Usaha pasukan Penang selama dua tahun untuk mendapatkan khidmat Azzizan Nordin dilihat berjaya apabila bekas tonggak Sabah itu akan bersama mereka untuk musim hadapan bagi mengharungi saingan Liga Super.
Pemain tengah itu jelas tertarik dengan perancangan yang dibuat Penang sekali gus menukar haluan baharu ke utara tanah air setelah setia bersama Sabah sebelum ini.
Menurut Azzizan, keputusan yang dibuat adalah tepat untuk meninggalkan negeri beliau dilahirkan dan memulakan angin perubahan baharu bersama Penang yang dilihat sebagai salah satu pasukan kuat musim ini.
Tambah bekas pemain kebangsaan tersebut, Penang mahu akan khidmatnya sejak dua musim lalu namun tidak tergerak hati untuk diri beliau meninggalkan Sabah ketika itu.
Namun berkat usaha mereka selama dua tahun ini menggerakan hati pemain tersebut untuk menerima tawaran.
“Saya berminat melihat perancangan PFC pada musim depan dan berharap dapat segera menyesuaikan diri dengan pasukan serta cuba meraih tempat dalam kesebelasan utama,” katanya lagi.
Walaupun begitu, Azzizan tidak menolak untuk merasa sedikit sedih dan sukar membuat keputusan sebelum meninggalkan bekas pasukan, Sabah setelah hampir enam tahun menabur bakti bersama negeri kelahirannya.
Apapun, keputusan yang dibuat oleh Azzizan nyata nekad atas dasar ingin mencabar diri sendiri dan mahu keluar dari zon selesa buat pertama kali.
“Biarpun sebelum ini tidak pernah terfikir untuk ke pasukan lain namun dalam bola sepak, ada kalanya penghijrahan itu boleh membantu kita lebih matang sebagai seorang pemain bola sepak profesional,” katanya.