Previu: Skuad Samurai Biru Tekad ‘Pancung’ Poland Untuk Juarai Kumpulan H

Selepas mara ke suku akhir di Euro 2016 yang lalu, Poland adalah pilihan utama bersama Colombia yang turut cemerlang dalam kempen Piala Dunia 2014.

Mari kita berbicara secara jujur di sini. Sebelum bermulanya kempen Piala Dunia 2018, Jepun bukanlah pasukan pilihan. Begitu juga dengan Senegal.

Senario Kumpulan H

Namun kini sebaliknya yang berlaku. Wakil dari Asia, Jepun mendahului Kumpulan H, diikuti Senegal dari benua Afrika.

Colombia dengan 4 mata masih mempunyai peluang untuk layak ke peringkat seterusnya, dengan syarat mereka wajib menewaskan Senegal.

Sumber: FIFA

Poland yang memiliki ranking tertinggi FIFA di kalangan 4 pasukan di dalam kumpulan ini- kedudukan ke-8, sudah pun tersingkir.

Kini terpulang kepada Senegal atau Colombia, juga Jepun yang memiliki sedikit kelebihan di atas kertas.

Jepun vs Poland

Laluan Jepun kelihatan lebih mudah. Namun pasukan dengan jolokan ‘The Blue Samurai’ ini pasti mahu menamatkan kempen peringkat kumpulan di tangga teratas.

Poland sudah pun tersingkir. Namun bagi Robert Lewondowski dan rakan-rakan pasti mahu memastikan diri mereka tidak diaibkan oleh wakil dari Asia itu.

(Photo credit should read MARK RALSTON/AFP/Getty Images)

Di atas kertas, Jepun sememangnya bukan lawan buat Poland.  Jauh di belakang, negara matahari terbit itu berada di kedudukan ke-61 dunia.

Berinspirasikan Korea Selatan yang menundukkan juara dunia Jerman di Kazan Arena, Jepun tahu Poland tidak segah Jerman, dan mereka mampu melakukan sesuatu untuk memastikan kemaraan mutlak ke peringkat seterusnya.

(Photo by NICOLAS ASFOURI / AFP) (Photo credit should read NICOLAS ASFOURI/AFP/Getty Images)

Berikut adalah beberapa fakta dan trivia perlawanan Jepun vs Poland:

    • Jepun pernah menewaskan Poland sebanyak dua kali dalam pertemuan mereka sebelum ini. Pertama kali, pertemuan kedua-dua pasukan direkodkan ialah pada Februari 1996, dan Poland dibelasah 5-0. Kali terakhir pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan ialah pada Mac 2002, menyaksikan Jepun menang 2-0.
    • Jepun mempunyai rekod yang tidak baik menentang wakil dari Eropah di Piala Dunia. Mereka gagal menjaringkan gol dalam 4 daripada 5 perlawanan di kejohanan tersebut. Kali terakhir Jepun menjaringkan gol menentang pasukan dari Eropah ialah ketika menewaskan Denmark 3-1 di edisi Piala Dunia 2010. Jepun mencatatkan 2 keputusan seri tanpa jaringan, dan tewas dalam 2 lagi perlawanan.
    • Jaringan Keisuke Honda ketika menentang Senegal tempoh hari, menjadikan beliau sebagai pemain Jepun pertama yang menjaringkan gol di tiga edisi Piala Dunia berlainan sejak 2010.
    • Poland adalah wakil Eropah pertama yang tersingkir dari Piala Dunia 2018 selepas tewas kepada Colombia. Mereka turut tersingkir di peringkat kumpulan dalam dua edisi Piala Dunia yang disertai sebelum ini iaitu pada 2002 dan 2006.
    • Pemain tengah, Takashi Inui telah menjaringkan 3 gol dalam 3 perlawanan (termasuk 1 sebelum Piala Dunia) terakhir untuk Jepun. Sebelum itu, Inui hanya menjaringkan 2 gol daripada 26 penampilan di peringkat antarabangsa.
    • Poland akan turun berdepan dengan Jepun untuk mengelakkan diri dari tewas semua perlawanan peringkat kumpulan buat pertama kali di Piala Dunia.
    • Poland memiliki rekod pertahanan yang buruk. Sejak menewaskan Portugal 1-0 di Piala Dunia 1986, Poland tidak pernah tidak dibolosi dalam setiap perlawanan, melepaskan keseluruhan 23 gol dari 10 perlawanan selepas itu.

Sebelum sepak mula

Keisuke Honda pasti di dalam situasi terdesak untuk berada di dalam kesebelasan utama, setelah beraksi cemerlang dalam dua perlawanan sebagai pemain gantian.

Honda turut menjaringkan 1 gol ketika menentang Senegal pada Ahad lepas. Pada usia 32 tahun, Piala Dunia 2018 mungkin adalah yang terakhir buat beliau.

(Photo credit should read ANNE-CHRISTINE POUJOULAT/AFP/Getty Images)

Pengendali Jepun, Akira Nishino turut menerima tekanan daripada media di tanah air untuk merehatkan penjaga gol, Eiji Kawashima selepas kesilapan yang dilakukan pemain itu didakwa menjadi punca keputusan seri menentang Senegal.

Manakala di kem Poland, mereka boleh memilih untuk menurukan pemain yang belum memperolehi minit beraksi dalam 2 perlawanan sebelumnya.

(Photo by Lukasz Laskowski/PressFocus/MB Media/Getty Images)

Antara yang mungkin akan memulakan perlawanan untuk Poland ialah pemain pertahanan, Kamil Glik yang diturunkan dari bangku pemain simpanan ketika tewas kepada Colombia.

Glik tidak beraksi menentang Senegal sebelum itu disebabkan kecederaan.

Penutup

Dari segi kebolehan teknikal, Jepun boleh dianggap kekurangan. Namun pasukan ini mempunyai karakter dan menyajikan disiplin taktikal yang menarik untuk kita saksikan.

Poland adalah sebuah pasukan yang sentiasa membawa harapan dan tekanan dari peyokong mereka sendiri untuk berjaya. Secara keseluruhan, ia adalah kempen Piala Dunia yang mengecewakan buat Poland.

Hanya Robert Lewandowski dan rakan-rakan mampu memberikan penjelasan kepada penyokong mereka, apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir.

Jelas sekali, ini adalah peluang terbaik untuk Jepun melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik, setelah pernah melakukannya ketika bergelar tuan rumah pada 2002 dan juga di edisi 2010.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN