Previu unifi Liga Super 2018: Melaka United vs Kelantan

Kali terakhir Melaka United dan Kelantan bertemu adalah pada 28 Oktober 2017, di mana Kelantan meraih kemenangan di halaman lawan. Ini sekaligus memastikan slot Liga Super Kelantan kekal bagi musim 2018.

Itu kisah 2017. Kali ini mereka dipertemukan semula kira-kira kurang dari 13 minggu dengan kedua-dua pasukan menampilkan skuad serba baharu dalam mengharungi saingan kempen unifi Liga Super musim 2018.

Pertembungan pemain import

Hanya pemain dari Korea Selatan, Jeon Woo-young dikekalkan dari musim 2017 bagi slot pemain import skuad Melaka United musim ini. Woo-young telah disertai oleh 4 pemain import baharu termasuk seorang pemain Singapura yang mengisi kuota pemain ASEAN bagi memperkuat cabaran Melaka musim ini.

Pemain dari Singapura tersebut, Shahdan Sulaiman dilihat sering diuji dibahagian tengah bertahan pada perlawanan pra-musim hasil dari formasi 4-2-3-1 yang selalu digunakan Eduardo Almeida musim lalu.

Manakala pemain import dari Belarus, Yahor Zubovich diletakkan sebagai penyerang tunggal dan dibantu oleh seorang lagi tenaga import dari Portugal, Tiago Gomes.

Seorang lagi pemain import kelahiran Perancis, Steven Thicot (kiri, gambar bawah) akan mengisi posisi pertahanan dan bakal digandingkan dengan pemain kacukan musim lalu, Nicolas Swirad.

Bagi skuad Kelantan pula, hanya Margaro Gomis dikekalkan sebagai pemain import dari musim lepas. Kelantan yang berada di bawah pengurusan baru kali ini membawa masuk 3 pemain import baharu dengan dua daripadanya memiliki reputasi dan profil yang tinggi di Liga Indonesia.

Bekas penyerang Persija Jakarta, Bruno Lopes dan pemain dinamik PSM Makassar, Ferdinand Sinaga (gambar bawah) dilihat mampu membawa impak untuk Kelantan tatkala kedua-duanya sudah lama didedahkan dengan gaya permainan bola sepak di ASEAN.

Ferdinand Sinaga

Pertembungan pemain tempatan

Dari segi tenaga pemain tempatan, Melaka United dilihat banyak membawa masuk pemain-pemain tempatan yang berpengalaman – antaranya Ahmad Fakri Saarani, S Chanturu, R. Gopinathan dan Azmi Muslim.

Kepulangan semula penyerang Nurshamil Abd Ghani selepas dipinjamkan ke Selangor pada musim 2017 seharusnya bakal memberi cabaran kepada Yahor Zubovich di bahagian serangan.

Kelantan yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain-pemain berusia 30-an pada musim lepas mengambil langkah progresif tetapi tidak drastik dengan lebih mempercayai bakat-bakat muda pada musim 2018 kali ini.

Badhri Radzi, Nur Farhan Muhammad dan Farisham Ismail antara pemain veteran yang dikekalkan Kelantan pada musim ini. Tetapi perhatian pastinya lebih tertumpu kepada bakat-bakat muda pasukan Pantai Timur ini seperti Danial Ashraf (gambar bawah), Nik Akif Shahiran, Ramadhan Hamid dan Haikal Nazri.

KELANTAN- Kelantan player, Muhammad Ghaddar (22) celebrates after scored 2nd goal during the 2017 Malaysia Super League match between Kelantan vs T Team at Stadium Sultan Mohd Ke IV on 4 March 2017. Photo by Hazmin Hussin / www.asiana.my

Sementara itu, kemasukan pemain berpengalaman seperti Amirizwan Taj dan S. Veenod mampu memberi petunjuk kepada pemain-pemain muda ini di atas padang.

Perhatian pastinya terarah kepada impak pemain baharu kedua-dua pasukan, R Gopinathan (Melaka United) dan S Veenod (Kelantan). Kedua-dua pemain nampak belum hilang kelincahan mereka dalam aksi perlawanan persahabatan dan adalah amat menarik untuk kita perhatikan sama ada mereka mampu mencipta legasi baru di pasukan baharu mereka pada musim ini.

Rekod pertemuan

Hanya 2 perlawanan Liga Super mempertemukan kedua-dua pasukan ini sejak diperkenalkan musim 2004. Kedua-dua pasukan pernah menang sekali ke atas lawan masing-masing dengan kemenangan tersebut dilakar di halaman lawan.

Manakala dalam saingan Piala Malaysia musim lalu, Melaka United menang kedua-dua perlawanan.

Rumusan

Kedua-dua pasukan dilihat memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi. Namun peranan pemain import – terutamanya di bahagian serangan – bakal menentukan keputusan perlawanan ini nanti.

Kelebihan mungkin sedikit berpihak kepada Melaka yang turun sebagai tuan rumah. Namun keupayaan anak-anak buah Sathit Bensoh tidak boleh dipandang sepi terutamanya jika kita mengambil kira kemantapan jentera serangan Kelantan semasa kempen pra-musim baru-baru ini.

Dengan apa yang pasti, Kelantan pastinya mahu mengulangi kejutan seperti perlawanan penutup Liga Super pada musim 2017 di samping mengelak daripada bersaing di zon penyingkiran liga – juga seperti musim 2017.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN