Pengurus Projek ABK18 Tampil Berikan Penjelasan Selepas Dipecat Kerana Kontroversi Kasut Emas

Trofi kasut emas yang disampaikan di ABK18 telah mencuri tumpuan komuniti bola sepak di seluruh negara.

Apa tidaknya. Selain daripada bentuknya yang kecil, ia langsung tidak menggambarkan prestij anugerah berkenaan yang dikhususkan untuk penjaring terbanyak pertandingan.

Membuatkan ianya dikritik ramai, Malaysian Football League (MFL) adalah penganjur majlis anugerah tersebut. Sebagai badan penganjur yang dicanang untuk mengangkat martabat pertandingan bola sepak tempatan, sepatutnya mereka adalah pihak yang paling jelas akan kepentingan anugerah sebegini untuk menghargai pencapaian pemain.

Kritikan netizen dan TMJ

Gambar trofi tersebut pantas menjadi tular di media sosial. Kritikan demi kritikan dilontarkan. Ada yang menggangap bentuk trofi tersebut seperti kepompong. Tidak kurang yang menggap ia seperti beluncas dan macam-macam lagi.

Pada mulanya MFL mendiamkan diri, sehinggalah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut membidas kualiti trofi yang disampaikan. Selaku Pengerusi MFL, reaksi marah Baginda itu bukan perkara yang menghairankan.

Ia ibarat kepercayaan yang diberikan kepada anak buah di bawah naungan baginda di dalam organisasi tersebut, tidak dibalas dengan hasil yang sepatutnya. Maka tidak hairanlah juga baginda menuntut individu yang bertanggungjawab untuk meletak jawatan.

Dan hanya selepas itu, pada awal pagi hari berikutnya, MFL seperti tersentak dan menyedari kesilapan yang mereka lakukan. Hakikatnya tempoh 24 jam sebelum itu selepas tamat ABK 18, badan penganjur bola sepak negara itu sudah pun dihujani oleh kritikan daripada netizen.

Perlukah MFL menunggu untuk memberikan penjelasan selepas ditegur oleh Pengerusi atau ketua mereka sendiri?

Media Sosial Minggu Ini (MSMI)

Segmen MSMI telah digunakan oleh MFL sejak beberapa minggu yang lalu untuk menjawab persoalanan yang ditampilkan oleh peminat bola sepak tanah air.

Isu trofi kasut emas ketika ABK18 turut dijawab oleh MFL menggunakan platform yang sama. Tiga individu tampil untuk memberikan penjelasan melalui platform tersebut iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd dan Ketua Pegawai Pematuhan MFL, Desmond Dominic Raju.

Trofi Kasut Emas yang menjadi kontroversi.

Ketiga-tiga individu cuba memberi penjelasan mengenai perkara sebenarnya yang berlaku di sebalik kegagalan MFL menyerahkan trofi yang lebih berkualiti kepada penerima. Di sebalik penjelasan tersebut, satu perkara yang kita pasti ialah individu yang bertanggungjawab ke atas trofi tersebut tidak bersama-sama dengan mereka untuk memberikan penjelasan.

Kita cuma difahamkan individu terbabit yang juga merupakan Pengurus Projek ABK 18 diminta bertanggungjawab dengan menyerahkan surat perletakkan jawatan berikutan isu ini.

Pengurus Projek ABK tampil dengan penjelasan

Danial Khoriri yang kini adalah bekas eksekutif MFL adalah Pengurus Projek ABK18 yang lalu. Beliau diarahkan oleh pengurusan MFL untuk meletak jawatan dengan notis 24 jam pada Rabu lalu.

Walaupun Danial mengakui bersalah dan mengambil tanggungjawab atas kekhilafan di ABK18, beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan dari pihak beliau sendiri yang mengendalikan keseluruhan projek tersebut, khususnya pada hari kejadian.

Penjelasan oleh saudara Danial dimuat naik di dalam akaun Facebook milik beliau. Kami simpulkan dan susun jawapan Danial untuk mempermudahkan anda di sini:

Kenyataan Kevin di artikel twentytwo13.my

Antaranya ialah percanggahan kenyataan yang diberikan oleh Kevin Ramalingam dan juga Mohd Shazli Shaik Mohd masing-masing melalui artikel bertajuk: MFL CHIEF REVEALS TALE BEHIND ‘MINIATURE CINDERELLA SHOE’ BOO-BOO oleh TwentyTwo13, video MSMI yang dimuatnaik sendiri oleh MFL seperti di atas.

Petikan artikel dari twentytwo13.my.

