Quantcast

BERITA

PSG Sedia Bayar Klausa Perlepasan Neymar Sebanyak €222 Juta Sebagai Pelan Kekalkan Verratti

Dengan Marco Verratti kelihatan teruja untuk beralih angin dengan menyertai Barcelona pada musim akan datang, PSG melihat satu-satunya cara mereka untuk meyakinkan Verratti untuk kekal di Paris adalah dengan – menjadikan PSG sebagai ‘Barcelona’ baru menurut laporan di Sepanyol dan Brazil.

Antara pelan pertama PSG untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan membayar €222 juta klausa perlepasan kontrak Neymar di Barcelona.

Menurut laporan media Perancis, PSG mempunyai bajet perpindahan pemain sebanyak €240 juta pada musim panas ini.

Dengan membayar klausa perlepasan €222 juta ini, Barcelona wajib – dari segi undang-undang kontrak pemain – untuk membenarkan Neymar berbincang kontrak dengan PSG.

PSG sedia tunai impian Neymar menang Ballon d’Or

Menurut Marcelo Bechler – satu-satunya wartawan bukan Sepanyol yang dibenarkan untuk bertanya soalan dalam sidang media Barcelona – Neymar berfikiran beliau tidak akan dijulang sebagai pemain terbaik di dunia jika beliau kekal di Barcelona ketika zaman puncak Lionel Messi.

Bechler menegaskan dalam laporannya, Neymar tiada masalah peribadi dengan Messi di atas dan di luar padang.

Tetapi Neymar merasakan peluang beliau untuk memenangi anugerah Ballon d’Or adalah lebih besar jika beliau berhijrah ke PSG dan diberi tugas memimpin PSG menjadi juara Eropah.

Tindakan PSG menandatangani kawan baik Neymar, Dani Alves juga dikatakan merupakan sebahagian strategi PSG untuk menarik minat Neymar bermain di PSG.

(Photo credit: THOMAS SAMSON/AFP/Getty Images)

Dan dengan menandatangani Neymar, ia akan meyakinkan Verratti untuk kekal di Paris.

Media Eropah sebelum ini melaporkan Barcelona sedang mengenalpasti perancang tengah Itali tersebut sebagai perancang yang bakal digandingkan dengan Sergio Busquets dan Ivan Rakitic. Satu lagi calon yang sedang diperhatikan Barcelona adalah Paulinho.

Barcelona telah menandatangani Andre Gomes pada musim panas 2016 untuk tujuan tersebut. Tetapi Gomes terbukti tidak mempunyai kualiti besar untuk menggantikan Andres Iniesta.

Neymar baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan bersama Barcelona pada 9 bulan lepas untuk membolehkannya meraih gaji €15 juta setahun. Tetapi PSG dilaporkan bersedia untuk menaikkan gajinya – dengan matalmat bagi menjadikan beliau pemain bergaji paling mahal di dunia.

Mustahil Neymar keluar

Bagaimanapun tidak sampai 2 jam laporan Marcelo Bechler keluar, naib presiden Barcelona Jodi Mestre memberitahu media bahawa ‘mustahil untuk Neymar keluar dari Barcelona’.

Gianluca di Marzio melaporkan Jodi Mestre berkata, “Saya jamin 200% Neymar akan kekal bersama kami.”

Pengarah Sukan Barcelona, Robert Fernandez juga senada dengan bos beliau seperti dalam laporan Football Espana.

“[Perpindahan] ini takkan berlaku. Kami tidak pernah dapat apa-apa tawaran untuk mana-mana pemain kami dan tiada kelab yang mampu membayar klausa perlepasan [Neymar].”

Sumber:

1. Ed Peacock (2017). Verratti all or nothing. Football Espana. http://www.football-espana.net/64886/verratti-all-or-nothing

2. Marcelo Bechler (2017). Os detalhes do “sim” de Neymar ao PSG. Lance. http://blogs.lance.com.br/marcelo-bechler/2017/07/18/os-detalhes-do-sim-de-neymar-ao-psg/

3. Gianluca di Marzio (2017). Barcelona’s Vice President Jodi Mestre: “It is 200% that Neymar will stay”. http://gianlucadimarzio.com/en/barcelonas-vice-president-jodi-mestre-it-is-200-that-neymar-will-stay