Portugal akan melakukan debut mereka di dalam kejohanan Piala Konfederasi pada hari ini atas status juara Eropah.
Mereka akan berhadapan dengan pasukan yang terkenal dengan kemampuan menewaskan pasukan gergasi iaitu Mexico dalam kumpulan A.
Perkembangan pasukan
Cristiano Ronaldo akan mengetuai pasukan beliau kali ini. Beliau sendiri menyatakan yang beliau berhasrat untuk terus membantu pasukan kebangsaan Portugal menjuarai kejohanan ini.
Beberapa bintang muda Portugal juga berada di dalam skuad. Antaranya adalah Bernardo Silva, dan Andre Silva.
Renato Sanches tidak terlibat dalam tugasan kali ini kerana bersama-sama dengan skuad B-21 Portugal di Euro B-21.
Setakat ini, tiada senarai kecederaan dari kem Portugal. Ia sudah pastinya membuatkan Fernando Santos lega kerana memiliki pilihan yang banyak untuk pemilihan kesebelasan utama.
Juara CONCACAF, Mexico dianggap pasukan bukan pilihan. Namun mereka memiliki penggempur yang sentiasa tahu cara bermain di peringkat antarabangsa iaitu Javier Hernandez dan Carlos Vela.
Pemain lain yang harus diberikan perhatian adalah Giovani Dos Santos. Bintang veteran mereka, Rafael Marquez, yang juga pemain terbaik kejohanan ini pada 1999 dilaporkan masih bergelut dengan kecergasan.
Beliau mungkin tidak dapat diturunkan. Mexico juga berhadapan dengan masalah kecederaan Jesus Corona. Beliau digantikan dengan Jurgen Damm.
Prestasi semasa
Dalam 5 perlawanan terakhir, pasukan Portugal telah menang kesemua perlawanan tersebut. Mereka menjaringkan 17 gol dan hanya bolos 3 kali.
Mexico juga tidak tewas dalam 5 perlawanan terakhir mereka. Perlawanan terakhir sebelum mereka ke Russia adalah seri menentang Amerika Syarikat 1-1 dalam kelayakan Piala Dunia.
Sebelum itu mereka menang 4 perlawanan berturut-turut. Mexioco menjaringkan 10 gol dalam 5 perlawanan terakhir dan bolos sebanyak 3 kali.
Fakta perlawanan
1. Rafael Marquez menjadi satu-satunya pemain yang pernah menjulang kejuaraan ini yang beraksi dalam edisi kali ini. Marquez menjulang Piala Konfederasi 1999 bersama Mexico.
2. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada perlawanan persahabatan sebelum Piala Dunia 2014 di USA. Portugal menang 1-0 menerusi jaringan tandukan Bruno Alves.
3. 3 pemain Mexico, Raul Jimenez, Miguel Layun dan Hector Herrera bermain di Liga Portugis. Jimenez membantu Benfica menjuara liga. Layun dan Herera bermain untuk Porto.
Sebelum wisel
Mexico terkenal dengan bola sepak mereka yang kompak ketika bertahan dan memiliki pemain yang berkemahiran tinggi ketika menyerang.
Portugal pula dalam prestasi terbaik mereka buat masa ini. Mereka adalah pasukan yang ‘free-scoring’ di hadapan gol.
Cristiano Ronaldo tidak mahu menjadikan isu di luar padang sebagai gangguan kepada fokus beliau. Kapten Portugal itu menyatakan beliau tidak memikirkan benda lain selain daripada perlawanan ini.
Siapa akan menang? Selepas Russia menundukkan New Zealand semalam. Kongsikan ramalan anda di ruangan komen.