Di dalam artikel tersebut, Kevin memberitahu twentytwo13.my bahawa Shazli telah melakukan semakan terhadap semua trofi untuk ABK18, dan mendapati trofi kasut emas dan kasut perak tidak berada di situ. Sazli juga kononnya diberitahu oleh Pengurus Projek, trofi tersebut akan tiba kemudian.

Ini penjelasan daripada Danial Khoriri mengenai kenyataan Kevin: “Ini satu kenyataan yang sangat tidak tepat. Tiada satu pun perkataan yang keluar daripada mulut saya mengatakan trofi tersebut akan datang kemudian.

“Apa bukti yang mengatakan saya berkata demikian? Individu tersebut langsung tidak bertanya kepada saya di mana trofi yang diperkatakan. Untuk makluman semua trofi tiba di lokasi acara pada jam 12 tengah hari (saya ada bukti dalam hal ini.

CEO MFL, Kevin Ramalingam

“Anda boleh semak dengan pembekal trofi tersebut bahawa kesemua trofi sampai pada waktu yang sama) dan seperti semua maklum acara bermula pada jam 9 malam. Sepanjang 9 jam dari jam 12 tengahari, tiada satu pun pihak datang kepada saya mengatakan bahawa trofi tersebut tidak sesuai untuk diberi kepada pemenang lebih-lebih lagi ketua pegawai operasi yang mendakwa trofi tersebut tiada.

Bagaimanapun, Danial mengakui beliau tidak sempat memeriksa trofi-trofi tersebut disebabkan bebanan kerja pada hari acara dijalankan. Selain daripada hal trofi, beliau juga harus menumpukan perhatian kepada proses lain seperti rehearsal yang mengambil tempat pada hari sama sebelum acara sebenar pada sebelah malam.

Mengenai dakwaan beliau cuba menyorokkan trofi tersebut, ini jawapan Danial: “Dakwaan ini tidak berasas kerana manakan boleh saya menyorokkan benda yang tidak berada dengan saya. Jika sekalipun saya mengatakan trofi tersebut akan sampai lewat, mana bukti penerimaan trofi tersebut pada waktu kemudian (daripada waktu yang dijanjikan)? Ada delivery order?

“Jika ada, siapa yang mendatanganinya dan tidakkah individu tersebut berasa janggal dengan trofi yang diterimanya itu? Tidakkah individu tersebut sepatutnya melaporkan terus kepada ketua pegawai operasi yang tercari-cari trofi berkenaan dengan mengatakan bahawa trofi yang dicari sudah sampai?

Petikan artikel dari twentytwo13.my.

Dalam artikel yang sama juga Kevin berkata dirinya dan Sazli sibuk dengan operasi melibatkan ABK18. Kevin juga memaklumkan mereka tidak dimaklumkan mengenai hal trofi. Malah jika mereka tahu akan keadaan trofi tersebut pada 8pm, beliau dan Sazli pasti akan mengambil tindakan sewajarnya.

Berkenaan kenyataan ini, Danial menyifatkan ia adalah kenyataan yang berani dari Kevin selaku CEO MFL. Ini adalah kerana Kevin sendiri tidak berada di lokasi sepanjang siaran langsung acara tersebut dijalankan.

“Ini satu kenyataan yang sangat berani yang dikeluarkan oleh individu yang bergelar CEO (It’s a brave statement from the CEO to say this on record when he clearly wasn’t there during the event.) Beliau tiada di lokasi majlis ketika siaran langsung (saya mempunyai bukti bagi menyokong kenyataan saya ini),” ujar Danial melalui kenyataan beliau.

Bagaimanapun Danial bersetuju tindakan pasti akan diambil jika beliau dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Operasi ataupun Ketua Pegawai Eksekutif sendiri bahawa trofi-trofi tersebut tidak sesuai untuk diserahkan kepada pemenang, walaupun ketika siaran langsung sudah bermula.

“Jika perkara ini diberitahu sewaktu acara sedang berjalan sekalipun saya adalah individu yang mesti dicari kerana selaku floor manager saya masih boleh untuk berhubung terus dengan penerbit saya dan mengarahkan pengacara majlis iaitu Harith Iskander (melalui headset) untuk tidak menjemput wakil pemenang naik ke atas pentas bagi menerima trofi.

“Malah situasi ini berlaku ketika slot penyampaian trofi Penjaring Terbanyak 100PLUS Liga Premier 2018 (yang dijalankan sewaktu commercial break – juga menggunakan trofi kecil itu) diubah ke slot Grandstand selepas selesai majlis kerana penyampai trofi berkenaan gagal hadir pada saat akhir dan kami memerlukan masa untuk mencari penganti. Bayangkan pada saat itu pun tiada siapa yang menegur mengenai trofi berkenaan.,” jelas Danial.

Penjelasan Mohd Shazli Shaik (Video MSMI, MFL)

Danial turut menyanggah beberapa kenyataan oleh  Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd dalam video untuk segmen MSMI oleh MFL untuk menjawab isu berkenaan.

Petikan kata-kata Mohd Shazli Shaik Mohd (video: minit ke-6:30)

Petikan kata-kata Mohd Shazli Shaik Mohd di dalam MSMI terbitan MFL.

Ini penjelasan daripada Danial Khoriri mengenai kenyataan Shazli: “Satu lagi kenyataan yang sangat nyata pembohongannya. Tiada komunikasi antara saya dengan ketua pegawai operasi berhubung perkara ini. Dialog ini langsung tidak wujud dan sengaja direka-reka. Tiada suatu pun perkataan ‘Nike’ diperkatakan di hadapan saya.

Sambil mengesahkan beliau tidak pernah diberitahu mengenai trofi yang disediakan oleh Nike, Danial turut mendapati trofi untuk anugerah ‘Most Valuable Player’ mempunyai sedikit masalah.

“Saya sendiri berkesempatan untuk berjumpa dengan rakan sekerja saya yang melakukan pemeriksaan ke atas trofi-trofi ini dan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau kepada saya ialah: ‘Eh, something wrong dengan trofi MVP ni’.

“Saya menyoalnya semula: Kenapa?” dan beliau menjawab: “Dah patah sikit tapi vendor tu gam balik”. Sewaktu ini tiada seorang pun yang bertanyakan kepada saya di mana trofi kasut emas (jika dakwaan mengatakan trofi itu tiada), dan tiada seorang pun memberi komen bahawa trofi kasut emas tersebut tidak sesuai.

Petikan kata-kata Mohd Shazli Shaik Mohd (video: minit ke-9:15)

Petikan kata-kata Mohd Shazli Shaik Mohd di dalam MSMI terbitan MFL

Ini penjelasan daripada Danial Khoriri mengenai kenyataan Shazli: “Ya, seperti yang saya jelaskan tadi saya individu terbaik untuk dicari semasa siaran langsung bagi pemberitahuan hal ini. Tetapi malangnya ia tidak berlaku dan semua kelihatan normal sehingga tamat acara.

“Kami semua (termasuk Ketua Pegawai Operasi) mengucapkan tahniah kepada satu sama lain atas ‘a job well done’. Tetapi pepatah Inggeris ada mengatakan, ‘the calm before the storm’, begitulah jadinya.

Terima cabaran ABK18

Menurut Danial, masih ada banyak lagi yang boleh beliau tampilkan. Ini adalah pertama kali beliau diamanahkan sebagai pengarah projek ABK. Bidang kuasa Danial bersama MFL sebenarnya termaktub di bawah jabatan sokongan penyiaran.

Namun kerana beliau melihat peluang di ABK18 sebagai batu loncatan dan peluang untuk menaikkan kerhjaya beliau dalam industri bola sepak tanah air, cabaran tersebut beliau terima dan cuba digalas dengan penuh amanah.

“Tetapi apakan daya, atas desakan sesetengah pihak, saya terpaksa di”kambing-hitam”kan dan dipersalahkan sepenuhnya atas kesilapan yang berlaku. Saya akui sememangnya majoriti kesalahan ini dibahu saya, namun untuk mengulangi pendirian “mengambil tanggungjawab” (seperti anda dapat saksikan dalam video MFL), tetapi meletakkan 100 peratus kesalahan ke bahu saya bukanlah kebertanggungjawaban dalam erti-kata sebenar,” ujar beliau.

Penutup

Jika dakwaan oleh saudara Danial Khoriri ini benar, agak pelik mengapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd mengubah fakta di sebalik penjelasan mereka.

Bukan mahu menyangkal sesiapa, tetapi saling tuding menuding sememangnya bukan amalan yang sihat dalam mana-mana organisasi. Di dalam apa bidang pun, kesilapan harus kita gunakan untuk belajar dan memperbaiki apa yang harus dibaiki pada masa akan datang.

Buat saudara Danial, kami berdoa hanya yang terbaik untuk anda selepas karier bersama MFL. Semoga perkara ini juga boleh menjadi pengajaran kepada MFL dan semua pihak pada masa hadapan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN