Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Previu Kumpulan A Piala Malaysia: Kedah Tagih Momentum Juara, Peluang Terengganu Rawat Luka

Tamat saingan Piala FA, kini saingan bola sepak tempatan akan terarah kepada pertandingan Piala Malaysia – pertandingan bola sepak agung yang mempunyai nilai tersendiri dalam lipatan sejarah bola sepak negara.

Berbeza dengan saingan di Liga Super dan Piala FA, Piala Malaysia sememangnya tidak menjanjikan habuan seperti slot untuk ke pertandingan Asia. Tetapi ia tidak bermakna pertandingan tertua bola sepak negara ini hilang prestijnya. Ini kerana di pertandingan inilah segalanya bermula – menjadikan apa yang ada pada hari ini, melahirkan legenda yang dikenang, dan medan lahirnya impian untuk mencapai gemilang yang lebih besar di kemudian hari.

Melalui artikel ini, kami berbesar hati untuk membawakan kepada anda previu setiap kumpulan di pertandingan Piala Malaysia 2019, bermula dengan saingan di Kumpulan A.

Kedah FA

Secara keseluruhan saingan Kedah di dua pertandingan domestik setakat ini boleh dianggap ‘melebihi jangkaan’. Di saingan Liga Super misalnya, skuad Lang Merah menduduki tangga ke-4 yang masih dianggap sebagai kelompok atasan di kalangan pasukan-pasukan yang bertanding. Kemudian di saingan Piala FA, Kedah muncul juara selepas menewaskan Perak 1-0 di perlawanan akhir pada Sabtu lalu.

Harus diingat, skuad Kedah pada musim ini adalah pasukan serba baharu yang berada di fasa transisi selepas diambil alih oleh pengendali dari Singapura, Aidil Shahrin. Beberapa muka baharu telah dibawa masuk oleh beliau, antaranya adalah Shakir Hamzah, Renan Alves, Jonathan Bauman. Begitu juga dengan kelibat pemain muda yang dibentuk oleh Aidil seperti Mohamad Fayadh dan Fazrul Danel yang mulai menampakkan hasil.

Foto: Kedah FA

Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-4 MSL 2019
Formasi pilihan: 4-2-3-1
Pemain bintang: Fernando Rodriguez
Pemain tumpuan: Fazrul Danel
Ketua Jurulatih: Aidil Shahrin
Ramalan Semuanya BOLA: Separuh akhir

Terengganu FC

Terengganu FC tampil dalam pertandingan Piala Malaysia kali ini selaku naib juara 2018. Tetapi musim Terengganu setakat ini boleh dikatakan serba tidak menjadi, sehingga menjurus kepada perletakkan jawatan Irfan Bakti pada pertengahan Mei lalu. Sejak daripada itu, Terengganu dilatih oleh Nafuzi Zain dan rekod jurulatih interim tersebut setakat ini agak baik.

Tewas hanya sekali dari baki sembilan perlawanan Liga Super, Nafuzi seperti telah berjaya memberikan nafas baharu kepada cabaran Terengganu dengan corak serangan yang lebih menarik dan berkeyakinan. Antara keputusan besar yang dicapai oleh Nafuzi bersama Terengganu ialah ketika menewaskan Selangor 1-0, dan bangkit dari ketinggalan untuk mengikat JDT dengan jaringan 3-3 di hari terakhir saingan Liga Super.

Foto: Terengganu FC

Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-7 MSL 2019
Formasi pilihan: 4-1-4-1
Pemain bintang: Lee Tuck
Pemain tumpuan: Sanjar Shaakhmedov, Nabil Latpi
Ketua Jurulatih: Nafuzi Zain (Interim)
Ramalan Semuanya BOLA: Suku akhir

PKNS FC

Telalu banyak spekulasi menyelubungi PKNS FC pada hari ini setelah tersebarnya laporan rombakan terhadap struktur bola sepak di Selangor akan dilakukan pada musim hadapan. Sedikit sebanyak, perkhabaran tersebut mungkin menjadi antara perkara yang menyebabkan kemeruduman prestasi skuad Semut Merah apabila hanya merekodkan satu kemenangan dari 10 perlawanan terakhir Liga Super musim ini.

Namun demikian Datuk K. Rajagopal telah meletakkan sasaran agak tinggi untuk anak buahnya untuk layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini. Walaupun prestasi mereka dilihat merosot pada pusingan kedua, pasukan ini masih mempunyai kualiti yang mencukupi untuk mencabar mana-mana pasukan. Kini terpulang kepada pemain sama ada untuk bangkit atau tidak untuk menghadapi cabaran di Piala Malaysia.

FOTO: PKNS FC

Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-9 MSL 2019
Formasi pilihan: 4-1-4-1
Pemain bintang: Kpah Sherman
Pemain tumpuan: Romel Morales
Ketua Jurulatih: Datuk K. Rajagopal
Ramalan Semuanya BOLA: Peringkat kumpulan

Negeri Sembilan FA

Negeri Sembilan kembali bersaing di pertandingan Piala Malaysia setelah gagal layak ke pertandingan ini pada musim 2018. Merupakan wakil tunggal dari saingan Liga Premier di Kumpulan A, impian Negeri Sembilan untuk mara dari kumpulan ini boleh dianggap sebagai amat mencabar. Namun ada perkara lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh Negeri Sembilan sekiranya menanam impian melakukan kejutan di Kumpulan A.

Tiga hari yang lalu, status Ketua Jurulatih Mat Zan Mat Aris bersama Negeri Sembilan menjadi tanda tanya seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan. Ini berikutan tiadanya kelibat Mat Zan ketika sesi latihan yang diambil alih oleh penolong beliau, Zaki Sheikh Ahmad. Malah Setiausaha Agung PBNS, Satwant Singh enggan mengesahkan kedudukan jurulatih tersebut ketika ditanya oleh pihak media.

Foto: PBNS

Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-6 MPL 2019
Formasi pilihan: 4-4-2
Pemain bintang: Igor Luiz
Pemain tumpuan: Ferris Danial
Ketua Jurulatih: Mat Zan Mat Aris
Ramalan Semuanya BOLA: Peringkat kumpulan

Rumusan

Secara keseluruhan, boleh disimpulkan Kedah dan Terengganu adalah pilihan utama dari Kumpulan A untuk mara ke peringkat seterusnya. PKNS FC turut memiliki peluang yang sama sekiranya pemain-pemain boleh kembali bangkit menampilkan prestasi sama seperti ketika awal musim Liga Super yang lalu.

Negeri Sembilan pula mempunyai beberapa isu dalaman yang perlu diselesaikan terlebih dahulu untuk pemain mampu memberikan fokus sepenuhnya kepada cabaran yang bakal menanti. Tetapi siapa tahu, kejutan mungkin akan berlaku dari Kumpulan A.