Previu UCL 17/18: PSG Mahu Rampas Gelaran Jaguh Bola Sepak Eropah Los Blancos

UEFA Champions League (UCL) kini memasuki pusingan 16 pasukan terbaik, yang akan bertanding sesama sendiri untuk merebut 8 slot ke peringkat suku akhir pertandingan bola sepak eropak tersebut.

Pertandingan yang menawarkan hadiah kemenangan terbesar peringkat kelab di dunia ini menampilkan 5 pasukan daripada Liga Perdana Inggeris.

Dua perlawanan dilangsungkan pada awal pagi tadi. Manchester City mudah menewaskan Basel 4-0 di arena lawan, manakala Tottenham Hotspur bangkit mengikat Juventus 2-2 di Turin dalam perlawanan pusingan pertama.

Pada awal pagi nanti, Liverpool akan melakukan perhitungan dengan Porto, manakala dua lagi kelab Inggeris, Chelsea dan Manchester United perlu menunggu sehingga minggu hadapan untuk perhitungan dengan wakil La Liga, Barcelona dan Sevilla.

Lupakan sebentar kelab Inggeris.

Tumpuan perlawanan pada awal pagi nanti pasti akan terarah ke Estadio Santiago Bernabeu, apabila juara bertahan Real Madrid menanti kunjungan Paris Saint-Germain.

Rekod lampau

Di peringkat kalah mati, PSG telah menyingkirkan Real Madrid sebanyak dua kali di saingan pentas eropah. Pertama kali ialah pada musim 1992/93 Piala UEFA, dan kemudiannya di pertandingan Cup Winners Cup pada musim 1993/94.

PSG menyingkirkan Real Madrid di peringkat suku akhir di dalam pertemuan melibatkan kedua-dua kelab.

Prestasi semasa

Real Madrid telah memenangi lima trofi kejuaraan pada 2017, dan bergelar juara UCL selama dua musim berturut-turut. Namun musim 2017/18 prestasi Real Madrid tidak menggambarkan kejayaan lalu mereka.

Sehingga kini Los Blancos berada 17 mata di belakang pendahulu, Barcelona di La Liga dan disingkirkan oleh Leganese di pertandingan Copa del Rey di peringkat suku akhir.

(Photo by Gonzalo Arroyo Moreno/Getty Images)

Prestasi Real Madrid lebih baik di pertandingan UCL ini. Namun demikian, Zinedine Zidane dan anak buahnya terpaksa berpuas hati menamatkan saingan Kumpulan H di tempat kedua, di belakang Tottenham Hotspur.

Di kem PSG, skuad Unai Emery mensia-siakan kelebihan 4-0 menentang Barcelona di peringat yang sama pada musim lalu. PSG pasti tidak mahu perkara yang sama berulang, apabila kebangkitan yang diinspirasikan oleh Lionel Messi menoktahkan kemaraan mereka.

(Photo by Anthony Dibon/Icon Sport)

PSG kini adalah pendahulu Ligue 1 dengan kelebihan 12 mata. Di atas kertas, PSG mungkin memiliki sedikit kepincangan.

Walaupun belum pernah melangkaui peringkat suku akhir sejak pengambilalihan oleh konsortium dari Qatar, musim ini PSG pasti tampil dengan impian berbeza, selepas melabur besar di pasaran pemain.

Pemain tumpuan

Tumpuan pasti terarah kepada rangkaian serangan kedua-dua pasukan.

Apabila Gareth Bale, Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo digandingkan lebih kurang dua minggu yang lalu, ia adalah yang pertama sejak April tahun lalu.

(Photo by Shot for Press/Action Plus via Getty Images)

Tanpa gandingan ketiga-tiga pemain pada satu masa untuk Madrid, Zidane bukan sahaja terpaksa menggunakan pemain lain, malah turut menukar formasi dan taktikal.

Ada masa percaturan Zidane membuahkan hasil, malah kelihatan lebih baik tanpa salah seorang daripada mereka. Adakalanya tanpa khidmat ketiga-tiga pemain tersebut, ia seperti satu kehilangan besar buat Madrid.

(Photo by Manuel Queimadelos Alonso/Getty Images)

Penjelasan ini serba sedikit memberi logik kepada prestasi tidak menentu skuad kendalian Zidane musim ini. Benzema sering menjadi cemuhan peminat kerana sering melepaskan peluang terbuka.

Mengambil kira kepentinagn UCL kepada Real Madrid pada musim ini, mungkinkah kita akan menyaksikan gandingan Bale, Benzema dan Ronaldo kembali menemui sentuhan mereka untuk Madrid?

(Photo by Jean Catuffe/Getty Images)

Ketibaan Neymar pada musim panas yang lalu bermakna PSG memiliki seorang pemain yang mampu mengubah permainan seorang diri. Neymar juga merupakan lambang kepada cita-cita PSG untuk mendominasi eropah.

Kylian Mbappe, walaupun pada usia yang muda dan sering dipertikai kerana sikap tamak ketika di atas padang, hanya akan menunjukkan peningkatan dengan pengalaman.

(Photo credit should read PASCAL PAVANI/AFP/Getty Images)

Begitu juga dengan penyerang antarabangsa Uruguay, Edinson Cavani yang mempunyai keyakinan untuk mencabar mana-mana pertahanan terbaik dunia dengan kesungguhan dan kelebihan fizikal yang dimiliki.

Pertembungan trio penyerang Real Madrid dan PSG ini, pasti sesuatu yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak seluruh dunia.

Info semasa

Real Madrid sudah sah akan turun tanpa kelibat bek kanan, Dani Carvajal yang digantung perlawanan.

Ini bermakna Raphael Varane kemungkinan besar akan mengambil alih posisi Carvajal, dan Nacho akan bergandingan dengan Sergio Ramos di bahagian pertahanan tengah.

(Photo by TF-Images/TF-Images via Getty Images)

Jesus Vallejo dan Dani Ceballos hampir pasti terlepas perlawanan ini kerana kecederaan, dan Zidane harus memutuskan sama ada Bale, Benzema dan Ronaldo akan terus diberi tugas untuk mengetuai jentera serangan.

Unai Emery tidak menyenaraikan Thiago Motta di dalam skuad PSG yang menuju ke ibu kota Sepanyol untuk perlawanan ini.

(Photo credit should read LOIC VENANCE/AFP/Getty Images)

Bekas pemain Real Madrid, Lassana Diarra dijangka akan mengambil alih peranan Motta di belakangan rangkaian serangan Neymar, Cavani dan juga Mbappe.

Barisan kesebelasan kemungkinan

Kedua-dua pasukan dijangka akan menggunakan formasi menyerang 4-3-3 dalam perlawanan ini. Ini adalah barisan kesebelasan utama pilihan kami untuk kedua-dua pasukan.

Real Madrid: Navas; Varane, Nacho, Ramos, Marcelo; Kroos, Modric, Casemiro; Bale, Ronaldo, Benzema.

Paris Saint-Germain: Areola; Yuri, Silva, Marquinhos, Alves; Verratti, Diarra, Di Maria; Neymar, Mbappe, Cavani.

Rumusan

Mampukah Real Madrid menyelamatkan musim mereka dengan menewaskan PSG di halaman sendiri? Atau adakah PSG akan pulang ke Parc des Princes dengan kelebihan?

Soalan yang lebih subjektif untuk ditanya ialah, mampukah PSG merampas gelaran kuasa bola sepak eropah daripada Los Blancos?

Sama-sama kita nantikan perlawanan penuh epik di antara Real Madrid dan PSG pada awal pagi nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN