Jika sejarah yang dinilai, maka Liverpool boleh bermegah dengan 5 kejuaraan Eropah yang mereka miliki.
Namun daripada 5 kejuaraan tersebut, hanya sekali Liverpool meraih kejuaraan selepas kejohanan bola sepak peringkat kelab di eropah ini melalui penjenamaan semula pada 1992, iatu pada tahun 2005.
Sejak pengambilalihan oleh jutawan Arab, Sheikh Mansour, Manchester City turut tidak ketinggalan untuk memburu hadiah paling berprestij di dalam pertandingan bola sepak eropah ini.
Setelah berjaya mendominasi saingan domestik, City percaya kini tiba masanya bagi mereka untuk membuktikan diri setaraf kelab bola sepak elit lain di Eropah.
Liverpool
Skuad kendalian Jurgen Klopp ini mungkin berada 18 mata di belakang Manchester City di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Namun Liverpool adalah satu-satu pasukan yang mampu menewaskan City pada musim ini.
Kemenangan 4-3 ke atas City di Anfield pada Januari lalu menamatkan harapan skuad kendalian Pep Guardiola untuk mengharungi musim ini tanpa tewas.
Kunci kecemerlangan pada musim 2017/18 ini untuk Liverpool pasti adalah kerana kehebatan gandingan trio penyerang, Mohamed Salah, Sadio Mane, dan Roberto Firmino.
Di saingan UCL, ketiga-tiga pemain ini sudah menjaringkan 19 gol terkumpul sesama mereka setakat ini, dan dilabel sebagai hampir mustahil dihalang oleh Guardiola.
Firmino menjaringkan 8 daripada gol tersebut, dan penyerang Brazil itu turut terlibat secara terus dengan 7 gol ketika berhadapan City sebelum pertemuan ini.
Fokal serangan Liverpool tetap masih terarah kepada Salah. Sehingga kini, penyerang antarabangsa Mesir ini telah menjaringkan 36 gol dalam semua pertandingan.- 7 daripadanya dihasilkan di pentas UCL.
Di bahagian pertahanan, kehadiran Virgil van Dijk mulai menghasilkan stabiliti. Sebelum ini, ia dianggap bahagian paling lemah milik Liverpool.
45 perlawanan yang diharungi oleh Liverpool setakat ini, mereka hanya tewas 6 kali. Dan daripada 23 perlawanan yang diadakan di Anfield, anak buah Klopp hanya tewas sekali.
Jentera serangan Liverpool juga hanya gagal menemui sentuhan penyudah di dalam 2 perlawanan, berbanding 19 kali keseluruhan pada musim lalu.
Selain daripada keupayaan jentera serangan yang diketuai oleh Salah dan rakan-rakan, Liverpool turut pasti mahu menggunakan kelebihan beraksi di Anfield sebagai magnitud untuk memburu kejayaan.
Prestasi lalu di UCL: WWDWWD
Prestasi lalu (semua pertandingan): WWDLWW
Manchester City
Ketika Liverpool bermegah dengan kemenangan membelasah Porto 5-0 di saingan peringkat kumpulan, City melakukan hasil yang hampir serupa apabila mendominasi Basel dengan kemenangan 4-0.
Namun demikian skuad Citizen kemudiannya ditundukkan 2-1 di perlawanan timbal balik, menjadikan 2 kekalahan di dalam 3 perlawanan terakhir di saingan UCL buat City.
Selain daripada ditewaskan Basel, City turut ditundukkan oleh Shakhtar Donetsk di perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Namun jika konteks persaingan diambil kira, 2 kekalahan tersebut sebenarnya tidak membawa apa-apa makna.
Sepanjang kempen Manchester City melewati semua pertandingan pada musim ini, mereka hanya tewas dua kali di dalam perlawanan kompetitif wajib menang.
Pertama, ditewaskan oleh Liverpool pada Januari lalu, dan yang kedua dikejutkan oleh Wigan di saingan Piala FA Inggeris.
Malah skuad kendalian Pep Guardiola adalah yang paling konsisten di kalangan kelab Inggeris yang lain, dan hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan mereka sebagai juara EPL pada musim ini.
Berhadapan Liverpool pada awal pagi nanti, City pasti mahu memastikan mereka berada di landasan ‘treble’ apabila turut mengesahkan kejuaraan Piala EFL beberapa bulan yang lalu.
Kejuaraan berganda yang diraih di peringkat domestik sudah membuktikan kejayaan Guardiola membentuk sebuah pasukan yang boleh dianggap sebagai kuasa besar di bola sepak Inggeris.
Namun demikian, seperti Paris Saint-Germain (PSG), pasukan ini bukan sahaja dibina untuk meraih kejayaan domestik. Ianya seakan ralat di dalam pencapaian pengurus Catalan itu jika tidak melengkapkan kejayaan dengan trofi UCL.
Prestasi semasa di Champions League: WWWLWL
Prestasi semasa (Champions League): WWWLWW
Info pasukan
Adam Lallana dan Joel Matip sudah sah tersisih daripada perancangan Klopp untuk perlawanan ini.
Tatkala Emre Can turut diragui kecergasan akibat kecederaan belakang, Alex Oxlade-Chamberlain berpeluang bergandingan dengan James Milner dan Jordan Henderson di bahagian tengah.
Berita baik buat Liverpool ialah Nathaniel Clyne telah cergas sepenuhnya setelah turut berada di dalam skuad menentang Crystal Palace pada hujung minggu yang lalu.
Di kem pelawat, keadaan Sergio Aguero menimbulkan sedikit kegusaran buat penyokong Citizen setelah tidak beraksi di dalam beberapa perlawwanan akibat kecederaan di bahagian lutut.
Aguero tidak pernah menjaringkan gol di Anfield. Ini memungkinkan Guardiola untuk mengekalkan gandingan Leroy Sane, Gabriel Jesus dan Raheem Sterling di bahagian serangan.
Pemain pertahanan, John Stones turut dilaporkan telah kembali, namun prestasi baik gandingan Vincent Kompany dan Nicolas Otamendi setakat ini mungkin akan dikekalkan. Oleksandr Zinchenko turut dijangka akan mendapat peluang untuk menggantikan Fabian Delph.
Beberapa pemain daripada kedua-dua pasukan turut harus mengambil langkah berjaga-jaga di dalam perlawanan ini kerana berhadapan dengan prospek pergantungan dalam perlawanan seterusnya jika dilayangkan satu lagi kad kuning.
Danilo, Fernandinho, Ilkay Gundogan, Jordan Henderson dan Alberto Moreno adalah pemain yang harus berfikir dua kali sebelum melakukan terjahan.
Pertemuan lalu
Ini mungkin adalah pertemuan pertama di pentas eropah buat kedua-dua pasukan, tetapi jika pertemuan sesama pasukan senegara, Liverpool punyai kelebihan dari segi pengalaman di pertandingan ini.
Untuk rekod, Liverpool telah bersemuka dengan pasukan senegara sebanyak 10 kali, manakala Manchester City hanya pernah berhadapan dengan lawan senegara hanya sekali di dalam pertandingan ini.
5 daripada perlawanan yang dihadapi oleh Liverpool adalah di peringkat kalah mati.
Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 178 kali di dalam semua pertandingan dan Liverpool boleh bermegah dengan 87 kemenangan, sementara City hanya merekodkan 45 kemenangan daripada jumlah tersebut.
Penutup
Siapakah yang akan memperolehi kelebihan daripada perlawanan pertama peringkat suku akhir UCL ini?
Mampukah Liverpool mengembalikan kegemilangan silam? Atau adakah ini menjadi titik permulaan Manchester City bergelar sebagai salah sebuah kelab elit eropah?