Azman Fahmi Osman berkata:
“Kebiasaannya, PSM akan menempah tarikh yang diberikan oleh FAM bagi perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan kebangsaan dan final Piala Malaysia lebih awal untuk kegunaan di Stadium Bukit Jalil.”
“Namun, sekiranya ada pertukaran tarikh FAM atau mana-mana persatuan sukan, pihak berkenaan perlu memaklumkan lebih awal supaya permohonan pindaan tersebut tidak bertindih dengan permohonan penganjur lain.”
“Contohnya macam esok (malam ini) ada ‘Music Run’, mereka telah tempah lebih awal tarikh tersebut. Penganjur Music Run telah menjual tiket seawal bulan Julai.”
“Setiap tahun apabila FAM memberikan jadual bola sepak dan kami (PSM) akan tempah tarikh yang diberikan itu lebih awal.”
“Contohnya perlawanan Malaysia menentang Korea Utara, PSM telah ‘lock’ (kunci) tarikh tersebut lebih awal dan tidak menerima tempahan mana-mana aktiviti untuk tarikh itu, sama ada berlangsung atau tidak di Malaysia, kami tetap mengosongkan tarikh tersebut,”
Tarikh asal perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada 28 Oktober. Namun telah ditukar kepada 4 November kerana perubahan jadual untuk memberikan laluan kepada Sukan SEA tempoh hari.