Previu Shopee Piala FA 2018: KL Perlu Perbaiki Aksi Pertahanan Sebelum Jumpa Melaka United

Selepas mengharungi aksi unifi Liga Super 2018 pada minggu lepas, Melaka United dan Kuala Lumpur (KL) akan berentap pula dalam aksi pusingan ke-3 Shopee Piala FA Malaysia 2018. Perlawanan akan berlangsung di halaman Melaka United, Stadium Hang Jebat pada malam ini.

Perlawanan ini dijangka akan menarik minat ramai penyokong tuan rumah berikutan prestasi memuaskan Melaka United sepanjang bulan Mac 2018. Dalam diam-diam, Melaka United kini sedang menduduki tangga ke-4 unifi Liga Super.

KL pula segar dari kemenangan dramatik 4-3 mereka menentang Kedah di Stadium Cheras pada minggu lepas. Selepas bermula buruk pada bulan Februari, KL bangkit mencatat prestasi lebih baik sepanjang bulan Mac 2018.

Prestasi semasa

Berbanding KL yang sudah tewas 3 kali dalam semua pertandingan pada musim ini (ketiga-tiganya dalam unifi Liga Super), prestasi Melaka United sedikit baik. Mereka baru tewas 2 kali dalam semua pertandingan setakat ini – kedua-duanya menentang pasukan kuat, JDT dan Selangor.

Manakala KL pula tewas kepada Selangor, Negeri Sembilan dan PKNP dalam saingan liga. Tetapi mereka menebus kekecewaan menerusi 2 kemenangan dramatik menentang 2 pasukan gergasi tempatan, JDT dan Kedah.

Dalam aksi Shopee Piala FA Malaysia 2018, Melaka United dan KL kedua-duanya memulakan saingan dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan lawan masing-masing tanpa masalah.

Melaka United membelasah pasukan amatur dari Selangor, Southern FC 7-0 dalam aksi pusingan ke-2. Manakala KL pula selesa membenam pasukan Piala FAM 2018, Kuching FA 4-0.

Rekod pertemuan

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertembung adalah pada tahun 2016 dalam saingan Liga Premier. Melaka United memenangi pertemuan terakhir ini dengan keputusan 2-1.

Bagaimanapun rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan ini masih seimbang. Melaka United memenangi 2 perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan ini. KL pula menang 2 pertemuan mereka pada 2014.

Dalam saingan Piala FA pula, kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada tahun 2016. Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebelum KL menang penentuan penalti.

Sebelum wisel

Penyokong Melaka United mempunyai sebab yang kukuh untuk berasa yakin menjelang perlawanan ini kerana pasukan mereka mencatat 100% kemenangan setakat ini di halaman sendiri. Di Stadium Hang Jebat, Melaka United sudah menjaringkan 14 gol dan hanya bolos 1 gol dalam 4 perlawanan.

Daripada 14 gol ini, 6 gol datangnya daripada sentuhan penyerang Melaka United, Yahor Zubovich. Dan kesemuanya dijaringkan ketika aksi di Stadium Hang Jebat.

Sementara itu prestasi KL di halaman lawan agak merisaukan. Mereka tewas kesemua dua aksi di halaman lawan (menentang Negeri Sembilan dan PKNP FC), hanya menjaringkan 1 gol dan bolos 4. Kelambatan penyerang Guilherme de Paula menemui sentuhan jaringannya merupakan salah satu puncanya.

Penyerang tegap dari Brazil ini baru membuka akaun jaringannya pada bulan Mac; bermula dengan hatrik ketika menentang Kuching FA. Kemudian, beliau meneruskan prestasi baiknya di hadapan gol dengan menjaringkan 1 gol dan menyumbang satu bantuan gol ketika kemenangan 4-3 ke atas Kedah.

Guilherme de Paula membuat percubaan pada minit ke-2 perlawanan sambil cuba dihalang oleh Marcos Antonio (Kredit: Kuala Lumpur Hawks)

Dengan penyerang utama kedua-dua pasukan sedang berada dalam prestasi terbaik, keputusan perlawanan mungkin akan ditentukan oleh pertahanan pasukan mana yang cemerlang pada malam ini.

Dalam aspek pertahanan ini, Melaka United jelas mempunyai kelebihan. Gandingan duo pertahanan tengah, Steven Thicot dan Nicolas Swirad baru melepaskan 1 gol dalam 4 perlawanan di Stadium Hang Jebat.

Pertahanan KL pula masih tercari-cari prestasi terbaik mereka pada musim ini.

Jika jentera pertahanan mereka dipuji ketika mempertahankan kelebihan 1 gol untuk menumbangkan JDT dalam aksi liga pada 11 Februari lepas, gandingan Bobirjon Akbarov dan Hisyamuddin Shaari masih belum kukuh.

Fabio Maciel cuba memperbetulkan keadaan ini dengan menggandingkan Achmad Jufriyanto bersama Bobirjon dan Hisyamuddin ketika bertemu Kedah. Tetapi ia masih jauh untuk melenyapkan kerisauan penyokong KL terhadap pertahanan mereka.

Ditambah pula dengan persembahan tidak konsisten dari penjaga gol mereka, Kamarul Effandi, KL seharusnya memberi fokus tambahan kepada jentera pertahanan mereka dalam latihan.

Pemain tumpuan

Selain pertembungan antara dua penyerang import yang sedang berada dalam prestasi baik iaitu antara Zubovich dan de Paula, perhatian turut perlu diberikan kepada 2 jeneral tengah kedua-dua pasukan.

Jeon Woo-young yang dikekalkan sejak musim lepas merupakan nama wajib jentera tengah Melaka United. Tenang mengawal bola dan jarang-jarang melakukan kesilapan, beliau dijangka akan menjadi titik rujukan Melaka United untuk mendapatkan penguasaan bola.

Bagi KL pula, Paulo Josue adalah pemain yang perlu diberi perhatian. Mempunyai gaya permainan yang berbeza dengan Woo-young yang lebih defensif, Josue gemar naik menyerang untuk membantu de Paula.

Dengan de Paula dijangka akan diberikan kawalan ketat oleh Thicot dan Swirad, pemain Melaka United juga perlu memastikan setiap larian Josue ke kotak penalti diberikan bayangan. Jika tidak, Josue akan menjaringkan gol.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN