Pengurus Protap FC, Shafiq Ikmal membayangkan pasukannya mungkin akan menarik diri daripada saingan Liga Divisyen 3 (Liga M3) dalam masa terdekat berikutan kantung kewangan mereka semakin kempis dan kegagalan mendapatkan penaja.
Menurut Sinar Harian, kelab amatur tersebut memerlukan sekurang-kurangnya RM300,000 kos keseluruhan untuk beraksi sehingga akhir musim ini.
“Walaupun bermain dalam liga amatur tapi kos pengurusan untuk perlawanan adalah sama dengan liga profesional sebagaimana ditanggung oleh kelab Liga Super dan Liga Premier.
“Secara keseluruhan, kami melalui 26 perlawanan secara timbal balik. Untuk perlawanan di gelanggang sendiri, kami perlu menanggung kos gelanggang perlawanan serta aspek lain seperti keselamatan, kecemasan dan mendahulukan pembayaran untuk pegawai perlawanan.
“Kos untuk perlawanan di tempat lawan terutama di luar Lembah Klang lebih tinggi kerana ia membabitkan perjalanan dan penginapan. Contohnya, untuk bermain di Kuching, sesebuah pasukan perlu membelanjakan kira-kira RM16,000.
“Kami sudah mengecilkan bajet bersesuaian dengan status sebagai kelab amatur yang mana pemain tidak dibayar sebarang gaji atau elaun sebaliknya bermain atas dasar minat serta menjadikan kelab ini sebagai landasan untuk mencari peluang memikat kelab yang lebih besar,” kata Shafiq.
Difahamkan tiada slot automatik ke Liga Premier akan diberikan kepada dua pasukan teratas Liga M3. Situasi itu menyebabkan penaja pasukan sudah mula bersuara untuk menarik diri daripada menaja mereka kerana menganggap Liga M3 tiada hala tuju.
Nada yang sama turut disokong oleh Pengurus Batu Dua FC (Batu2FC), Hairil Azri Abu Hassan yang mendedahkan sudah ada ura-ura beberapa penaja pasukannya mahu menarik diri.
“Saya risau kerana beberapa penaja kami sudah mula bersuara mahu menarik diri kerana menganggap Liga M3 tidak mempunyai hala tuju ekoran keputusan MFL itu. Ada juga penaja yang menaja kemasukan pemain import kami membayangkan perkara yang sama.
“Malah, saya yakin keputusan ini juga akan menyebabkan penaja yang baru menunjukkan minat hilang keinginan untuk menaja pasukan M3,” ujar Hairil Azri.