Previu Shopee Piala FA: Selangor, Pahang Sama Tekad Buru Gemilang Yang Hilang

Malam ini perlawanan akhir Shopee Piala FA kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mempertemukan dua jaguh bola sepak tanah air negara, Selangor dan Pahang.

Menjelang perlawanan akhir pada malam ini, berikut ialah kupasan, analisis pra perlawanan dan taktikal kami mengenai perlawanan ini.

Selangor FA

Tujuh kali melangkah ke perlawanan akhir sejak pertandingan ini mulai diperkenalkan pada 1992, Selangor gah sebagai pasukan paling berjaya dengan lima kejuaraan.

Kali terakhir bergelar juara pada 2009, skuad The Red Giants mengecewakan Kelantan melalui penentuan sepakan penalti.

Bagi musim 2018, Selangor yang pada ketika itu masih di bawah kendalian P. Maniam mudah menyingkirkan cabaran MOF FC 3-0 di pusingan kedua.

Nazliazmi mengendalikan sesi latihan pasukan Selangor. FOTO: FAS

Nazliazmi Nasir yang mengambil alih tugasan ketua jurulatih kemudiannya membantu Selangor menafikan cabaran Terengganu FC di tempat lawan untuk layak ke suku akhir.

Hampir dikejutkan oleh Kuala Lumpur di perlawanan timbal balik selepas sebelum itu selesa dengan agregat 3-0, Selangor bertuah untuk ke separuh akhir selepas diheret lawan ke penentuan sepakan penalti yang mendebarkan.

Berkat keyakinan yang ada, anak buah Nazliazmi kemudiannya mudah menewaskan PKNS FC di separuh akhir dengan agregat 5-1.

Pahang FA

Empat kali ke pentas perlawanan akhir, Pahang bergelar juara di dalam dua edisi, dan tewas di dua lagi perlawanan akhir.

Selepas kali terakhir bergelar juara dengan menewaskan Felda United 2-1 pada musim 2014, Pahang berputih mata apabila tewas 3-2 kepada Kedah di Shah Alam pada musim lalu.

Sumber: Pahang FA, Facebook.

Namun laluan Pahang tidak semudah apa yang dilalui Selangor. Bergelut dengan prestasi di awal musim, Pahang sekadar menang 2-1 ke atas ATM FA di pusingan kedua.

Kemudian, juara bertahan Kedah menanti di pusingan seterusnya, sebelum jaringan tunggal Mohamadou Sumareh mengesahkan kemaraan.

Di suku akhir, Pahang memecah rekod tanpa kalah JDT sejak 2015 di Larkin dengan bantuan hatrik Patrick Cruz untuk anak buah Dollah Salleh melangkah gah ke separuh akhir.

Tok Gajah kemudiannya menafikan tentangan PKNP FC dengan agregat 3-2 untuk mengesahkan aksi di perlawanan akhir

Pemain tumpuan

Bagi Nazliazmi, sentuhan penyudah penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia akan terus menjadi sandaran.

Pada musim ini, Rufino sudah menjaringkan sejumlah 23 gol dari 23 penampilan. 9 daripada gol tersebut hadir di saingan Piala FA.

Selain Rufino, antara pemain yang mampu mengubah perlawanan bagi Selangor ialah pemain veteran, Amri Yahyah. Pada musim ini, Amri telah beraksi di dalam 5 perlawanan Piala FA dan berjaya menghasilkan 2 gol.

Sumber: Selangor FA, Facebook.

Walaupun sudah tidak segah dahulu, Amri adalah pemain yang penuh dengan pengalaman dan mengetahui resipi terbaik untuk memenangi perlawanan akhir sebegini.

Bagi skuad Tok Gajah, beberapa perubahan di jendela perpindahan kedua pada Mei lalu sedikit sebanyak telah mengubah wajah barisan utama mereka.

Patrick Cruz akan terus menjadi sandaran di jentera hadapan, sambil pemain-pemain seperti Issey Nakajima-Farran, Austin Amitu, dan Sumareh diharap turut membantu.

Sumber: JST, Facebook

Pemain terpenting bagi pasukan Pahang mungkin adalah Safuwan Baharudin yang bertindak sebagai pemain tengah bertahan.

Bukan sahaja betindak membantu bahagian pertahanan, Safuwan juga akan bergandingan dengan Azam Azih di bahagian tengah dalam merangka serangan pasukan.

Taktikal

Kredit harus diberikan kepada jurulatih muda, Nazliazmi Nasir dalam mengubah corak permainan Selangor sejak mengambil alih tugasan Ketua Jurulatih pada April lalu.

Rapuh di bahagian pertahanan sebelum itu, Nazliazmi menukar sistem bek bertiga yang diterapkan oleh P.Maniam kepada sistem empat pertahanan.

Sumber: Selangor FA, Facebook.

Berlandaskan formasi 4-3-3, sistem ini memberikan lebih stabiliti kepada Selangor sebagai sebuah unit. Sistem ini turut memanfaatkan pengalaman Amri Yahyah di bahagian tengah yang bertindak sebagai playmaker pasukan.

Bagi skuad Tok Gajah, Dollah Salleh tidak terikat hanya kepada satu formasi. Pada musim ini, 4-4-2 dan 4-3-3 lebih banyak disajikan, bergantung kepada keberadaan pemain yang dimilikinya untuk satu-satu perlawanan.

Sumber: Pahang FA, Facebook.

Di bahagian tengah, Safuwan dan Azam Azih adalah nadi kepada pasukan Pahang mencipta ruang untuk melancarkan serangan.

Dengan pemain seperti Sumareh dan Matthew Davies di dalam senarai pasukan, bahagian sayap akan menjadi punca utama serangan pasukan Pahang.

Info terkini pasukan

Di kem Pahang, tahap kecergasan Sumareh dan Cruz terus menjadi tanda tanya. Kedua-dua pemain disisihkan oleh Dollah Salleh dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang PKNP FC.

Di bahagian pertahanan, Afif Amaruddin dilaporkan telah pulih daripada kecederaan setelah berehat selama dua bulan sebelum ini.

Sumber: Pahang FA, Facebook.

Kini terpulang kepada Dollah Salleh sama ada untuk menurunkan Afif terus ke dalam kesebelasan utama Tok Gajah pada malam ini.

Di kem Selangor, pemain muda Syahmi Safari turut sudah bersedia untuk diturunkan, selepas turut berehat panjang sebelum ini.

Pemain sayap itu sudahpun diturunkan dalam perlawanan separuh akhir menentang PKNS FC untuk mendapatkan kembali minit perlawanan tempoh hari.

Pemain pertahanan, Willian Pacheco juga dilaporkan hanya cergas 50%, dan tidak mengikuti sesi latihan yang diadakan pada Khamis lalu.

Rumusan

Menariknya perlawanan akhir Piala FA 2018 ialah ia menampilkan dua jurulatih tempatan.

Nazliazmi tampil dengan misi untuk mengangkat kembali martabat bola sepak The Red Giants setelah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) baru-baru ini.

Kemenangan pasti menjadi tonik kepada permulaan dan era baru bola sepak di negeri Selangor.

Manakala Dollah Salleh pula sudah pasti tidak mahu berputih mata tewas dalam dua perlawanan akhir secara berturut-turut.

Bagi Pahang, hanya trofi kejuaraan yang mampu mengesahkan mereka sebagai salah sebuah pencabar utama di arena bola sepak tempatan.

Siapakah yang akan bermegah membawa pulang kegemilangan Shopee Piala FA 2018 selepas tamat perlawanan pada malam ini?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN