Atmosfera di Stadium Shah Alam pada malam ini pasti hangat. Tuan rumah, Selangor bakal melayan kunjungan JDT di separuh akhir kedua Piala Malaysia dengan tempat ke perlawanan akhir bakal menjadi taruhan.
Pertemuan di Larkin pada minggu lalu menyaksikan JDT mempunyai kelebihan tipis, selepas menewaskan Selangor 2-1.
Step 2: Place this code wherever you want the plugin to appear on your page.
50,000 SOLD AND COUNTING‼️
50,182 tiket separuh akhir 2 Piala Malaysia Selangor menentang Johor Darul Ta’zim TELAH…
Posted by FA Selangor on Thursday, October 24, 2019
Mampukah Selangor memadam defisit tersebut, sekaligus menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk menewaskan JDT buat pertama kali pada musim ini?
Red Giants dan ‘Misi ke-34’
Tidak boleh dinafikan Selangor adalah jaguh untuk pertandingan tertua di dalam negara ini dengan 33 kali kejuaraan. Namun dominasi bola sepak negara kini sudah berbeza, dengan JDT tampil sebagai pasukan yang lebih gah sejak enam tahun yang lalu.
Kali terakhir Selangor bergelar juara dalam pertandingan ini adalah pada 2015 apabila menewaskan Kedah di perlawanan akhir, dalam perlawanan yang berlangsung di Shah Alam. Bola sepak di Selangor melalui tempoh serba tidak menentu selepas itu.
Tampil lebih kemas dengan objektif dan misi serba baharu di bawah pengurusan serba baharu pada musim ini, tempat ke perlawanan akhir untuk ‘Misi ke-34’ adalah permulaan positif yang Selangor dambakan.
JDT & Raja Bola Sepak Malaysia
Anehnya gelaran ‘Raja Bola Sepak Malaysia’ sebenarnya datang dari pemain Selangor, Taylor Regan ketika ditemubual oleh The Star sebelum separuh akhir pertama minggu lalu.
Walaupun tidak pernah menggelar diri mereka dengan gelaran tersebut, bagaimana untuk kita menafikan dominasi skuad Harimau Selatan di kancah saingan domestik – terutamanya sejak enam tahun yang lalu.
Tetapi Piala Malaysia mempunyai cabarannya tersendiri. Dalam tempoh enam tahun yang lalu, JDT hanya berjaya mara ke perlawanan akhir sebanyak dua kali, dan muncul juara pada 2017. Tuntutan TMJ kepada pemain untuk pemain memberikan 100% – sesuai dengan etika profesionalisme oleh pemain – membuktikan pertandingan ini mempunyai nilai tersendiri.
Pemain tumpuan
Bagi skuad kendalian B. Sathianathan, kelibat Ifedayo Olesegun sekali lagi pasti ditagih untuk memburu gol di Shah Alam.
Pemain import dari Nigeria ini mempunyai statistik menarik ketika beraksi untuk Selangor di Shah Alam. Sepanjang saingan Liga Super misalnya, lapan dari 12 jaringan Ifedayo dijaringkan ketika aksi di tempat sendiri.
Peningkatan prestasi Syafiq sejak akhir-akhir ini untuk pasukan kebangsaan dan JDT pasti sekali lagi menjadi tumpuan barisan pertahanan lawan.
Bijak melakukan larian untuk membuka ruang dan mencari peluang menjaringkan gol, jaringan pada perlawanan pertama di Larkin untuk memberikan JDT pendahuluan adalah contoh ketajaman penyudah pemain ini yang semakin bernafsu memburu gol.
Taktikal dan formasi
Tiada perubahan ketara dijangkakan dari kedua-dua jurulatih, B. Sathianathan dan Benjamin Mora untuk pasukan masing-masing pada malam ini.
Selangor sudah pun sah kehilangan khidmat Endrick dos Santos di bahagian tengah. Manakala perlawanan pada minggu lalu adalah penampilan pertama seorang lagi pemain import, Sandro Da Silva selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Tanpa Endrick, Sathianathan dijangka akan menyandarkan bahagian tengah kepada gandingan Halim Shaari, K. Sarkunan dan Sandro da Silva.
Manakala dari kem JDT, tiada laporan kecederaan terkini membabitkan pemain-pemain utama pasukan itu.
Konsisten dengan sistem 4-3-3, Azrif Nasrulhaq dijangka akan beraksi di posisi bek kanan untuk S. Kunanlan yang belum cergas sepenuhnya. Pengalaman Aidil Zafuan juga turut ditagih untuk digandingan bersama-sama Mauricio di bahagian tengah pertahanan.
Rumusan
Siapakah yang akan mendabik dada selepas tamat perlawanan pada malam ini? Mampukah Selangor memadam gelaran ‘Raja Bola Sepak Malaysia’ yang dicanang sebagai milik JDT?
Atau adakah JDT akan terus kekal berada di landasan untuk kejuaraan hatrik di kancah saingan Liga Malaysia pada musim ini?
Satu perkara yang pasti ialah pertemuan kedua-dua pasukan bakal mencetuskan atmosfera luar biasa di Stadium Shah Alam pada malam ini.