Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil Sedia ‘Sambut Baton’ Galas Tugasan Sebagai Jurulatih

Produk SSBJ

Ia adalah kitaran normal dalam bola sepak. Bermula dengan langkah sebagai pemain remaja kebangsaan, kini beberapa orang bekas pelatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) telah bersedia untuk memasuki fasa seterusnya dalam ekosistem bola sepak dengan menggalas tugas sebagai jurulatih.

Safee Sali, Mahali Jasuli, Arman Fareez Ali, Shahril Sa’ari dan Syed Adney Syed Hussein adalah lima orang alumni SSBJ yang berjaya menyelesaikan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM/AFC ‘C’ anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) pada minggu lalu.

Nama-nama pemain ini bukanlah asing dalam arena bola sepak negara. Masing-masing memiliki reputasi dan pencapaian yang cukup membanggakan di peringkat domestik dan pentas antarabangsa.

Kini di penghujung karier sebagai pemain profesional, mereka telah memilih jalan untuk menyumbang bakti, tenaga dan kemahiran mereka kepada industri bola sepak Malaysia dengan peranan yang berbeza iaitu sebagai jurulatih.

Kredit Foto: Aremilworks

Arman Fareez yang ditemui semasa majlis penutup kursus percaya dua aspek penting iaitu pengalaman sebagai pemain dan ilmu yang diperoleh semasa kursus apabila dicantumkan dapat menjadikan mereka seorang jurulatih yang baik dan bermanfaat untuk pemain-pemain generasi baharu.

“Daripada sekolah bukit jalil, kemudian saya bermain untuk kelab dan sekarang saya mula menceburi bidang kejurulatihan, saya rasa apa ilmu yang saya ada sebagai pemain boleh dibawa ke bidang kejurulatihan,” jelasnya.

“Saya boleh curahkan ilmu-ilmu yang ada kepada bakat-bakat muda dan seterusnya menjadikan industri bola sepak kita semakin maju dan berkembang.

Kredit Foto: Aremilworks

“Dengan silibus-silibus baharu dalam sesi latihan terutamanya melibatkan pemainan bola sepak moden ini yang diterapkan, ia sedikit sebanyak akan membantu generasi muda dalam industri bola sepak pada masa akan datang.”

Kursus yang berlangsung di Institut Semarak Felda (ISEF) dan Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi ini dibimbing oleh Richard Sinappan, tenaga pengajar mahir yang diiktiraf oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Beliau dibantu oleh Fairuz Yunos yang secara kebetulannya merupakan bekas jurulatih di SSBJ dan pernah melatih beberapa orang peserta kursus ini semasa mereka masih pemain remaja.

Bercakap mengenai perasaannya melihat pemain-pemain yang pernah berada di bawah bimbingannya lebih 15 tahun lalu, beliau ternyata terharu dan gembira dengan perkembangan mereka yang sudah memasuki fasa baharu dalam karier mereka.

Kredit Foto: Aremilworks

“Kehidupan ini ibarat bulatan,” ujar Fairuz memulakan bicaranya.

“Bagi saya pemain-pemain yang keluar daripada [Sekolah Sukan] Bukit Jalil, bermain untuk kelab, jadi pemain kebangsaan, mengakhiri karier dan kemudian menceburi bidang jurulatih, ia adalah kitaran yang amat bagus kerana ini adalah kepakaran mereka.

“Generasi akan berubah dari semasa ke semasa. Kini sudah tiba masanya bekas pemain ini menjadi jurulatih untuk kesinambungan menggantikan jurulatih-jurulatih yang telah keluar daripada sistem.

“Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang sebagai pemain profesional, ia adalah satu kelebihan yang amat baik untuk menjadi jurulatih pada masa hadapan.

“Saya melibat mereka mempunyai potensi yang besar. Bola sepak negara memerlukan kepakaran daripada mereka untuk melahirkan pemain-pemain bintang generasi akan datang.

“Harapan saya semoga mereka terus menjalani proses pembelajaran yang sempurna untuk menjadi seorang jurulatih yang berkualiti.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN