Jika Kumpulan A menempatkan juara Piala FA 2019, Kedah dan finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu, Kumpulan B pula seakan-akan sejak dari awal sudahpun memihak kepada juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT). Tiga pasukan lagi akan bersaing secara seimbang untuk slot suku akhir Piala Malaysia kali ini.
PJ City FC, PKNP FC dan UiTM FC masing-masing mampu untuk meraih tiket ke suku akhir. Dikendalikan oleh 3 jurulatih yang ada aura tersendiri dalam arena bola sepak tempatan, Semuanya BOLA merasakan konsistensi adalah kunci penting buat mereka.
Johor Darul Ta’zim (JDT)
Meraih gelaran double hatrick untuk Liga Super (MSL) dengan jarak 10 mata berbanding Pahang di kedudukan kedua menjadikan JDT adalah calon wajib untuk ke pentas final biarpun rekod mereka dalam kejohanan kalah mati tidaklah segah mana. Harimau Selatan serba lengkap di setiap posisi dan tiada kecederaan besar yang boleh menganggu persediaan dan rentak juara edisi 2017 ini.
Pada edisi lalu, JDT telah disingkir Terengganu FC di separuh akhir memaksa mereka melupakan hasrat untuk mengekalkan Piala Malaysia di Johor Bahru untuk tahun kedua berturut-turut. Luka mereka berterusan pula dalam saingan Piala FA 2019 apabila hanya beraksi sekali di pusingan ketiga dan tumbang kepada PKNS FC. Persoalannya, adakah Piala Malaysia akan menjadi keutamaan buat skuad Harimau Selatan pada musim ini?
Bagaimana mereka layak: Juara MSL 2019
Formasi pilihan: 4-2-3-1 / 4-3-3
Pemain bintang: Diogo Luis Santo
Pemain tumpuan: Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera
Ketua Jurulatih: Benjamin Mora
Ramalan Semuanya BOLA: Calon Finalis
PJ City FC
Ini merupakan tahun kedua buat PJ City FC dalam saingan Piala Malaysia dan pastinya mereka mahu meninggalkan impak yang positif. Pada edisi lalu mereka hampir layak ke suku akhir biarpun diletakkan dalam kumpulan yang mengandungi Kedah, Kelantan dan semestinya jodoh kuat mereka, JDT. Menggunakan nama MISC-MIFA FC, mereka terikat 8 mata bersama Kelantan dan Kedah dengan Kelantan ke suku akhir berdasarkan kelebihan defisit gol.
Masalah utama yang memerlukan rawatan segera oleh The Phoenix adalah ketumpulan ketara jentera serangan mereka yang hanya merekodkan 22 gol, terendah di MSL 2019 – purata 1 gol setiap perlawanan. Tonik terbaik mereka adalah Washington Brandao meledak gol kemenangan mereka ke atas JDT dalam perlawanan terakhir liga selain memiliki Pedro Henrique dan juga Safee Sali.
Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-8 MSL 2019
Formasi pilihan: 5-4-1 / 5-3-2
Pemain bintang: Washington Brandao
Pemain tumpuan: P. Rajes, Bae Beum-guk
Ketua Jurulatih: K. Devan
Ramalan Semuanya BOLA: Suku akhir
PKNP FC
Sebagaimana PKNS FC, PKNP FC turut diselubungi khabar kurang enak iaitu bakal diletakkan sebumbung bersama Perak menjadikan mereka sebagai pasukan feeder. Namun, Abu Bakar Fadzim perlu melupakannya dan memberikan fokus untuk memperbaiki jentera serangannya untuk Piala Malaysia kerana mereka setanding PJ City FC, merekodkan jumlah gol paling sedikit di MSL 2019, 22 gol.
Jika mahu membuktikan yang mereka layak dikekalkan musim depan sebagai PKNP FC, mereka perlu menampilkan kelainan dan meninggalkan impresi baik dalam Piala Malaysia kali ini. Peluang seimbang antara tiga pasukan boleh membantu mereka untuk layak. Aura Hafiz Ramdan ditagih untuk melonjak semula semangat pasukan yang pernah melangkah ke separuh akhir Piala FA 2018 selain suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia 2017 itu.
Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-11 MSL 2019
Formasi pilihan: 4-1-4-1
Pemain bintang: Giancarlo Lopes
Pemain tumpuan: Hafiz Ramdan, Fadhil Idris
Ketua Jurulatih: Abu Bakar Fadzim
Ramalan Semuanya BOLA: Peringkat kumpulan
UiTM FC
Ketika dalam sesi temubual bersama Semuanya BOLA sebelum ini, pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria pernah melabelkan yang UiTM FC masih mentah dalam saingan Liga Premier musim ini namun menariknya mereka pernah berada di kelompok 3 terbaik sebelum menamatkan musim di kedudukan ke-5 liga – 1 mata di belakang PDRM dan Terengganu FC II di kedudukan ketiga dan empat.
Piala Malaysia 2019 adalah pentas terbaik untuk mereka menguji kemampuan sebenar barisan pemain The Lion Troops musim ini. Berdepan pasukan-pasukan Liga Super, ia adalah sesi latih tubi terbaik skuad yang dibarisi oleh majoriti pelajar UiTM sebelum berfikir untuk mengetuk pintu Liga Super secara serius musim depan atau dua musim lagi, sebagaimana janji Ismail Zakaria.
Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-5 MPL 2019
Formasi pilihan: 4-4-2 / 4-4-1-1
Pemain bintang: Zarco Korac
Pemain tumpuan: Azriddin Rosli
Ketua Jurulatih: Ismail Zakaria
Ramalan Semuanya BOLA: Peringkat kumpulan
Rumusan
PJ City FC, PKNP FC dan UiTM FC ada misi tersendiri dalam Piala Malaysia kali ini. Peluang antara ketiga-tiga pasukan itu juga seimbang dan jika kekal konsisten mengutip mata, salah satu daripada mereka bakal mengiringi JDT ke peringkat seterusnya.
Begitupun, JDT jangan berasa terlalu selesa ditempatkan bersama tiga pasukan ini kerana dalam saingan Piala Malaysia ini, apa sahaja boleh berlaku. Musim lalu adalah pengajaran buat mereka apabila terpaksa bersaing sehingga ke perlawanan terakhir bersama-sama Kedah, Kelantan dan MISC-MIFA FC (PJ City FC).