Kelab komuniti Terengganu, Kerteh FC mengambil kesempatan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini dengan menganjurkan program ‘Satu Hati Kerteh FC’.
Program dengan tema ‘Kerteh Sayang Kamu’ itu bertujuan untuk meraikan anak yatim dalam satu Majlis Berbuka Puasa dan Membeli Persiapan Raya di Mesra Mall Kemasik, Terengganu pada jam 3.00 petang, 18 Mei ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan di laman Facebook rasmi Kerteh FC, usaha murni yang dirangka itu adalah merupakan salah satu daripada ‘activation programme’ tahunan yang telah dirancang oleh pihak kelab.
Program ini juga bertujuan untuk mendekatkan Kerteh FC dan rakan penaja di hati komuniti setempat sekaligus dapat membuka laluan bantuan untuk disalurkan kepada anak-anak yatim yang memerlukan.
Ternyata inisiatif diambil Kerteh FC dalam menghadirkan keceriaan buat insan yang memerlukan adalah satu langkah yang terpuji.
Ia sebenarnya telah membuktikan dengan status hanya sebagai kelab komuniti tidak menghalang usaha murni tersebut untuk direalisasikan.
Dalam perkembangan yang sama, pengurusan pasukan yang dikenali sebagai ‘The Oilers’ itu dengan berbesar hati mengalu-alukan sekiranya terdapat individu atau syarikat ingin turut serta menjayakan program tersebut.
Sebarang pertanyaan atau berminat untuk turut serta menyumbang, anda boleh menghubungi nombor yang tertera pada poster di bawah.